Saturday, April 2, 2011

Beauty & The Beast



            “HOI, budak gemuk!  Kau tak boleh makan kat sini!  Tak muat!!”

Budak lelaki yang sedang menyuap nasi ke mulutnya lantas berpaling tatkala nama panggilannya diseru.  Tiga orang budak lelaki sebayanya, namun tidak sebesarnya sedang mengelilinginya.  Seorang botak dengan muka menyeringai, seorang lagi botak berhidung sedikit kembang, manakala yang mengherdiknya tadi berpakaian agak comot dan paling penting dia juga botak.  Tiada reaksi daripada si gemuk membuatkan ‘tyco’ botak ini menepuk meja membuatkan si gemut sedikit terkejut.  Si botak bertiga serentak ketawa melihat kegerunan si gemuk pada mereka.

“Harap badan je besar, tapi penakut!”
“Ha’ah!  Kan aku dah cakap?!  Kau pergi makan kat sana!” 

Si gemuk masih memandang mereka, meminta secebis simpati supaya dapat dia berteleku di tempat berkenaan memandangkan tempat makan lain semuanya telah penuh.
“Kau tak payah nak buat muka seposen kau!  Seringgit pun tak laku lah!  Dah, kau blah sekarang!” herdik ‘tyco’ si botak, masih belum berpuas hati. 
“Tak nak!”
“Kurang ajar!”

Serentak itu, si botak yang bermuka bengis mengenggam penumbuk di tangan kanan manakala tangan kirinya segera mengenggam  kolar baju si gemuk.

“Hoi!  Tak ada kerja ke?  Hari-hari nak buli orang!  Aku bagi tahu Cikgu Seman nanti, baru korang tahu!”, tempik seorang budak perempuan, membuatkan genggaman si botak berhenti sebelum sempat sampai di pipi si gemuk.

Si gemuk seolah-olah di awangan.  Mana tidaknya, gadis yang namanya sering meniti di bibir pelajar-pelajar selama dia seminggu berada di sini, yang menjadi rebutan pelajar-pelajar lelaki berkasta tinggi (contohnya pengawas, pelajar cemerlang, pelajar berada) telah muncul nyata dihadapannya.  Bukan sekadar muncul, namun karakternya seperti srikandi dalam ini drama!

“Kau apa sibuk?!  Karang dengan kau sekali aku cepuk!”, mahu tidak mahu sahaja suaranya keluar.  Takut, malu, gembira.. semuanya bercampur baur.
 “Buatlah kalau berani!” si perempuan sudah menyingsing lengan baju.
 
“Eh, takkan kau nak gaduh dengan dia kut?  Jatuhlah saham kau!  Bukan kau pun sama nak mengorat dia hari tu?”, bisik si botak berhidung kembang membuatkan ‘tyco’ si botak sedikit termenung. Beberapa saat kemudian, dia mengarahkan rakan sejenayahnya menarik penumbuknya.

“Kali ni aku lepaskan kau, tu pun sebab aku tak nak kecoh!  Kalau kau buat perangai lagi, siap kau!  Faham?!” Sempat ‘tyco’  si botak menolak bahu si gemuk. 

Mereka beredar dari tempat kejadian, sambil memandang tajam ke arah si gemuk.  Ibu jari si botak berhidung kembang merentas lehernya, amaran terakhir jika dia gagal mematuhi arahan lagi.
Si gadis menghampiri si gemuk.  Siapa tidak kenal dengan si gadis ini.  Walaupun baru darjah 5, namun peminatnya mengalahkan peserta Akademi Fantasia.  Cantik, lagi pandai.  Semua pelajar ingin mengenalinya, apatah lagi mendekatinya. 


“Terima kasih sebab bantu saya.  Saya pelajar baru di sini.. tak biasa lagi.”, tutur si gemuk penuh berbudi bahasa.  


Siapa pula yang tidak kenal dengan pelajar baru ini.  Walaupun baru darjah 6 dan baru mendaftar di sekolah ini kerana mengikut ayahnya yang baru berpindah ke daerah itu, namanya sering disebut-sebut kerana dia ialah anak orang berada. 


Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana semua pelajar tidak ingin mengenalinya, apatah lagi tidak mahu mendekatinya kerana rupa bentuknya yang gemuk menjadi punca utama.  Dia juga menduduki tangga pertama carta buli Geng 3 Botak. Rupa paras, lebih penting dari harta dunia, ideolisme kanak-kanak sekolah rendah.
“Hello.. ini Aya, ok?  Mana ada benda percuma dalam hidup!”  Si gemuk mengerutkan muka.  Tidak faham.  Sesi perkenalan yang cukup aneh.
“Oh.. saya Luthfi Bin Dato’ Hanafi.”  Belum sempat sengihan si gemuk mengembang hingga ke pipi, Aya menepuk meja sambil kaki kirinya mendarat di sebelah Luthfi.  Luthfi terkejut lalu mengengsot sedikit ke belakang.

“Aku peduli apa nama kau apa!  Apa yang mustahak sekarang ni, dah aku tolong kau, bayar lah!”  “Huh?”  “Cepat bagi aku duit!  Kalau tak aku panggil Geng 3 Botak!  Kau nak?!” 

Cepat-cepat Luthfi menggeleng sambil mengeluarkan beberapa wang kertas dari poketnya.  Terketar-ketar dia mengira namun belum sempat dia menolak tambah, semua duit itu telah dirampas Aya.

“Kira pun lembab!  Bagi je lah aku semua!”  Sengihan panjang menghiasi wajahnya.  Sempat Luthfi merenungnya, lama.  Betul khabar angin yang dia dengar, sekali anda memandang wajah Aya, pasti anda akan mahu menatap wajahnya.  Namun, untuk memandangnya untuk kali seterusnya, anda harus membayarnya.
“Haa.. kan senang macam ni punya bisnes!  Peribahasa hari ni ialah, tiada ultraman, aku pun berguna! Tapi, kena ada fulusnya, ok?” Aya menepuk bahu Luthfi sambil berjalan meninggalkannya, namun langkahnya terbantut bila namanya diseru Luthfi.
Kening Aya diangkat, tanda bertanya.  “Macam mana saya nak balik sekolah nanti?  Rumah saya jauh, saya kena naik bas..”  Aya mengurut-urut misai halimunannya.

“Itu..aku tak boleh nak buat kesimpulan.  Kalau aku bagi balik pada kau duit ni, nanti orang cakap buruk siku pulak.  Cuma aku boleh bagi peribahasa.  Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.  Ni peribahasa paling terbaru lah Cikgu Latipah bagi aku.  Pandai-pandai lah kau guna, ek?  Daa!”  Aya kian jauh meninggalkannya.

“Tapi, Aya.. peribahasa paling terbaru yang Cikgu Latipah bagi pada saya ialah, terlepas dari mulut buaya, masuk mulut harimau..”  Luthfi mengeluh sendirian.

Luthfi mengesat peluh yang membasahi dahinya.  Selalunya perjalanan ke rumah dirasakan sekejap sangat.  Tapi, bila terpaksa berjalan kaki terasa seperti rumahnya sejauh Johor ke Perlis.  Sesekali beberapa orang yang menaiki basikal menggelakkannya dan tidak kurang sempat mengejeknya.

“Bagus lah jalan kaki.  Biar kau kurus sikit!” Datang satu suara di sebelah kanannya, membuatkan langkahnya terbantut.  Niatnya mahu memaki hamun gadis itu, minta dia pulangkan duitnya.  Tapi, melihatkan wajahnya sahaja mampu membuatkan lidahnya seakan melekat ke gigi.  Tidak mampu berkata-kata.

“Oleh sebab hari ni aku rasa macam nak baik hati, aku bagi kelonggaran sikit lah kat kau.  Kau boleh tumpang basikal aku, tapi esok sebelum kau masuk pagar sekolah, kau kena belanja aku karipap Mak Cik Senah kat kantin tu, boleh?!”  Seperti burung belatuk, segera Luthfi mengangguk-angguk.  Aya senyum, lalu dia turun dari basikal.

“Kenapa?  Awak nak bagi saya terus ke basikal ni?”  “Kepala hotak kau!  Kau bawak lah basikal ni, takkan aku pulak nak kayuh!  Patah kaki aku, kau tu dah lah gemuk!  Dah tumpang orang, nak senang lenang pulak!  Cepatlah!  Aku dah lapar nih!”  Terkocoh-kocoh Luthfi mengayuh basikal itu sambil Aya tersenyum lebar di belakang.

“Cepat!  Cepat lah!”  “Sabarlah.. Saya semput nanti!”  Jawapan Luthfi disambut dengan ketawa Aya.  5 minit kemudian, mereka sampai di pintu pagar rumah Luthfi dan Aya masih lagi terlopong melihat rumah Luthfi yang dua kali lebih besar dari rumahnya sendiri.

“Terima kasih, Aya..” Aya menutup mulutnya.  “Jangan lupa karipap tu!”  Luthfi hanya mengangguk sambil tersenyum.

Puas Aya menunggu.  Namun, bukan sahaja bayang karipap, batang hidung Luthfi pun tidak kelihatan.  Semasa dia melewati kelasnya untuk ke tandas, dia nampak Luthfi berseorangan sedang khusyuk menulis sesuatu di bukunya.  Maknanya, Luthfi masih wujud.  Fikirnya, Luthfi sudah serik dan berpindah sekolah.  Muka Aya sudah memerah menahan kemarahan.  Mungkir janji!

Luthfi mengesat airmatanya yang tidak henti mengalir.  Siapa punya angkara ni?!  Kenapa dia perlu terkurung di dalam stor sukan ni?!  Seingatnya, tadi ada seorang budak lelaki datang kepadanya, mengatakn Cikgu Latipah ingin berjumpanya di stor sukan.  Difikirnya pasti cikgu kesanyangannya itu mahu dia membantunya, kerana memang dia suka membantu Cikgu Latipah.  Tapi, bila difikirkan balik, apa fungsinya cikgu Bahasa Melayu itu buat di stor sukan?  Bukannya dia mengajar Pendidikan  Jasmani pun?

Tidak sempat menjawab soalan yang sukar mengalahkan soalan matematik, dia tiba-tiba ditolak seseorang lalu pintu bilik itu ditutup rapat tanpa mampu dia membuka balik.  Dengan perut yang tidak sempat diisi dan mengenangkan pelbagai cerita mistik di stor itu, membuatkan airmatanya memang tidak dapat ditahan.

“Tolonglah saya!  Bukak la pintu ni!  Saja janji akan buat apa saja!” Serak sudah suara Luthfi, memekik meminta bantuan.  Namun, dia hanya menangkap suara halus ketawa di luar bilik, tanpa sedikit pun rasa bersalah membuatnya begini. 

“Hei, apa kamu buat di sini?!”, pertanyaan itu membuatkan Luthfi terjaga dari lenanya.  Digosok matanya dan kelihatan seorang guru pendidikan jasmani sedang mencangkuk menghadapnya.

“Awak ponteng, ya?!”  Luthfi segera menggeleng.  Diceritakan dari mula alkisahnya, namun ceritanya hanya jadi bahan jenaka saja.  “Aya cerita pada cikgu yang dia nak buka pintu bilik ni, tapi awak suruh dia pergi dan jangan kacau dia..  Apa cerita pulak tuh?!”  Terbeliak mata Luthfi mendengarkan nama itu.  Aya? 
“Saya dikurung, cikgu!”  “Sudahlah Luthfi.. Sekarang awak ikut saya jumpa Cikgu Seman!”, mendengar nama itu membuatkan Luthfi sekali lagi rasa mahu pengsan.  Dengan lemah longlai dia berjalan membuntuti cikgu muda itu.  Saat dia mendongak, dia terpandang Aya dengan ibu jarinya diangkat.  Sengihannya bersama jelirannya membuatkan Luthfi rasa mahu dimarahkan sahaja wajah cantik itu.  Apa salah saya pada awak, Aya?  Awak bukan bidadari saya!  Awak bukan srikandi saya!

“Awak lempar batu, tapi sembunyi tangan!” Walaupun sakit hati dan kecewa, Luthfi mahu tahu keadaan sebenar.  Oleh kerana itu, dengan hati yang sebal, dia berlari mengejar Aya masa pulang, berhadapan dengannya.

“Sebab kau mungkir janji!”dihamburkan rasa tidak puas hatinya pada Luthfi.  “Sebab itu je?”  Aya menganguk.  “Dengan sebab itu juga lah saya dapat ini, tahu!”  Luthfi menunjukkan tapak tangannya yang berbirat.  3 strikes!  Denda ponteng kelas!

“Salah kau sendiri!  Padan muka!”  Aya mencebik.  “Dah lah, aku nak balik!”  Aya berjalan meninggalkan Luthfi.  “Aya!”  Automatik, Aya berhenti, namun lambat-lambat dia berpaling.
Luthfi berdiri di sebelahnya, mengeluarkan sesuatu dari beg sekolah yang digalasnya. 
“Untuk awak..  Maaf sebab lambat, sebab pagi tadi Cikgu Latipah panggil saya, tolong angkat buku.  Terima kasih juga pasal semalam, selamatkan saya dari geng botak dan tumpangkan saya balik.  Saya bukannya kacang yang lupakan kulit.”  Bungkusan plastik itu beralih tangan.  Luthfi melangkah meninggalkan Aya, namun Aya hanya mampu menelan air liur dan memandangnya pergi.  Bersalahnya aku!
“Kawan-kawan! Beauty and the beast dah sampai!”, sorak kawan-kawan sekelas Aya apabila terpandangkan Aya dan Luthfi yang berjalan beriringan masuk ke perkarangan sekolah.
“Ish, kurang asam betullah mulut diaorang ni!  Ada ke cakap kau ni beast!  Nak kena ajar ni!”, Aya mengenggam penumbuk.  “Biarlah, Aya.  Mulut tempayan pun susah nak ditutup, ini kan mulut manusia..  nanti dah penat, diaorang diamlah..”, halang Luthfi.
“Apasal kau nak halang aku ni?  Mesti kau dah tak mahu bayar duit perlindungan kat aku, kan?  Kan?!”  Luthfi menyeringai sengih.  “Bukan macam tu..  Tapi, saya tak kisah diaorang panggil saya beast.  Kalau awak marah diaorang, nanti diaorang tak ada lah panggil awak the beauty.. ye tak?” Kata-kata Luthfi membuatkan Aya memandang ke langit.  Betul jugak!  Sudahnya, mereka pekakkan sahaja telinga.
Sebab karipap, mereka menjadi kawan baik.  Luthfi tidak menyangka pertemuan Aya dengannya pada keesokkan paginya adalah untuk meminta maaf mengenai ketelanjuran katanya semalam.  Hati yang panas, boleh mencair hanya mendengar kata maaf sahaja keluar dari bibir manis Aya. 
Terpatri janji yang Aya tidak akan mengulangi kesilapannya, namun Luthfi perlu berjanji menjadi bodyguard Aya, begitu juga Aya.  Cuma, prinsip hidup Aya yang tidak berubah. Ini Aya, ok?  Mana ada benda percuma dalam hidup!
“Aya..saya..”  “Kau ni kenapa?!  Dari tadi kau duk saya.. saya!  Cakap lah cepat! Aku nak masuk kelas ni!  Kau tu lainlah!  Honeymoon year dah!  Aku ni nak ambil periksa tahun ni!”  Aya mencekak pinggang sambil Luthfi duduk di bangku  sambil mengaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Saya.. saya..”  “Cepatlah!”  Aya menepuk meja.  “..Saya suka awak!”  Mencerlung mata Aya.  Diam.  Luthfi masih menunggu kata balas dari Aya.  Mungkin Aya masih kabur-kabur dengan maksudnya.
“Bukan suka-suka biasa.. Cinta.  Saya cinta awak..”  Aya gelak.  Ketawa seperti sedang menonton jenaka yang maha kelakar.  Sambil perut ditekan dan mata berair. 
“Kenapa?”  Dahi Luthfi semakin berlipat.
“Luthfi, kita boleh jadi sahabat saja, sampai bila-bila.  Hakikat tu tak boleh berubah!  Kita, tak macam pinang dibelah dua lah kalau bercinta!  Walaupun aku berlagak kaya dengan mengepau duit orang  dan tak sekaya kau, tapi kau tak sekacak untuk bersama dengan secantik seperti aku, faham?  Kita memang beauty and the beast!  Dongeng yang tak mungkin jadi kenyataan!”  Luthfi terkedu.  Tiada respons.  Hanya tunduk memandang bumi.  Tidak mampu untuk mendongak untuk memandang gadis didepannya. 
Aya menapak meninggalkan Luthfi.  Dia berhenti, sambil berpesan.  “Enggang sama enggang, pipit sama pipit lah!  Dalam ini cerita, aku enggang!”

“Hoi!  Kau tak nampak ke aku baru je mop tempat tu?!”  Tempik Aya sebaik saja lelaki yang berpakaian kemas siap dengan tali leher tu menapak lima langkah di depannya.  “Dah lah kaki tu pijak najis mughalazah mana entah!  Habis kotor balik!  Kau nak tolong aku mop balik ke?!”  Aya masih mencekak pinggang.  Lelaki itu yang mulanya mahu memasuki lif, membatalkan  niatnya dan menghadap Aya.
“Cik adik yang manis bahasa dan sopan santun, cik adik tak letak pun papan tanda lantai basah.  Saya juga yang salah  ke?”, perli lelaki itu sambil senyum.  “Muka je kacak, tapi otak udang!  Takkan  tak nampak lantai ni basah?!  Mata letak kaki lah!  Dah lah, sana.. sana!”, Aya menolak kaki lelaki tadi dengan batang mop.  Lelaki tadi hanya menggeleng kepala. 
Sara, rakan sekerjanya datang menghampiri.  “Aku rasa semalam pun orang ni juga yang buang sampah depan kau tu..  Aku rasa dia memang suka kena marah lah!”  “Eh, ye ke, Sara?  Haa.. baru aku ingat!  Minggu lepas, dialah yang masuk tandas lelaki masa aku tengah bersihkan tu!  Padahal aku dah letak papan tanda kat pintu masuk.  Aku rasa dia ni mental lah!”  “Kesian..” Sara mengeleng-gelengkan kepalanya.  Simpati.

Aya masih mencangkung di tangga belakang bangunan, padahal waktu bekerjanya sudah hampir tamat.  Keterujaannya untuk pulang terbantut mengenangkan kata muktamad dari penyelianya tadi.   Dia diberhentikan kerja 24 jam  gara-gara aduan dari salah seorang pelawat bangunan itu yang mengatakan Aya mengherdiknya.  Hatinya kian panas.  Telinganya rasa berdesing.
“Cik adik..”  Aya mendongak.  Orang ini! Orang ini yang sakit jiwa ini lah yang menabur pasir dalam periuk nasinya.  “Abu nawas!!”  Seraya itu, Aya mengambil baldi yang berisi bilasan air mop kotor di tepinya lalu disimbah kepada lelaki dihadapannya.  Sara yang baru sampai ke tempat itu turut terkejut dengan tindakan Aya.
 “Aya!  Apa kau buat ni?!”  “Sara.. monyet ni lah yang report pada supervisor kita sampai aku kena berhenti, tahu!”  Aya mencampakkan baldi ke tepi.  “Tapi kalau ya pun, takkan lah sampai kau simbah dia!  Renjis cukuplah!  Hensem  tu!”  “Ahh! Peduli aku!  Puas hati aku!”
Sara mendapatkan lelaki tadi yang masih kaku di sebelah.  “Maafkan saya encik atas keterlampauan sahabat saya ni.  Mintak maaf, ya?”  “Cik..  bila saya mengadu pada pihak atasan tentang kegiatan tidak bermoral cik ni, niat saya hanya mahukan perkhidmatan yang terbaik untuk tempat ini, tapi tak sangka sampai dia kena fired.  Jadi, saya datang sekarang dengan niat nak pelawa cik ni kerja dengan syarikat bos saya.  Saya nak tebus kesalahan saya, dan rasa bersalah saya.  Tak sangka ini yang saya dapat.  Tapi, tak  pelah, terima kasih sebab simbah saya.”  Lelaki itu melangkah beberapa tapak, tetapi berhenti.  “Saya cuma nak buktikan yang saya bukannya jenis kacang lupakan kulit.”  Dia berjalan laju semula selepas menuturkan penyataan itu.
Aya memandang lelaki tadi, waktu dia sudah membelakangkannya.  “Aya, kesian pulak aku tengok abu nawas kau tu..  Baik kau jumpa supervisor, tanya alamat syarikat dia.  Mana tahu kau dapat kerja lagi bagus dari sini ke?”, Sara memberi cadangan.  Aya masih diam.  Dirinya sudah berada 10 tahun lepas.  “Kacang lupakan kulit?  Aku kah tu?”
Aya tercegat-cegat memandang sekeliling.  Syarikat sudah jumpa, tapi silap dia tidak bertanya nama si abu nawas itu.  Terpaksalah dia duduk sambil menunggu seorang demi seorang pekerja yang masuk ke dalam syarikat itu. 
“Selamat pagi, tuan,” sapa gadis di kaunter pertanyaan sewaktu Aya masih ralit membaca suratkhabar berbahasa inggeris (padahal tengok gambar je, tak faham!).  “Selamat pagi.  Tunggu siapa tu?”, Aya hanya mendengar, pasti soalan itu ditujukan bermotifkan dirinya.  “Em.. minta maaf, tuan.  Tapi, dia cakap dia nak jumpa abu nawas!”  Aya menurunkan suratkhabar, menampakkan matanya sahaja.  Dua pasang mata sedang memerhatinya.  Tatkala memandang wajah lelaki yang dicarinya, matanya membulat dan suratkhabar diturunkan sepenuhnya.
“Haa.. dia nilah abu nawas yang dicari!”  Aya lantas memekik, membuatkan gadis dihadapannya hampir tergelak.  Namun, ditahan memandangkan wajah serius bosnya.  Aya masih tersengih-sengih.  Lelaki itu tidak bereaksi. 
“Lily, bagi dia borang mintak kerja.  Lepas tu suruh dia masuk bilik saya,”  arahnya lalu berjalan meninggalkan Aya terpinga-pinga.  Aya mendapatkan gadis yang dipanggil Lily. 
“Kenapa tu, sakit perut ke?” tanya Aya, separuh berbisik. “Cik, abu nawas cik tu, bos kami semua!”  “Haa?!”
“Ya.. saya bos kat sini, ada masalah ke cik Suraya?”, kata lelaki itu sebaik sahaja Aya duduk menghadapnya.  Aya sengih sambil menggeleng.  “Minta maaf..” kata Aya perlahan.  “Sebab?”  “Mandikan tuan dengan air bilasan lantai.”  “Maafkan.. em, tengoklah  kalau ada masa.  Awak ni banyak sangat kesalahan dengan saya..”  “Takkan sebab nila setitik, rosak susu sebelanga?”  “Awak ingat kesalahan awak setitik ke?  Sebaldi, tahu.  Dahlah panggil saya abu nawas!”  “Dah tuan tak beritahu nama tuan!”  “Dah awak tak tanya!”  Aya diam.  Mati kata.  Lelaki dihadapannya masih membelek borang jawatan kosong yang baru diisinya bersama fail sijilnya.


Lelaki dihadapannya menolak fail sijil hampir dengan Aya.  “Tiada jawatan yang sesuai dengan kelulusan awak.”  Lelaki dihadapannya membuka fail kerjanya dan membiarkan Aya terkebil-kebil.  “Pintu keluar kat sebelah sana.”, telunjuk diluruskan sambil mata masih setia pada kandungan failnya.


“Paku dulang, paku serpih.  Mengata orang dia yang lebih!  Tuan ingat kesalahan tuan pada saya sebaldi ke?  Setangki, tahu?!  Menfitnah orang sampai saya kena pecat, menipu lagi!  Tapi, tak pe lah.  Saya tahu tuan ni bukannya spesis kacang yang lupakan kulit!  Terima kasih!”, bebel Aya sambil berjalan ke pintu keluar bilik.


“Esok mula kerja.  Datang pukul 8.30 pagi.  Tepat!  Tiba-tiba sayarasa penat dengan kerenah despatch saya tu, asyik ponteng kerja je.”  Langkah Aya terhenti.  “Betul ke, tuan?  Tuan nak suruh saya jadi despatch?”  


“Kenapa, tak nak?  Tulis pada form ada lesen motor?”  “Eh, nak.. nak!  Memang cita-cita saya nak jadi posmen masa sekolah rendah.  Despatch  pun kira sama lah!  Terima kasih tuan!  Terima kasih.. ”  “..Nama saya Luthfi.”  Keterujaan Aya terhenti.  Lama dia memandang lelaki dihadapannya yang masih tekun meneliti kerja.  Lama diam, membuatkan lelaki itu mendongak.


“Eh, awak apa masalah lagi nih?!”  “Apa.. nama.. tuan?”  “Luthfi!  Luthfi Mohamad!  Nak tengok ic ke?”  Cepat-cepat Aya menggeleng.  Senyuman diukir.  Luthfi didepannya bukan Luthfi yang dikenalinya.  Bukan  Luthfi masa lampaunya.  Bukan Luthfi, teman peribahasanya.  “Nama tuan mengingatkan saya pada seseorang.  Tapi, tak mungkin tuan dan dia adalah orang yang sama..”, bisiknya, tapi masih ditangkap pada pendengaran Luthfi. 
“Kenapa, sebab saya hensem ke?”  Aya memandang Luthfi yang masih tidak bertentang mata dengannya.  Aya menjeleng, sambil melangkah keluar.  “Muka tembok!”, bisiknya.  “Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar!  Datang lambat si muka tembok ni potong gaji awak!”, pekik Luthfi masih bersahaja.  “Telinga lintah!!” Pintu dihempas membuatkan staf  yang lain memandang ke arah Aya.  Aya hanya sengih sambil berjengkit-jengkit keluar. 


Baru sehari bekerja, terasa seperti sudah sebulan kerja.  Mahu mengeluh, takut dikatakan tidak beretika oleh majikannya.  “Aik, tuan.. photostat pun bidang kerja despatch  ke?”  Luthfi meletakkan pennya dan menumpu perhatian kepada gadis didepannya.  “Kenapa, tak boleh buat ke?”  “Eh, boleh!  Siapa cakap tak boleh!  Tapi, kena bayar gaji saya lebih la bulan nih.  Tuan, mana ada benda percuma dalam hidup!”  “Banyak cantik muka awak!  Kerja tak sampai sehari, ada hati nak duit lebih!  Dah, ambilkan kopi untuk saya!  Haus saya bercakap dengan awak ni!”  Aya membulatkan mata. 


“Ini sudah lebih!”  Aya seraya menepuk meja.   Luthfi menjungkitkan keningnya.  “Saya bos ke awak bos?!”  Aya baru tersedar yang dia kini berhadapan dengan bosnya, bukan dengan Luthfi, rakan  sekolahnya dulu yang sentiasa menurut semua kerenahnya.  “Opss..  sorry!  Semestinya lah tuan yang baik hati dan kacak ni bos saya!”  Aya tersengih-sengih.  “Tahu pun!  Apa lagi, cepat lah buat kerja!”  Luthfi tunduk, dan seusai Aya keluar dari biliknya, dia senyum sambil menggeleng kepalanya.


Aya mengelap meja makan, selepas pelanggan meninggalkan tempat dan membuat pembayaran.  Selesai, dia kembali kepada Sara, menemaninya makan di satu sudut restoran.  “Macam – macam dia suruh aku buat!  Aku rasa tak lama lagi, aku boleh jadi CEO kat situ!”  Sara tergelak.  Macam tidak kenal rakannya yang dikenali sewaktu sama-sama mencari rezeki 2 tahun dulu.  Kalau bab cerita, mesti nak berlebih-lebih.


“Kau tahu, kalau aku bercakap dengan dia, aku  rasa macam dia Luthfi yang aku kenal.  Tapi, aku tahu semua tu mustahil!”  “Aya, mana tahu dia buat plastic surgery?!”  “Tapi, takkan lah sampai hensem tahap meleleh macam tu?!”  Sara mengangguk-anguk, mengiakan kata-kata Aya.  Panggilan dari tokey kedai membuatkan Aya segera berlari mendapatkan meja yang didatangi pelanggan.


“Makan apa, encik?”  Aya menunduk menulis sesuatu di buku notanya.  “Nak makan awak, boleh?”  Aya mendongak.  Luthfi tersengih-sengih bersama seorang wanita berambut perang disebelahnya.  “You ni, ada-ada je!  Nampak sangat you ni memang gatal, depan I pun ada hati main mata dengan orang lain!” , gadis disebelah kian mencemburui gurauan Luthfi.  Aya membalas senyuman.
“Kalau nak makan saya, tak ada orang lah pulak nak hantar surat tuan!”  “You, ni staff I lah..”, terang Luthfi pada gadis disebelahnya, menampakkan muka lega gadis itu.  “Sally.”  “Aya.”  Mereka bersalaman.  Nampak gedik, tapi peramah orangnya.


“Kerja sini?”  Aya mengangguk, menjawab soalan majikannya.  “Siang malam kerja.  Rajinnya.. tak cukup ke gaji saya bagi?”  Aya geleng.  “Saya nak kaya cepat.  Nak lagi kaya dari tuan!”  Mereka tergelak.  Aya hanya senyum, sambil otaknya ligat membuat tanggapan mengenai bos yang baru dikenalinya sehari.  Miang rupanya!


“Kerja baik-baik.  Balik, terus tidur.  Esok boleh bangun awal, boleh datang kerja tepat masa!”  Sempat Luthfi berpesan, sambil mengenyitkan mata kepada Aya.  Walaupun terkejut, Aya hanya mengangguk seperti burung belatuk. 


Dari pagi Aya keluar menghantar surat dan bila dia balik ke pejabat, terus dia dipanggil Luthfi untuk menyusun fail di dalam biliknya.  Tiba waktu rehat, cepat-cepat dia keluar dari bilik Luthfi.  Bergegas ke stor, menyusun kotak, menepuk-nepuk sedikit dan mengiring untuk melelapkan mata.


Rasanya baru beberapa minit bermimpi, dia terjaga bila telinganya rasa perit.  “Aduh!”  Luhtfi dengan muka nakalnya sedang memulas telinga Aya, seperti seorang guru displin sedang mendenda pelajarnya.  “Sakitlah, tuan!”  “Tahu sakit?!  Saya terpekik-pekik panggil awak, awak boleh curi tulang kat sini?!”  “Bukan curi tulang pun!  Saya tidur je kat sini!  Takkan saya nak tidur dalam bilik tuan?!  Masa rehat pun sekarang!”  “Masa rehat?  Sekarang dah pukul 3!”  Aya tergopoh-gopoh bangun.  “Minta maaf tuan!  Jam saya mati!”  “Abu nawas!”  Aya terkebil.  Pulang paku buah keras!


Akibatnya, dia terpaksa mengambil tugas Lily, membuat salinan 16 jilid dokumen sebesar kamus!  Jam  sudah menginjak pukul 6, barulah dia keluar dari bangunan pejabat.  Baru dia mahu menghidupkan enjin motornya, tiba-tiba tangannya ditarik seseorang.  “Eh, tuan!  Tuan nak culik saya ke?”  “Sebelum saya pulas telinga awak, baik awak diam!”  “Tapi, tuan..  saya dah lambat ni!  Nanti tokey restoran marah saya pulak!”  “Nanti saya bayar hari kerja awak kat restoran tu hari ni!”  “Tapi, tuan nak bawak saya pergi mana nih?”  “Pergi nikah, nak?”  Aya sudah senyum-senyum kambing. 


“Hei, dah sampai depan tok kadi ke?”  Aya cepat-cepat menggeleng, mengembalikannya ke alam nyata.  Mereka sampai ke sebuah restoran.  “Duduk!” Aya akur.  “Nak buat apa sini?”  “Haa.. nak basuh kain sini!”  Luthfi senyum bila Aya menarik muka masam.  “Makan lah cik adik sayang!”  Aya tunduk.  Malu dipanggil begitu.  “Kenapa tunduk?  Suka saya panggil macam tu?”  “Tuan  ni, pandai menanam tebu di bibir!  Patut girlfriend  ramai!”  “Girlfriend kan kawan perempuan, memang lah ramai.  Tapi, yang istimewa tak ada lagi!”  Aya mencebik.  Dusta!


“Bila last awak makan?  Tadi, rehat tak makan, kan?  Sibuk membuta!”  Aya melihat siling restoran.  Baru teringat, patut lah perutnya berdondang sayang dari tadi.  Tapi, dia sudah biasa begitu.  Makan sekali sehari sahaja.  Apa yang ajaibnya?


“Saya diet!”  “Sekeding pun nak diet?”  “Tuan pun sama!”  “Alamak, serupa lah pulak kita ni!  Oklah tu, sepadan!  Berjodoh agaknya!”  “Tuan ni mengada-ngada, macam kawan saya!”  “Awak ni kalau bercakap dengan saya, mesti nak padankan dengan kawan awak tu!  Bagus sangat ke dia tu?” Aya diam sejenak, lalu menyambung.  “Dia kawan saya lah tuan, dunia akhirat!  Tapi, saya tak tahu dia pergi mana sekarang.  Dia merajuk sangat dengan saya..”  Aya bersuara sayu, menambah minat Luthfi untuk menyelongkar ke lubuk hati Aya.  “Kenapa..?”


“Sebab saya dah hancurkan hati dia.  Saya dah kecewakan dia.  Saya dah hina dia..  Saya hina dia, yang ikhlas meluahkan isi hati dan perasaan dia pada saya..  Saya, saya tak sengaja.  Saya terlalu ikutkan ego saya.  Tapi, saya pun tak sanggup kehilangan seorang sahabat karib..”  Keadaan hening.  Masing-masing melayan perasaan.  Aya masih menunduk.  Airmatanya kian bergenang.  Luthfi memandangnya, lama.  “Aya.. awak menyesal?”  Cepat-cepat Aya mengangguk dan airmatanya menitis laju.  “Mesti dia dah benci saya.  Mesti dia dah tak mahu jumpa saya..”


“Aya..”  Aya masih menunduk, masih malu bertentang mata dengan majikannya bila airmata sudah menghiasi wajahnya.  “Aya cik adik sayang.. “  Aya masih membisu.  “Saya percaya kawan awak tu dah maafkan awak, dan mesti ada sebab untuk dia jauhkan diri dari awak. Percaya lah cakap bos awak yang sama nama dengan kawan awak tu.  Bos awak yang kacak ni, bukan setakat mulut manis, tapi mulut masin jugak tahu!”  Aya gelak sambil mengesat saki airmata.  “Jom makan, saya belanja.  Mesti awak ni lapar, sebab tu awak nak touching-touching segala nih!”  “Tuan belanja tahu!  Jangan potong gaji saya sudah!”  “Ya lah!”


Waima betapa banyak sekalipun kerja yang Luthfi berikan kepada Aya, Aya menjalankan tanggungjawabnya dengan senang hati, kerana Luthfi sudah berjanji akan membayar gajinya lebih jika dia rajin.  Luthfi mahu  Aya berhenti kerja di kedai makan pada waktu malam, kerana katanya khuatir kerja sambilan akan memenatkan Aya sekaligus mengganggu masa kerja Aya di waktu siang.  Tapi, kedegilan Aya yang tetap mahu bekerja sambilan dengan alasan  sudah biasa membuatkan Luthfi mati kata.


“Tuan, motor saya tak ada atap!”  Luthfi mengalihkan pandangannya dari laptop ke wajah Aya.  Kening dikerutkan, minta Aya menjelaskan maksud tersiratnya.  Nak beli kereta ke?


“Hujan kat luar, camane nak hantar surat tu.  Dah lah jauh!”  Luthfi menarik nafas.  Ingatkan apa!  “Takkan awak ni spesis kambing kut?”  “Bukanlah.. tapi..”  “Abu nawas!”  Aya menghentak kaki sambil mengerlingnya.  Tidak suka dipanggil begitu.  “Ye lah, saya lah abu nawas!  Puas?!”  Sampul surat sebesar kertas A4 di atas meja Luthfi diambil kasar.  Sempat dia mendengus kasar dan menghempas kuat pintu.  Luthfi sekali lagi geleng kepala sambil sengih panjang.  Suka mengusik Aya begitu.  Suka melihat wajah Aya yang naif itu marah-marah dan merungut.
L
uthfi menghenyak badannya di kerusi empuknya yang menghadap meja.  Usai mesyuarat, terus dia kembali ke pejabat.  Setengah jam menyiapkan kertas cadangan untuk dilanjutkan kepada pihak pemaju, dia teringat sesuatu.  Aya!  Mesti dia curi tulang lagi.  Segera dia menjenguk ke stor.  Tiada!  Pantry.  Tiada!  Luthfi menggaru kepala. 


“Lily.. Suraya mana?”  Interkom ditekan di dalam biliknya.  Tiba-tiba hatinya rasa tidak tenteram.  Dia menjengah ke luar.  Hujan masih lebat mencurah ke bumi.  Drama Aya dan dirinya tadi tergambar di tubir mata.  “Maaf tuan.  Dia tak balik dari pagi tadi.”  Suara Lily membuatkan Luthfi menelan air liur.  Jam dikerling.  Pukul 3.55 petang. 


“Lunch pun dia tak masuk office?”  “Tak tuan.”  “Cuba contact handphone dia.  Sambungkan pada saya.  Mana dia pergi ni?  Saya nak minta dia hantar proposal saya ni.”  “Baik, tuan.”  Klik.  Talian mati.  Lama dia menanti.  Matanya asyik terencap pada telefon pejabat di tepinya.  Hatinya dipaut resah.  Segera dia melangkah keluar, mahu bersoal jawab sendiri dengan Lily.


“Macam mana, Lily?”  Lily menggeleng.  “Tak dapat dihubungi..”  “Cuba lagi.  Tak angkat ke enganged?”  “Not in service.”  Bukan jawapan yang Luthfi kehendaki.  Luthfi makin mundar mandir.  Lily sudah penat mendail dan menggeleng.  “Tuan, saya.. tak sedap hati.”  Lily terus terang.  “Kenapa?”  “Dia ada cakap, dia.. dia lupa bawak baju hujan.  Dia tak boleh kena hujan.  Tadi, dia bising-bising sebelum keluar.”  Penjelasan Lily makin mengundahkan perasaan Luthfi.  Rasa bersalah semakin menghantui dirinya.  Apa-apa terjadi kepada Aya, dia tidak mungkin dapat memaafkan dirinya.


“Em.. macam ni.  Awak tahu alamat dia pergi tadi?”  Lily mengangguk dan segera memberikan alamat tersebut kepada Luthfi.  Bergegas jugalah Luthfi berkejar ke alamat tadi.  25 minit perjalanan, hujan masih setia mencurah sewaktu dia sampai ke alamat yang Lily berikan.  Kaunter pertanyaan ditujunya, bertanya jika ada seorang despatch perempuan datang ke mari.


“Lah, encik.. lepas hantar surat kat sini, budak tu lah yang accident kat depan jalan besar tadi.”  Seolah mahu gugur jantung Luthfi mendengar perkhabaran gadis bertudung tadi.  Tambah  mengukuhkan dakwaan dengan anggukan beberapa orang staf disebelahnya.  Sempat mereka bercerita, daripada saksi yang mengatakan motor yang ditunggangnya tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.


Bekejar pula Luthfi ke hospital yang dimaksudkan.  Bertanya pada jururawat bertugas, dan berlari ke wad yang ditunjukkan.  Airmata menitis tidak perlu diminta bila mana melihat keadaan Aya yang berbalut dikepala dan kaki kirinya.  Kata doktor, lukanya tidak begitu parah, tapi dia masih perlu menjalani rawatan rapi di hospital.


“Aya.. maafkan saya…” Luthfi mengusap kepala Aya yang masih dalam keadaan tidak sedar.  Namun, esakkan Luthfi menyedarkan Aya dari lenanya.  “Tuan..,” panggil Aya, perlahan.  Luthfi masih menunduk.  “Tuan.. jangan lah sedih.  Saya hidup lagi ni.  Saya takkan tinggalkan tuan selagi tuan tak bayar gaji saya double!”  Luthfi tergelak, tapi tangisnya masih bersisa dan masih menunduk.


“Maafkan saya..”  “Tuan, pesal nak minta maaf?  Saya yang terhuyu-hayang bawa motor tadi.  Patutnya saya dah tahu tak larat, saya berhenti je dulu.  Ni tak, saya degil..”  “.. tak sabar nak balik office sebab nak jumpa saya, kan?”  Mereka sama-sama gelak. “Aya cik adik sayang..” Aya hanya mengangguk dipanggil begitu.  “Janji jangan buat saya risau lagi, ok?”  “Janji!”  Jari kelengkengnya diangkat, dan dipaut jari kelengkeng Luthfi.


“Pesal keluar cepat sangat?!”, marah Luthfi tatkala ternampak Aya sudah terpacak di pejabat pagi itu.  “Tuan ni, tanya pulak!  Dah doktor bagi keluar awal!”  “Tipu, saya dah tanya doktor.  Dia cakap awak patut keluar wad minggu depan!”  Aya mengerut muka.  “Tak nak jumpa saya, cakap je lah!  Saya dah cuti lama, dah hilang duit saya banyak!  Motor pun dah rosak, tu semua kena guna fulus!  Dah lah, saya sambung kerja!”  Aya berpaling dari Luthfi yang tegak di depan pintu biliknya.  “Motor saya dah upah orang suruh baiki!  Lain kali bawak motor baik-baik!  Malang tak berbau!”, kata Luthfi sekilas dan masuk ke biliknya.  Aya senyum lantas berpaling menghadapnya.  Tapi, pintu sudah ditutup.  Segera Aya mendekatkan mulutnya dicelah daun pintu.  “Terima kasih daun keladi!  Nanti nak lagi!  Tuan sangat baik hati dan kacak!”, pekiknya tanpa membuka pintu.  Semua staf memandang perilakunya.  Namun dia hanya tersengih.  Majikan mereka memang seorang yang sporting!


Bagai isi dengan kuku.  Itulah yang dijolokkan staf-staf pejabat setiap kali ternampak Luthfi dan Aya berdua.  Akrab walaupun selalu bertikam lidah mengenai pelbagai perkara.  Paling mengharukan Aya, semasa dia berada di hospital bosnya selalu  menjenguknya.  Bosnya itulah yang sering datang bersama senyuman dan jika dia tidak dapat hadir, jambangan bunga yang akan menggantikan dirinya.


“Kenapa awak rajin sangat kerja?”, tanya Luthfi sewaktu mereka berdua berteleku menghadap tasik.  Kedengaran juga keriuhan kanak-kanak bermain di belakang mereka dan panorama senja di depan mata memang mengasyikan Aya.  Bawah pokok itu memang menjadi tempatnya meluahkan segala rasa.
“Kan saya dah cakap.. saya nak cepat kaya!”  Luthfi masih belum berpuas hati.  “Kenapa awak suka duduk kat sini?”  Aya terus menghadap Luthfi yang masih berlagak bersahaja.  “Mana tuan tahu ni?  Mesti tuan selalu intip saya, kan?”  Luthfi sengih.  “Jawab lah soalan saya..”  Aya mengalih pandangannya.  “Sebab.. tempat ni mengingatkan saya waktu kecil-kecil dulu..”  “.. dengan kawan awak yang sama nama dengan saya, ke?”  Aya mengangguk dan senyum.  “Dekat padang sekolah rendah dulu, boleh tengok matahari terbenam.  Cantik sangat.  Kami selalu ke situ, biarpun dah sekolah menengah.  Suara kanak-kanak kat belakang ni pun mengingatkan saya tentang dia.  Sebab saya selalu teman dia duduk kat tepi padang, waktu orang lain main.  Sebab dia tu gemuk, tak ada orang nak main bola dengan dia!”  Aya gelak.  Luthfi tumpang sekali.


“Saya selalu ke sini.  Saya pun rindu zaman sekolah saya. . Tu yang perasan awak kat sini..”  “Ye lah tu!”  Aya mencebik.  “Em.. spy awak pun ye jugak.  Takut awak jatuh motor lagi.  Nanti tak pasal saya kena bayar lagi!”  Aya memukul Luthfi.  Saja mahu mengenakannya.  “Tangkai jering!  Buat apa intip saya!  Macam saya girlfriend tuan pulak!” 


“Memang awak girlfriend saya pun!”  Aya terdiam.  Tapi dia buat-buat tidak faham.  “Ha’ah, kan.  Saya memang kawan perempuan tuan, kan?  Lain cerita pulak macam Sandra, Sally, Samantha, Suzy dan semua yang S-S tu!”  “Apa lain pulak, sama je.. awak Suraya!”  Aya bangun sambil cekak pinggang.  Geram cara majikannya bergurau.


“Dah lah, saya nak balik!”  “Apasal naik angin ni?  Awak tak nak ke bercinta dengan saya?  Sehidup semati dengan saya.  Sampai hati awak!”  “Saya tak nak jadi koleksi album teman wanita, tuan!” kata Aya masih lagi berjalan meninggalkan Luthfi.  Segera Luthfi bangun dan mengejarnya. 


“Saya tak nak pun awak jadi koleksi semata.  Saya akan buat satu album limited edition untuk awak seorang saja.”  “Tin kosong!”  Aya melangkah makin laju.  “Macam mana kalau saya serius?” sempat Luthfi memegang hujung bajunya.  Langkah Aya mati.  Semati katanya.  Semati fikirannya.  Luthfi masih dibelakangnya.  Permainan apakah lelaki ini tayangkan?


Belum sempat kata diatur, telefon bimbit Aya berbunyi.  Luthfi merungkai erat tangannya pada Aya.  “Hello..  Ya, saya Suraya.  Em.. Ha?!  Apa?!”  Aya terduduk mendengar perkhabaran itu.  Airmata yang menitis membuatkan Luthfi disebelah turut dipaut rasa cemas.  “Kenapa ni?!  Aya?” Luthfi menepuk-nepuk bahu Aya yang masih menangis.


Luthfi berlari mengikut rentak perjalanan Aya.  Tidak banyak bicara yang keluar.  Hanya yang sempat ditangkap pada pendengaran Luthfi, ibunya masuk hospital selepas dilapor jiran tidak sedarkan diri sewaktu datang menjenguknya di rumah.  Sekarang, sedang nazak di unit rawatan rapi.  Sampai di wad, Aya hanya berdiri di luar wad.  Mengumpul sebanyak mana kekuatan untuk berdepan ibunya.  Dia memandang Luthfi.  Mungkin lelaki itu boleh memberinya keberanian dan ketabahan.  Luthfi yang seolah mengerti, terus senyum lalu mengesat airmata yang deras mengalir dipipinya.  Lirik matanya ditala ke dalam wad, menyuruh Aya masuk segera ke dalam.  Aya mengangguk.  Perbualan bisu menemani mereka.


“Mak..”  Ibunya membuka mata.  Alat bantuan pernafasan dialihkan, memberi ruang untuk berbicara.  “Maafkan mak, sebab susahkan  Aya.  Mak janji tak akan susahkan Aya lagi..”  Aya tidak dapat menahan airmatanya.  “Jangan cakap macam tu, mak.  Aya sayangkan mak.  Mak tak pernah susahkan Aya.  Aya yang selalu susahkan mak. .”  Tangan Aya dipegang.  “Aya.. Aya anak mak yang mak sayang sangat.  Terima kasih sebab sudi menjadi susah dan senang bersama mak dan ayah.  Menumpang kasih kami yang tak ada sesiapa lagi di dunia ni, walaupun kami cuma mak ayah angkat Aya.  Mak rasa, dah tiba masa mak ikut jejak ayah..”  “.. mak!  Jangan cakap macam tu!  Mak dan ayah tetap mak dan ayah Aya!  Aya sayang mak, jangan tinggalkan Aya!  Aya dah tak ada sesiapa lagi, mak!”  “.. jangan lupa, Aya ada Allah.  Allah yang selalu menemani kita walau macam mana keadaan kita.  Dah tiba masanya juga Aya cari mak ayah kandung Aya macam mak pesan dari dulu lagi.  Cari Puan Syarifah tu.  Cari kakak Aya, Suhana.  Bukan nak menumpang senang mereka.  Cuma nak tebus kesilapan mak dan ayah yang ambil Aya dari mereka..”  Aya tunduk dan menyembamkan mukanya dalam pelukan ibunya.  Tangisan masih tidak dapat dihentikan.  “Ingat Aya.. janji dengan mak Aya.  Aya tunaikan lah permintaan mak dan ayah ni..”  Aya mengangguk laju.


Luhtfi meraut mukanya.  Apa yang ditangkap dipendengarannya daripada jiran-jiran Aya yang berada di situ, betul-betul menformat semula takrifan Aya dalam hidupnya.  Aya, anak angkat yang sudi bekerja siang dan malam demi membayar kos rawatan ibu angkatnya yang menghidap barah payudara.  Patutlah kerja siang malam tapi tak kaya-kaya!


Pusara yang masih merah tanahnya dipandang lama.  Sudah seminggu ibunya meninggalkannya, dan seminggu jugalah Aya berulang alik ke situ, tanpa mempedulikan hal kerja.  Selesai membacakan surah Yaasin,  dia memegang nisan ibunya yang disemadikan di sebelah pusara ayah angkatnya.  Teringat pesan ibunya, membuatkan airmatanya kian galak menitis.  Belum sampai beberapa langkah dari situ, dia disapa seseorang.  Mukanya yang sembab diangkat.  “Tuan..”  Luthfi senyum sekilas.  “Takziah.. Maaflah, baru hari ni sempat datang menjenguk.”  Aya mengangguk.  Faham kesibukan majikannya.


“Saya minta maaf.  Tak dapat datang kerja lama.  Mungkin, tak dapat datang terus, kut..”, katanya perlahan.  Luthfi terkejut.  “Kenapa?  Dah putus asa hidup?  Mana pergi Aya saya yang begitu kuat semangat dan rajin dulu?!”  Aya geleng kepala lagi dan terusan menangis.  “Tuan.. putus benang boleh dihubung, putus arang bercerai lalu!”  “Tapi, patah tumbuh, hilang berganti!  Saya ada, Aya..”  Aya diam.  Sendunya terhenti. 
“Aya.. saya tak pernah main-main dengan apa yang saya cakap pada awak hari tu.  Saya bersedia menerima siapa saja awak asalkan awak ada dihati saya..”  Aya mengimbau kembali kata-kata Luthfi pada kali terakhir dia berjumpa.  Dadanya sesak.  Seriuskah dia?


“Tuan, rasanya tak sesuai untuk bincang semua ni sekarang.  Saya tak rasa saya boleh terima tuan.”  Luthfi menghela nafas berat.  “Ambillah sebanyak masa pun awak mahu.  Saya cuma nak awak tahu, saya sentiasa ada untuk diri awak.  Bagilah peluang pada diri saya.   Saya yakin dengan apa yang saya rasa.  Saya yakin awak pun sama.”  Aya masih kaku memandang bumi.  Keliru.  Melihat reaksi Aya, Luthfi lantas berpaling meninggalkannya.  Membiarkan Aya memikirkan sedalam-dalamnya.


Walaupun dia tidak pasti dengan pilihannya, dia akur dengan nasihat Sara yang mahu dia bekerja semula untuk terus hidup.  Sekurang-kurangnya, dengan bekerja dia dapat melupakan sebentar kerinduannya kepada ibu dan ayahnya.  Tentang Luthfi, Sara memihak kepada majikannya itu.  Beri peluang dan ruang!
Semenjak dia kembali semula bekerja, bayang Luthfi masih tidak kelihatan berada di pejabat.  Menelefonnya pun apatah lagi tidak.  Tiada jejak dan kesan.  Dalam keadaan kehilangan begitu, Aya dapat merasai sesuatu.  Kerinduan!


Sampai di pejabat, pasti dia akan  menjenguk bilik bosnya.  Tiada!  Hampa.  Bila keluar, wajahnya terasa berada di mana-mana, seolah-olah mengiringinya dan senyum nakal sambil mengenyit mata seperti selalu.  Seolah-olah juga Luthfi yang mengamitnya, memujuknya dengan panggilan manja.  Tiap masa mahu dia ada didepan mata, menemani dan mengirimkan kata-kata semangat seperti selalu.  Inikah cinta?


“Sejak you tak ada hari tu, dia memang jarang masuk office.  Last week dia pergi meeting ke Langkawi.  Sebab tu dia tak ada.  Tapi, bila you ada, dia pulak tak ada, “  tutur Lily tatkala Aya asyik berulang menjengah bilik Luthfi.  Mungkin perasan dengan kegelisahan yang bersarang dalam jiwanya.  Aya sengih, malu rahsia hatinya terbongkar. 


“Minggu ni diacakap dia tak sihat.  I have told him about you, dia diam je.  Maybe, you patut melawat dia kat rumah.  Baru dia cepat sihat, kut?”  Aya teruja mendengar cadangan Lily.  Segera dia meminta alamat rumah majikannya dari Lily.  Satu flying kiss dengan ucapan terima kasih dilemparkan sebagai tanda penghargaan.  “Good luck!”  Lily membalas.


Aya memangkir motornya di hadapan banglo besar seperti dimaksudkan di alamat yang Lily kirimkan.  Sewaktu mulutnya melongo melihat kesergaman binaan konkrit didepannya, pintu pagar terbuka menampakkan halaman rumahnya yang dihias indah dengan tumbuhan hijau.  “Boleh saya jumpa dengan  Tuan Luthfi?”  Wanita Indonesia yang berumur sedikit darinya mengangguk dan membawa Aya masuk.  Wanita itu kemudiannya mempersilakan Aya duduk di ruang tamu sementara dia memanggil orang yang dimaksudkan.


Aya tertarik dengan rangkaian gambar yang tersusun cantik di hujung ruang tersebut.  Gambar sekeluarga majikannya barangkali.  Luthfi, disebelahnya seorang lelaki lewat 40-an, seorang wanita berhijab yang nampak berumur tapi masih nampak anggun dan seorang wanita yang nampak sebaya dengan Luthfi.  Barangkali adik perempuannya yang belajar di Adelaine, Australia seperti yang pernah diceritakan oleh Lily.  Namun, hatinya tercuit melihat gambar seorang bayi dalam posisi meniarap di sebelah gambar keluarga tersebut.  Lama dia merenung dan mendekati gambar itu.


“Itu gambar anak bongsu perempuan Datin Saleehah...”, sapa satu suara membuatkan Aya sedikit tersentak lantas berpaling mendapatkan empunya suara.  Aya melurut dada meleraikan kederasan degupan jantungnya setelah melihat seorang wanita separuh abad, memakai anak tudung dan berkain batik, mungkin ketua orang gaji sedang senyum ke arahnya.  Dia senyum dan menyalami wanita itu.  Seketika kemudian, dia mengamati semula wanita di depannya.


“Macam pernah jumpa, kat mana, ya?” Aya cuba memproses kotak ingatannya.  Wanita itu turut mengerutkan dahinya.  “Oh, baru saya ingat!  Mak cik Som kan?  Ingat tak 10 tahun lepas.  Saya jumpa mak cik masa mak cik kerja kat rumah Luthfi?  Saya, Aya lah!  Ingat tak?!”  Aya terusan memaksa ingatan wanita itu.  Lama dia termenung, barulah  mak cik Som mengangguk-angguk, mengiakan tekaan Aya.
“Mak cik Som apa khabar?  Luthfi pulak?  Macam mana pulak boleh kerja dengan orang lain tapi nama sama ni?”, pertanyaan Aya membuatkan mak cik Som terdiam.  “Apa pulak orang lainnya?  Mak cik masih kerja dengan orang yang sama.. Amboi, mentang-mentang lah Luthfi dah hensem sekarang, boleh pulak Aya buat-buat tak kenal dia!  Habis tu, macam mana boleh tahu rumah dia ni?”  Giliran Aya pula yang terdiam.  Luthfi yang sama?!


“Maksud  mak cik.. Luthfi yang 10 tahun dulu dengan Luthfi yang saya kenal hari ni adalah orang yang sama?” terketar-ketar Aya menuturkan penyataan itu.  Mak cik Som mengangguk lambat-lambat dengan wajah yang hairan. 
“Ya, saya Luthfi bin Dato’ Mohamad Hanafi. Kenapa?  Ada masalah ke?”, jawab satu suara yang sedang menuruni anak tangga.  Aya berpaling.  Melihat wajah Luthfi yang sedikit pucat tapi masih berlagak biasa membuatkan nafasnya terasa seperti terlekat dijantungnya.  Jiwanya terjerut.  Betapa selama ini dia ditipu oleh kata manis lelaki itu.  Airmata tiba-tiba menitis lagi mengenangkannya walaupun sudah diikrar tidak mahu menangis lagi.    
Malu dan kecewa.  Dirinya terasa kerdil.  Tidak mampu lagi berdiri di situ.  Lantas, segera dia berlari keluar.  Tapi, ditahan Luthfi.  Mak cik Som hanya memerhati dari kejauhan. 
“Ada apa datang?”  “Perlu ke aku beritahu?!”, pekiknya dalam sendu tangisan dan masih tidak mahu berdepan dengan Luthfi. 
“Ikut suka awak lah.. Awak nak balik sangat kan?  Haa, balik la sekarang!”, Luthfi menapak menjauhinya.  “Kenapa..  Kenapa kau buat aku macam ni?  Sampai aku sanggup datang jumpa kau hari ni semata-mata sebab nak cakap aku cintakan kau?”, tanya Aya masih dalam posisi yang sama.  Luthfi gelak sinis.  “Oh,  dah jatuh cinta rupanya!  Kiranya berhasil juga lah taktik saya sampai ada hati dah mencair.  Ingat nak berterusan sampai hari akad  nikah.  Tapi, tak sangka pulak cerita ni cepat habis!”  ketawanya basih berbaki.  Aya menapak beberapa langkah ke depan.  Tiada guna dia berada di situ lagi.  Hanya menabur garam di luka yang parah.
“Senang je alasannya.  Balas dendam.  Saya nak awak rasa apa yang saya rasa dulu.  Em, dalam ini cerita, rasanya sayalah enggang kut!” kata Luthfi dengan senyum sinis sambil mengimbau kenangan lampau.
Aya lantas berpaling menghampiri Luthfi lalu menamparnya.  “Kau kejam! Aku benci tengok kau!  Kau lah orang yang aku paling menyesal berjumpa selama hayat aku dan jangan pernah muncul lagi dalam hidup aku!!”  Aya berlari keluar dari rumah itu dengan deraian air mata.  Luthfi memandang Aya pergi dari rumahnya sekaligus pergi dari hidupnya bersama mata yang berkaca.  Dia menggeleng, meminta perasaannya tidak menganggu minda dan tindakannya.  Perlahan-lahan dia masuk ke dalam ruang rumahnya.
“Kenapa sanggup buat Aya macam tu, Luth?  Bukan ke dah lama sangat Luth tunggu dia?” Mak cik Som inginkan penjelasan.  “Memang saya tunggu dia lama.  Tunggu dia untuk saat ini lah..”  Luthfi berjalan, namun mak cik Som memegang lengannya.  “Rasanya bukan itu niat sebenar kamu, kan?”  Luthfi senyum pahit.  “Dah terlambat untuk segala-galanya..”


Aya masih berada di bawah pohon mengadap tasik.  Surat perletakkan jawatan sudah diberikan kepada Lily untuk dilanjutkan kepada Luthfi.  Baginya itulah jalan terbaik untuk dia dan Luthfi.  Dia tidak bisa lagi bekerja dengan orang yang dibencinya.  Pada Sara juga telah dicerikan hal sebenar.  Sememangnya sahabat karibnya itu sendiri tidak pernah menyangka perkara sedemikian akan berlaku.  Tegarnya lelaki itu mempermainkan Aya tatkala Aya benar-benar memerlukannya.  Besar sangatkah dosa Aya kepadanya dulu? 
Aya masih merenung lama gambar waktu kecilnya yang dipangku oleh ibunya.  Betapa dia merindui saat itu.  Jika diberi pilihan, dia mahu ibu dan ayahnya membawanya bersama ke tempat azali itu.  Tapi, dia tidak upaya.  Dia hanya mampu berserah pada Allah, semoga dikuatkan hati dan imannya menempuh dugaan ini.


“Aya..?”  Panggil seseorang sambil menepuk lembut bahunya membuatkan Aya tersentak.  Kalung milik ibu kandungnya yang diberi ibu angkatnya tercampak ke tanah lalu matanya dipalingkan kepada empunya suara di sisi.  Wanita yang baru dijumpainya minggu lepas kembali menghiasi ruang penglihatannya, membawa bersama detik dukanya.  Aya mengesat airmatanya  bila wanita itu senyum lagi


“Mak cik Som?  Macam  mana boleh ada sini?  Luthfi suruh datang ke?”, tanya Aya, masih terkejut.  Mak cik Som menggeleng.  “Mak cik sendiri yang nak datang.  Tak ada sesiapa yang suruh atau paksa.  Cuma, Luthfi cakap dia suka datang sini.  Jadi, hati tua mak cik cakap, mesti dia ada sebab untuk dia suka datang sini.  Rupa-rupanya, ada orang juga yang suka benda yang sama..”  Aya mencebik. 


“Tak payah lah mak cik cakap pasal dia lagi.  Tak ada guna dah..”  “Nanti dulu Aya.  Mungkin, Aya rasa dah tak ada guna untuk Aya jumpa dia, tapi mak cik rasa Aya berhak tahu benda ni.  Kalau tak, seumur hidup mak cik akan menyesal, nak.”, kata mak cik Som sambil menggengam jemari Aya dengan mata berkaca.  Hati Aya terusik.  Dibuangkan juga egonya untuk mendengar. 


“Aya.. Aya tahu tak Luthfi tu waktu dia kecil, mak dia selalu sakit-sakit sampai dia kurang mendapat kasih sayang dan perhatian.  Dato’ Hanafi, jarang ada dirumah.  Dia selalu sibuk.   Sebab tu bila ada orang sudi nak berkawan dengan budak gemuk macam dia, dan melindungi dia masa dibuli, dia rasa terharu sangat.  Kalau dia balik sekolah je, dia selalu cerita pasal Aya pada ibu dia dan mak cik.  Betapa dia menghargai Aya dalam hidup dia sampai dia tak sangka dia akan jatuh cinta pada Aya, dan berani pulak dia meluah perasaan pada Aya.  Ya, memang dia sedih bila Aya tolak cinta dia.  Tapi, lagi menyedihkan bila ibunya meninggal masa dia balik sekolah dan dia baru nak bercerita mengenai kekecewaan dia.  Lepas daripada tu, Dato’ Hanafi mahu kami berpindah supaya dapat melupakan kenangan bersama isterinya.”


Aya melongo.  Dikuncikan mulutnya untuk segala pertanyaan.  Cuma dia tahu sesuatu, yang Luthfi berhenti sekolah bukan kerana dirinya.  “Luthfi kembali kesepian.  Dato’ Hanafi sibuk lagi.  Atau kata lain, sengaja menyibukkan diri.  Dia memang sangat sayangkan isterinya, dan mulanya tidak mampu menerima takdir yang menimpa.  Tapi, ada seorang wanita yang senasib dirinya.  Kehilangan suami dan anak perempuan semasa kemalangan.  Tambah berat, anaknya yang meninggal itu baru berusia 3 bulan, dan mayatnya tidak dijumpai di tempat kejadian.  Wanita itu, amat berharap yang anaknya masih hidup sehingga hari ni tapi dia hampa.  Dialah yang amat mengambil berat mengenai hidup Dato’ dan Luthfi.  Jadi, Dato’ mengambil keputusan untuk menikah dengan Datin Sharifah Saleehah pada umur Luthfi 18 tahun dan anak perempuannya 17 tahun..”  Aya menekup mulutnya.  “Datin Sharifah Saleehah?”, bisiknya.  Ingatannya terimbau pada gambar yang dilihatnya pada hari dia berjumpa dengan Luthfi.  Anak kecil itu ialah dirinya!


“Datin Saleehah sangat baik, tidak seperti  ibu tiri yang lain.  Dia begitu menjaga tertib anak perempuannya, khuatir disalah erti orang sekeliling.  Sekarang anaknya sudah tamat belajar di luar negara, dan mereka berhasrat untuk menyatukan Luthfi dan anaknya.  Luthfi hanya diam sebab dia berharap dia dapat berjumpa dengan Aya.  Sampai satu ketika dia cerita pada mak cik dia ternampak Aya di sebuah bangunan, dan dia gembira sangat.  Mak cik tak pernah nampak dia gembira begitu.  Tapi, gembiranya tak lama bila dia teringat niat Datin.  Datin yang banyak mencurah kasih sayangnya menggantikan ibunya, jadi dia tidak sampai hati untuk membantah.  Selain mak cik, Datin juga lah yang banyak menjaganya dan memberi kekuatan kepadanya waktu dia sakit..”, ceritanya berhenti di situ.  Airmatanya menitis.  Aya masih diam.  Berdebar menunggu cerita selanjutnya. 


“Sakit?  Maksud mak cik?”  Mak cik Som mengesat air matanya yang tumpah.  “Luthfi tidak punya banyak masa lagi.  Dia menghidap radang hati, Aya.  Buat masa ni tak ada penderma hati yang sesuai untuk dia.  Disebabkan penyakit tu dia kurus.. dan disebabkan penyakit tu dia tak mahu melukakan Aya..”  Aya turut sama menangis.  Ya Allah, dugaan apakah ini?  Berikanlah hambamu ini seribu kesabaran!


“Tapi, apa yang dia buat ni lagi melukakan saya, mak cik!”  “Aya.. dia mahu kamu membenci dia.  Dia mahu bila dia tiada lagi nanti, kamu tidak terus-terus mengenangkannya dan mencintai dia!  Dia mahu kamu melupakkannya.. Dia tidak mahu kamu menjadi seperti dirinya waktu ibunya meninggalkannya.  Biar dia seorang saja yang rasa perasaan sedih itu, bukan orang lain.  Bukan kamu, Aya.. bukan kamu..” Aya diam sambil menyandarkan belakangnya.  Dia buntu.  Benarkah ini semua?  Tidak mungkin wanita ini berbohong mengenai kematian. 


“Aya..  Luthfi sekarang koma dan ada di hospital.  Kelmarin, dia dikejarkan ke wad lepas jatuh dalam bilik air.  Jenguklah dia, mungkin buat kali terakhir..”  kata-kata mak cik Som berlegar dalam fikirannya waktu dia berada di depan pintu wad yang menempatkan Luthfi.  Kalau dulu, dia berdepan dengan ibunya, dan Luthfi yang menjadi penguat semangatnya.  Tapi, sekarang orang yang membakar semangatnya pula bakal dilawatnya.  Dia tidak tahu adakah dia kuat untuk berdepan hakikat ini.


Tiada sesiapa yang menemani Luthfi waktu itu.  Memang itu yang dia mahu.  Aya masih belum punya kekuatan untuk berdepan dengan wanita yang mungkin ialah ibu dan kakak kandungnya.  Wajah lesu Luthfi ditatap dengan linangan air mata.  Dengan wayar yang penuh berselirat, mata itu masih terpejam.
“Luthfi.. ini aku Aya.  Aku nak minta maaf.  Aku nak minta maaf Luthfi.  Aku sekali lagi buta dengan keikhlasan cinta kau.  Aku tak nak minta apa-apa pun dari kau.  Cuma aku minta kau sedar sekarang.  Aku nak kau maafkan aku, dan tahu yang aku pun cintakan kau..  aku tak nak kau tinggalkan aku.  Cukuplah, semua orang yang aku sayang tinggalkan aku.  Aku dah penat ditinggalkan, Luthfi..”  Aya menangis lagi.  Cepat-cepat dikesat airmata yang berjuraian dengan tapak tangannya.  Tidak mahu nampak sedih  didepan Luthfi.


“Luthfi, ingat tak dulu aku pernah janji yang aku takkan buat kau risau?  Sekarang, kau pulak kena janji dengan aku, yang kau takkan buat aku risau, ya?”  Ditarik jari kelengkeng Luthfi dan diselitkan dengan jarinya.  Dia senyum. 


Rutin harian Aya, berulang ke hospital menjenguk Luthfi selepas dia pulang bekerja di restoran.  Namun, dia juga menjaga langkahnya agar tidak bertembung dengan ibu dan adik tiri Luthfi.  Dia mengirimkan bunga sambil menukar ganti yang lama, dia berbual dengan Luthfi yang masih koma dan kadang kala hanya diam merenung Luthfi lama.  Dia takut dia terlupa pada wajah itu.  Bila terkenangkannya, dia menangis lagi.


“Ya Allah Ya tuhanku.. kau lah  maha pengasih lagi maha penyayang.  Aku hambamu yang lemah ini memohon agar kau tabahkan hatiku untuk menempuh segala dugaan dari mu, kau sembuhkan penyakit Luthfi  Ya Allah.. Kau sedarkan dia kembali Ya Allah, dan aku berjanji yang aku tidak akan menganggu kehidupannya lagi.  Semoga aku mendapat keredhaanMu di dunia dan akhirat.  Amin Ya rabbal alamin..”  Aya menyapu wajahnya. 


Ya, dia berjanji untuk tidak muncul dihadapan lelaki itu lagi jika doanya diperkenankan.  Dia takut dia akan melukakan lagi Luthfi.  Lagipun, dia tidak mahu menjejaskan perhubungan Luthfi dan ibu tirinya yang mahu Luthfi bahagia bersama anak perempuannya.  Dia tidak mahu menjadi penghalang hubungan mereka.  Jika benar tekaannya bahawa Datin Saleehah ialah ibu kandungnya, dia juga tidak mahu kewujudannya diketahui.  Kehadirannya akan mengeruhkan lagi hubungan mereka anak beranak.  Bagaimana dia mahu berdepan dengan Luthfi yang menyintainya, tetapi berkahwin dengan kakaknya dan bergelar abang iparnya?  Bagaimana dia mahu berdepan dengan Datin Saleehah dan kakaknya yang merindukannya, tetapi menyintai Luthfi yang bergelar abang tirinya?  Dia nekad untuk mengundur diri. 


Aya memanjatkan syukurnya kepada Ilahi bila Luthfi sudah beroleh penderma yang sesuai.  Orang yang berjasa itu ialah Dato’ Hanafi sendiri yang tidak mahu mengulangi kesilapannya sewaktu pemergian ibu Luthfi dulu.  Aya amat berharap yang hubungan ayah dan anak itu dapat jernih kembali dengan pengorbanan Dato’ Hanafi ini.  Aya juga mengambil keputusan untuk tidak menjadi penderma kerana tidak mahu Luthfi rasa terhutang budi jika dia berbuat demikian.


Pembedahan berjalan lancar dan betapa bersyukurnya Aya bila diberitahu oleh mak cik Som yang Luthfi dan ayahnya selamat dalam pembedahan itu.  “Tapi, ada kesan dari pembedahan tu, Aya.”  Nada mak cik Som yang hiba mendebarkan Aya.  “Dia lupa siapa orang disekelilingnya.  Dia mengalami amnesia.. mungkin jadi lepas dia jatuh dalam bilik air hari tu..”  Aya diam.  Memang benar-benar Allah mengkabulkan permintaanya.  “Mak cik Som.. janji dengan saya.”  Mak cik Som memandang Aya, lambat.  “Jangan beritahu Luthfi siapa saya.”  “Tapi, kenapa?!”  “Sebab saya tak rasa saya boleh cintakan dia..”  Bohong!


“Aya?  Kenapa dengan kamu ni?  Lepas apa yang berlaku, kamu nak lepaskan Luthfi macam tu je?”  “Maafkan saya mak cik.  Kalau tak nak banyak hati yang terluka lagi, tolonglah saya simpan rahsia ni. Terima kasih sebab bantu saya selama ni.  Harap kita jumpa lagi!”  Segera dia menyalami tangan wanita itu dan berlalu pergi dari banglo milik Dato’ Hanafi, meninggalkan wanita tua itu terpekik-pekik memanggilnya di belakang.  Aya tidak menghiraukan panggilan itu. 


Disebalik tirai wad, Aya merenung Luthfi, sebentar cuma.  Dia tidak mahu berlama-lama di situ.  Khuatir Luthfi akan terjaga dan sedar akan kehadiranya di situ.  Dia berpaling mahu keluar dari bilik itu.  Sebaik sahaja tombol dipulas, terjengul dua muka yang amat dirinduinya.
“Assalamualaikum..”  “Waalaikummussalam..”, jawab Aya gugup.  Aya terpandang loket pada rantai di dada wanita itu.  Sama seperti yang dimilikinya.  Begitu juga dengan gadis di yang membuntutinya.  Sah!  Dialah orang yang dicari! 


“Kawan Luthfi?”, tanya wanita itu sambil menguntum senyum.  “Ha’ah.  Saya.. Su.  Su..ria.  Suria.  Ni Datin Sharifah Saleehah, ya?”  Wanita itu mengangguk bila namanya diseru.  “Ni mesti Suhana, kan?” kata Aya membuatkan gadis dibelakang angguk sama.  “Macam mana kenal dengan Luth?”, tanya si ibu.  “Oh, kenal masa kerja ni.  Ada projek yang melibatkan syarikat kami berdua.  Tu yang kenal!”  Tipu! 


“Em.. tak apalah datin.  Saya tak boleh berlama juga ni.  Ada hal.  Saya balik dulu, ya?”  “Ha.. ya lah.”  Aya menghulur tangan untuk bersalam.  “Datin, boleh saya peluk datin?” pintanya tanpa segan.  Datin Saleehah yang mulanya pelik, tetap memaniskan roman wajahnya.  “Boleh! Apa salahnya..”  Aya mencium tangan wanita itu lama dan memeluknya erat.  Begitu juga dengan Suhana.  Airmata ditahan.  Sebak dipendamkan ke dasar hatinya.  “Pergi dulu!”, ucap Aya sambil berjalan deras meninggalkan mereka.


“Er.. Suria!”, gamit Datin Saleehah membuatkan Aya berpaling lambat-lambat.  “Jumpa lagi!”, tuturnya.  “Insya Allah..”, katanya lalu melangkah pergi.  Tidak, dia tidak mahu lagi pertemuan itu.  Maafkan Aya, ibu.. ayah.  Aya tak mampu untuk melaksanakan janji kalian.  Maafkan Aya!


Aya hanya memerhati dari kejauhan.  Betapa Luthfi sudah sihat dan kejadian yang menimpa Luthfi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan mereka.  Hinggallah saat Luthfi dibenarkan keluar dari hospital, Aya masih lagi menyembunyikan diri dan identitinya. 


“Aya..”, seru Luthfi sewaktu diusung ke tempat letak kereta dengan kerusi roda.  Aya yang berjalan melintasi mereka sambil melindungi wajahnya dengan hijab tiba-tiba berhenti.  Luthfi berada membelakangkannya, agak jauh darinya tapi panggilan Luthfi masih dapat ditangkap oleh pendengarannya.  Dia perasankah?


“Siapa Aya..  mama?”, tanya Luthfi pada Datin Saleehah di sisinya.  Dia mengerutkan muka sambil memandang Suhana yang sedang berada di belakang Luthfi.  Suhana angkat bahu.  “Luth..  mama dan Ana tak tahu lah siapa dia.  Tak pernah pula Luth cerita pasal dia?”  Luthfi diam.  Lama dia berfikir.  “Dah lah Luth.. jangan fikir sangat okey?  Nanti stress pulak..  tenangkan fikiran, nanti mesti ingatan pasal dia datang.” Suhana cuba menenangkan Luthfi.  Luthfi mengangguk cuma dan perjalanan mereka yang terhenti tadi disambung semula.  Begitu juga Aya.  Cermin mata gelapnya diangkat sedikit, mahu melihat bayang lelaki itu sebelum semua memori berkenaannya cuba dilupuskan dari ingatan Aya.  Juga mahu melihat ibu dan kakak kandungnya, sebelum semua kerinduannya cuba dimansuhkan dari jiwa Aya. 


Airmata sudah kering.  Hanya hati yang mampu menangis hiba.  Dia sudah jauh dari ingatan Luthfi dan tak mungkin Luthfi akan menyayanginya lagi.  Benar, dia dan Luthfi ialah dongeng Beauty and The Beast yang tak mungkin akan menjadi kenyataan.  Aya pasrah.

Setiba dipersimpangan, langkah  kita tak lagi sehaluan
Bermula disaat itu, tidak senada irama dan lagu
Begitu hidup ini, tiada yang abadi
Yang patah tumbuh, yang hilang berganti

Kau telah jauh, jauh dariku, tiada ruang dihati buatmu
Namun harus ku akui, ada ketika diminda kau menjelma kembali

Sekali-sekala ada, ada rindu yang datang tiba-tiba
Tak mungkin kerana sayang, hanya kadang-kala aku terkenang
Tak mungkin kerana sayang-Alyah

“Luthfi.. mencintai tidak semestinya memiliki.  Melepaskan orang yang kita sayang bersama dengan seseorang yang lebih membahagiakan adalah satu pengorbanan cinta aku untuk kau.  Ketahuilah kau masih orang yang aku pernah sayang, tapi aku bukan bahagia yang kau cari.  Maafkan aku..”  Aya melambainya pergi dan ghaib sekelip mata walaupun berkali digamitnya.  “Jangan tinggalkan aku!  Aku sayangkan kau jugak!”, namun bayang Aya masih tiada ditubir mata.


“Aya!  Suraya!”  pekik Luthfi hingga ke alam realiti.  Dia beristigfar sambil meraup wajahnya yang basah dek peluh.  Ya, dia kenal kini siapa Aya yang sentiasa menimbulkan teka-teki difikirannya selalu.  Segala memori tentang Aya kembali mengisi kekosongan dalam ingatannya.  Tapi, dia tidak  yakin yang dia mampu untuk mendapatkan Aya semula setelah apa yang pernah dilakukan dulu.  Namun, jauh disudut hatinya dia amat berharap Aya kembali semula ke sisinya.  Dia tidak pernah berdusta tentang cintanya pada Aya, dari dulu hingga selamanya. 


Datin Saleehah  tekun meneliti fail projek syarikat Luthfi.  Dia menghela nafas panjang, berat.  Buntu dalam pencariannya, dia menapak ke meja Lily.  “Lily.. boleh tak saya nak tanya sesuatu?”, Lily senyum sambil mengangguk.  “Ada tak kawan-kawan atau sesiapa sahajalah yang pernah Luthfi kenal bernama Suria?”  Lily termenung panjang.  Memang ramai teman wanita bosnya yang nama berpangkalkan S, tapi tidak Suria.  “Maafkan saya Datin.  Tapi setahu saya tak ada pula saya tahu atau kenal orang yang nama Suria..”  “Joint venture dia dalam projek-projek latest ke?”  Lily menyemak name card Luthfi dan semua temujanjinya.  Seketika kemudian dia menggeleng lagi. 


“Peliknya.. habis tu mana datangnya Suria ni?”, bisiknya sendirian.  Masih belum berpuas hati.  Ada sesuatu yang menganggu fikirannya tatkala berjumpa dengan si empunya nama.  Suhana datang mendekatinya yang masih mengelamun.  “Mama..?  Ada apa-apa yang tak kena ke?”  Datin Saleehah senyum sekilas.  “Suria..”, tuturnya ringkas, padat.  Suhana pula mengerutkan muka.  “Suria yang kita jumpa masa tengok Luth tu?  Kenapa dengan dia?”  “Entah lah Ana..  mama macam rasa sesuatu bila mama jumpa dia.”  “Sesuatu… what?”, Suhana masih belum  mengerti maksud tersirat ibunya.  Datin Saleehah melepaskan nafas panjang lagi.  Cuba menebarkan kusut dari jiwa.


“Bila mama pandang mata dia.. mata dia mengingatkan mama pada seseorang.  Arwah ayah Ana.  Sama, serupa macam dia dan dia mengingatkan mama pada adik Ana.  Mama macam terasa dia ada dekat dengan mama hari tu.  Lepas dia pergi, tiba-tiba mama rasa sebak.  Mama asyik ingatkan dia dan adik…  Mama..”  “..mama,  mama rasa macam tu sebab mama rindukan arwah ayah dan adik.  Tapi, mama kena ingat yang mereka dah tiada.  Mama kena redha dengan qada’ dan qadar Allah.  Tapi, Allah gantikan mama dengan  Luth dan papa.  Ada hikmah disebalik kejadian, mama.  Mama tenang, ok?  Mama jangan macam ni, Ana, papa dan Luth sayangkan mama..”  Suhana menenangkan Datin Saleehah yang sudah berjuraian airmata.  Lantas, Datin Saleehah memeluknya.  “Mama pun sama.  Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang beriman..” 


“Sah!”  Kadi mengangguk sambil hadirin yang ada menadah amin, tanda bersyukur ke hadrat Ilahi dipermudahkan segala perjalanan niat suci mereka hari ini.  Selesai solat sunat, si suami bangun menuju kepada si isteri untuk upacara membatalkan air sembahyang.  Tangan disalami, dahi dikucup, tanda kasih luhur tiada bertepi.  Datin Saleehah  senyum lebar sambil memandang Luthfi dan Suhana yang sudah selamat diijabkabulkan, bakal melayari bahtera sebagai suami isteri kelak.  Betapa dia lega kerana semuanya sudah selesai dan selamat mengikut perancangan.  Hatinya tidak henti mengucapkan syukur, dan berdoa agar bahagia ini berkekalan.


Nama Suria dibiarkan di awangan bersama tanda tanya yang beribu.  Nama Suraya dibiarkan dijiwanya bersama rindu yang berjuta.
-          Tamat   -
1.12pm
26 Ramadhan
5 Sept 2010

2 comments:

  1. x happy ending la.. sian kat suraya..
    tp mne dia prgi??

    ReplyDelete
  2. hehe..thanks sb sudi baca.tapi, mmg sngaja bt sad ending n mmg xde sambungan.saje je, nk kasi tahu kat owg cinta tak semestinya bersama, n bahgia pun tak semestinya bersama.haa.. tulah moral of the story.hehe..sorry la ye.

    ReplyDelete