Saturday, April 2, 2011

Tomboy Vs Mak Nyah



Pang!  Baizura memegang pipinya.  Pedih!  Matanya yang berkaca memandang wajah orang dihadapannya.  “Mak?”  Baizura mahukan penjelasan.  “Zura.. kau simpan je lah impian kau nak kahwin dengan lelaki tadi!  Aku tak suka!”  Airmatanya menitis lagi.  Tidak sangka hadiah itu yang Baizura dapat sebaik saja Imran menapak pergi setelah diperkenalkan kepada keluarganya.


“Mak.. mak cakap mak nak sokong semua yang Zura buat?  Tapi, kenapa tak suka Imran sampai nak lempang Zura ni?”  Baizura masih keliru.  Puan Zaharah terduduk sambil mengesat airmatanya dengan hujung baju.  “Sikit masa nanti kau akan faham apa yang mak buat ni.  Semua untuk kebaikan kau.  Tapi, kalau kau masih anggap, mak saudara kau yang membesarkan kau dari kau besar tapak tangan, sampai mak kandung dan bapak kau tak ada, sampai kau dah besar, dan kau sendiri panggil aku, mak.. Kau dengarlah cakap mak kau ni.  Mak minta tolong sangat.   Kalau kau sayang mak, abah dan adik-beradik sepupu kau ni, kau tinggalkanlah dia.  Kau boleh kahwin dengan orang lain, tak kisahlah.  Tapi, bukan dia!”  Puan Zaharah meninggalkan Baizura yang masih tersedu-sedu di sudut rumah.


Sharida, anak Puan Zaharah yang sulung menghampirinya, namun hanya diam tanpa bicara.  Anis, sepupunya yang sebayanya terus memeluknya dan mententeramkannya.  Huda, sepupunya yang bongsu yang sedari tadi berada di dalam bilik, terus keluar mendengar suara riuh-rendah.  “Kenapa?  Kenapa?  Kecoh semacam je?”  tanyanya masih belum berpuas hati.  “Kau yang kecoh, memang lah!”  marah Sharida.  Huda mencebik lalu masuk ke dalam bilik semula.


“Sudah lah Zura..”  Anis memujuk.  “Tapi, kenapa Anis?  Aku nak tahu kenapa?!”  Baizura diam sambil cuba mencari jalan penyelesaian kepada permasalahannya. 


“Aku yakin, mesti ada kisah yang buat mak mengamuk sangat ni.  Kalau Zura yang tanya, mesti dia tak mahu beritahu.  Cuba kalau suruh si becok tanya?” Sharida yang sedari tadi diam menyuarakan pandangannya. Anis mengangguk-angguk, bersetuju dengan idea kakaknya. 


“Penari?!  Perempuan roggeng!  Tak sekaya dan tak setaraf macam tu kau nak jadikan bini?!  Kau jangan nak mengarut Imran!  Kau jangan nak malukan kaum kerabat kita!  Ni Dato’ Kamariah, tau!  Keturunan kita keturunan baik-baik!  Kahwinlah dengan orang baik-baik jugak!”, teriakan yang menggegarkan seisi ruang banglo 3 tingkat itu membuatkan Baizura angkat punggung, meninggalkan Imran yang masih mahu merayu.  Tidak menyangka penerimaan ibu Imran sama seperti ibunya.  Hinakah sangatkah aku bekerja sebagai penari?


“Haa, kau kejarlah dia! Tapi, kalau kau teruskan jugak untuk kahwin, apatah lagi terniat untuk kahwin dengan dia, kau memang bukan anak aku lagi!  Kau kena ingat, perempuan macam tu, ada satu je niat dia.  Nak kaut harta kau ni!  Jangan pernah kau terfikir untuk buat macam tu, Imran!  Kau dengar tu!”  Berlarian Imran keluar, mengejar Baizura yang kian menjauh.  Baizura masih berlari, sambil mengesat juraian airmata.


“Baizura!  Dengarlah dulu Im nak cakap apa!”  “Eh, Zura tak pekak lagilah, Im!  Zura faham apa Dato’ Kamariah tu cakap!  Baliklah Im, jangan jadi anak derhaka!” Imran segera memaut lengan Baizura memaksa gadis itu berhenti.  “Apa lagi?!”  Imran menahan mengah. 


“Kalau ya pun marah, janganlah tunjuk lagi perangai tomboy dulu.  Takutlah!”  Baizura diam seketika lalu dia tergelak melihat mimik muka Imran.  “Sabarlah.. kita pujuklah dia lagi, ok?”  Baizura mengangguk.


Kesabaran Baizura teruji lagi bila dia sampai ke rumahnya.  Niatnya untuk melembutkan hati ibu Imran dan ibunya terbantut.  Hanya tangisan yang menemaninya.  Apa yang diketahuinya dari sepupunya menambahkan lagi alasan untuk dia membuat keputusan ini.  Puas Baizura berkira-kira.  Akhirnya, dia  nekad.  Dia nekad untuk meninggalkan tentangan ibunya dan Dato’ Kamariah.  Biar semua orang membantahnya, dia sudah tidak peduli.  Dia mesti kahwin juga dengan Imran, secara sah!


Imran duduk disebelah isterinya yang kelihatan termenung panjang.  “Zura menyesal kahwin dengan Imran?”  Baizura senyum sambil menggeleng laju-laju.  Untuk apa menyesal?  Sudah terlewat untuk undur balik keadaan.  Usia perkahwinan rahsia mereka sudah mencecah 8 bulan.  Sepanjang tempoh itu jugalah Baizura langsung tidak mengirimkan sebarang khabar berita tentang kehilangannya kepada keluarganya. 


Perkahwinan mereka sah, tetapi lagaknya seperti tidak.  Mana tidaknya, semua tingkah mereka haruslah berhati-hati, haruslah bersembunyi dari pengetahuan semua, terutama sekali Dato’ Kamariah.  Siapa tidak kenal Dato’ Kamariah,  walaupun sudah menjanda hampir 18 tahun, tetapi itu tidak langsung melemahkan dirinya untuk berdiri teguh dalam perniagaan menjadikan dia wanita besi yang amat disegani.  Tegas dan tidak boleh digubal.  Tapi, selama Imran berada disisinya, sedaya upaya Baizura cuba untuk membuatkan Imran bahagia.


“Er, Zura..  Im mungkin tak boleh jumpa Zura dalam seminggu mulai esok.  Im kena ke Langkawi.  Ada meeting sana..  sorry, ok?”  Baizura diam.


Dia tahu, jawapan darinya tidak akan mengubah apa-apa.  Imran hanya datang sebelah malam menemuinya dan hanya bermalam di situ jika Dato’ Kamariah ada urusan di luar hingga dia tidak pulang ke rumah.  Jadi, datang atau tidak pun sama sahaja.  Tinggallah dia berseorangan di apartment itu.  Nasib dia masih bekerja sebagai penari kebudayaan.  Bolehlah dia menghabiskan masa tanpa memikirkan nasib yang dipilihnya.


“Tapi, malam ni Zura tak payah masak.  Kita makan kat luar, ok?”  Wajah Baizura kembali berseri.  “Betul ni?  Kita berdua nak makan luar?  Im tak tipu?!”  Baizura separuh berteriak.  Imran mengangguk-angguk.  “Ok..ok.  Im tunggu jap.  Zura nak siap, ye?”  Cepat-cepat Baizura berjalan ke biliknya. 


Mereka berhenti di sebuah restoran makanan laut dan memilih meja yang agak tersorok.  Segera Baizura mengambil menu.  “Im.. Im nak makan apa?”  Diam.  Soalan tidak bersahutan.  Sangka Baizura mungkin Imran masih mencongak-congak seleranya. 


“Zura rasa nak makan ikan pari bakarlah.  Sedapnya.  Dah lama kita tak..”  Baizura mendongak memandang Imran dan kata-katanya mati di situ bila melihat Imran sudah tidak senang duduk.  Memandang sekeliling seperti bayang Dato’ Kamariah ada di merata tempat.  Kejap-kejap memandang belakang, memandang ke sebelahnya, sehingga pandangannya melebar ke meja pelangan-pelanggan yang ada.  Langsung tidak memberikan perhatian kepada Baizura, langsung tidak selesa. 


Baizura mengetap bibirnya, cuba mengawal emosinya.  “Im..”  Masih tiada jawapan.  Mata Imran masih melilau.  “Imran!”  Imran terkejut lalu segera memandang wanita dihadapannya.  Baizura menjatuhkan menu yang menutup sebahagian wajah Imran.  “Macam ni je lah.  Zura nak balik.  Biar Zura balik dengan teksi je lah. Imran balik rumah Dato’ Kamariah sekarang.”  Baizura bangun membiarkan Imran yang masih terpinga-pinga.


Sampai di rumah, segera Imran mengetuk pintu biliknya bertalu-talu.  “Zura..  Im minta maaf,” rayu Imran, sedar kekhilafan dirinya hingga membawa rajuk kepada wanita paling disayanginya.  Baizura menekup telinganya dengan bantal.  Maaf?  Telinganya sudah kalis dengan perkataan itu.  Kalau kata maaf itu diganti dengan wang ringgit, pasti dia sudah bergelar jutawan kini.  Tapi, bagi Imran kata itu sudah sebati dengan dirinya.  Murahnya pengertian ‘maaf’ baginya.  Baizura terus membatukan diri hingga dia mendengar derap tapak kaki Imran meninggalkan apartment.


Imran memang jarang menghubungi Baizura.  Sementelah sudah seminggu tidak bertemunya, kiranya hari ini dia hadir ke apartment untuk memberi kejutan kepada isterinya, sekaligus cuba menjernihkan kembali hubungannya dengan Baizura.  Namun, dia hairan kerana sudah hampir jam 1 pagi, kelibat Baizura masih belum juga muncul di rumah.  Selalunya, jika Baizura juga ke luar negeri, dia pasti maklum tentang hal itu.  Imran cuba menghubunginya.  Gagal.  Lama dia menunggu, sehingga dia terjaga di kesiangan juga Baizura masih belum pulang. 


“Dah lama buat kerja ni?” Tingkah Imran sebaik saja Baizura menjejakkan kaki ke rumah.  Baizura mengurut dadanya.  Terkejut ditujah begitu.  “Dah banyak hari Zura tak balik rumah.  Zura ke mana? Penat Im tunggu.”  Baizura senyum sinis.


“Baru jadi mat pacak sekejap dah nak mengungkit!  Sudah lah!”  Nyata Imran terkejut dengan jawapan Baizura.  Dalam benar luka yang ditusuknya, hingga berbekas ke hari ini?


“Kenapa dengan Zura ni?!  Tu, lelaki mana yang hantar Zura balik?!  Ingat Im tak nampak ke?!”  Baizura mencerlung memandang Imran.  “Hei, selama ni bahagia ke, siksa ke aku, ada kau nak kisah?!  Apasal pulak baru sekarang kau sibuk-sibuk nak tahu pasal aku?!  Hee.. aku dah penatlah.  Penat untuk menunggu bahagia dengan kau!  Kau sedar tak, kau buat aku tak ubah macam perempuan simpanan kau je!  Masa kau perlukan aku, kau cari aku.  Masa kau tak perlukan aku, kau biarkan aku macam sampah! Tak hairanlah kalau kau nak masuk ke rumah ni pun dah macam nak mencuri!”


“Zura?!”  “Kenapa?  Tak sangka aku akan cakap macam tu?  Memang, hakikat sebenar memang susah untuk diterima.  Jadi, sekarang.. aku rasa dah tiba masanya kau hidup cara kau, dan aku dengan cara aku.  Aku boleh buat apa saja dengan sesiapa saja yang aku suka dan kau pun sama.  Pergilah cari perempuan lain yang kau dan Dato’ Kamariah suka!”  “Zura.. Zura jangan cabar Im..”


Baizura gelak. Sinis lagi.  “Eh, aku kenal kau dari kau sebelum sekacak dan sejantan ni lah.  Kalau kau berani, kisah kita ni takkan jadi macam ni, tahu?!  Walaupun kau dah ubah penampilan kau, tapi jauh di sudut hati kau tu masih ada sifat mak nyah kau lah!!” Imran yang sedari tadi santai duduk di sofa, kini sudah tegak berdiri menghadap Baizura.
“Zura!  Zura memang betul-betul dah melampau ni!  Kalau tadi, Im faham kenapa Zura cakap macam tu.  Sebab Zura tertekan, sunyi selalu ditinggalkan.  Tapi, yang ni memang betul-betul mencabar Im!  Baiklah, kalau tu yang Zura nak, Im akan lakukannya Zura! Tapi, jangan haraplah Im akan lepaskan Zura!  Lepas apa yang jadi nanti, jangan nak berani ingkar apa yang Im cakap, faham?!” Telunjuk Imran mendekati wajah Baizura, namun hati kecilnya sedikitpun tidak menikus ketakutan dengan amaran itu.


“Ok, kita tengok nanti.  Siapa akan ingkar siapa!”  Baizura mencebik lalu menghilang ke kamarnya.  Mendentum pintu dihempas, tanpa mempeduli kehadiran Imran.


Selepas seminggu Imran menghilang, kemunculan sepucuk kad di pintu apartmentnya benar-benar mengejutkan Baizura.  Dia membaca kembali kandungan yang tertera di kad tersebut.  “Undangan ke majlis perkahwinan.. Imran dan Syazreen?  Imran?!” 


Tidak dapat digambarkan perasaannya kini tatkala melihat suami sendiri tersenyum megah diatas pelaminan dengan perempuan lain!  Kecewa.  Marah, sudah pasti.  Dia datang sekadar melihat dengan matanya sendiri kebenaran yang tertulis dan terus pulang.  Khuatir juga kehadirannya dihidu oleh Dato’ Kamariah.  Pasti majlis itu bertambah hiruk pikuk jadinya. 


Imran pulang ke apartmentnya sewaktu Baizura bersiap untuk ke persembahannya malam itu.  “Hai, nampaknya pengantin baru dah salah masuk rumah ni!  Apa-apapun, tahniah!”  Baizura melangkah mahu meninggalkan Imran tetapi segera Imran memaut lengannya, memaksanya untuk berhenti. 


“Apa lagi?!  Tak puas lagi kau nak seksa aku?!  Kau kahwin dengan aku, kau katakan kau cintakan aku, lepas tu kau nikah dengan orang lain?!  Aku ni apa dalam hidup kau?  Patung?  Bola?  Kucing?!”  “Im dah cakap, kan?  Zura yang mintak semua ni.  Zura sedar tak, Zura yang cabar Im, kan?  Sekarang, Zura kena tunaikan janji Zura.  Zura kena dengar cakap Im.  Kemas semua pakaian Zura.. ikut Im.  Kita pindah!”  Baizura lantas merentap tangannya dari genggaman Imran. 


“Hei, permainan apa yang kau tengah main dengan aku, ha?!  Tak kira, aku tak nak!  Lantak kau lah kau nak kahwin ke apa, yang penting aku tak nak masuk campur dalam urusan kau!  Apa kau nak jadi, aku dah tak peduli!”  Imran menyekat Baizura keluar dengan merentangkan  tangannya ke dinding. 


“Zura kena peduli sebab Zura masih isteri Im, yang Im sayang selamanya!”  “Eh, berhenti cakap pasal sayang lah dengan aku!  Aku geli kalau tu keluar dari mulut kau!  Dah, blahlah!  Aku dah lambat!”  Baizura cuba menepis Imran, namun dia gagal bila lelaki itu terus memegangnya dan menariknya duduk.  Segera Imran masuk ke biliknya dan mengemas semua beg pakaiannya.  Walaupun Baizura cuba menghalang, namun dia gagal.  Selesai menyumbat apa yang patut, terus ditariknya Baizura masuk ke dalam keretanya. 


“Ingat Zura.  Biar apapun yang jadi Zura tetap isteri Im sampai bila-bila.  Im akan tetap dengan janji Im dan Im takkan ceraikan Zura.  Jadi, jangan nak beranganlah untuk bersama dengan lelaki lain, faham?  Pasal kita ni, Im akan ikhtiar untuk terus-terang dengan mama.  Tapi, buat masa sekarang, Im rasa ini adalah jalan terbaik yang kita ada.”  Baizura membetulkan duduknya menghadap Imran. 


“Eh, hello?  Mungkin aku ni tak sepandai kau, tapi aku ni masih ada akal untuk fikir.  Apa guna kau sayang aku tapi kau kahwin dengan perempuan lain?  Sayang spesis planet mana kau ni?”  Imran menjawab soalan Baizura dengan kebisuan.  Akhirnya, Imran memberhentikan keretanya di perkarangan sebuah villa. 


“Jom masuk.”  Baizura hanya patuh tanpa sebarang alasan.  “Hubby!  Hubby dah balik!”  Belum sempat mereka melangkah masuk, tiba-tiba muncul seorang wanita tinggi lampai dengan rambut ke paras bahu, terus merangkul pinggang Imran tanpa segan silu.  Membulat mata Baizura menonton aksi mereka sambil bibirnya terkumat-kamit menahan marah.  Apa agenda tersirat suaminya?


“Reen..  kenalkan ni Zura.  Zura, ni Reen isteri saya.”  “Hai!  Nice to meet you!” sapa Syazreen mesra sambil bersalaman dan Baizura hanya membalas, pura-pura senyum dan berlakon suka walaupun dihati menyumpah tindakan Imran.  “Reen.. actually, I tak nak you susah-susah masa duduk rumah.  So, for your information.. I dah decided nak hired dia jadi maid kita.  You suka tak?”  Baizura menelan air liur.  Rasanya dia tidak silap dengar.  Gila!  Dikatakan orang gaji dan tinggal sebumbung dengan madu?! 


“Oh.. thank you, bee!  You such a wonderful husband in the world!  Sayang you!” ucap Syazreen masih tergedik manja di depan mereka.  Baizura masih kaget.  “Jadi, since you pun dah agreed.. you naik dulu.  I nak tunjukkan bilik dan rules pada maid kita ni, ok?”  “Ok.. cepat sikit, ye?  I tunggu you!”  Syazreen sudah menghilang ke tingkat atas villa dan segera Imran menarik tangan Baizura yang masih kaku.


Sedar hanya mereka berdua di bilik bawah, Baizura menampar-nampar bahu Imran.  Melempias semua kemarahannya.  Marah Imran berkahwin lain masih belum selesai, ditambah pula tindakan Imran kali ini.


“Kau sewel, ya?  Dah lah dia tu madu aku, lagi kau letak satu rumah?  Lagi pulak kata aku orang gaji?!  Ceraikan aku sekarang!”  Cepat-cepat Imran menekup mulut Baizura.  Takut-takut jeritan Baizura kedengaran hingga ke pendengaran Syazreen. 


“Zura..  sabar dulu.  Kan Im dah cakap tadi.  Im buat ni semua untuk kebaikan kita, tak mungkin Im akan ceraikan Zura lepas dah bersusah payah macam ni.  Reen tu, dia stewardess.  Jarang ada kat rumah.  Jadi, masa dia ada kat rumah memang lah Zura kena berlakon sikit.  Tapi, bila dia tak ada.. tiada yang kedua, Zura lah isteri Im.”  Baizura menolak-nolak dada Imran, biar menjauh darinya.  Tanpa disedarinya, airmatanya menitis.  Puas dibendung, akhirnya jatuh jua.  Imran segera menyeka airmata itu dari terus membasahi pipinya.
“Maafkan Im, Zura.  Im memang selalu sakitkan hati Zura, tapi sebenarnya Im sayangkan Zura, dan Im tahu Zura pun sama walapun Zura tak pernah beritahu Im.  Im selalu nak Zura tahu perkara tu.  Reen hanya dapat memiliki Im, tapi tidak dapat menyintai sepertimana Zura, biarpun Im dah kahwin dengan dia.  Terima kasih sebab bersabar sikit lagi dengan Im.  Im akan pastikan Zura bahagia lepas ni.  Itu janji Im yang tak tertunai dari dulu.”  Imran bangun dari tempatnya meninggalkan Baizura yang masih melayan perasaan, tiada tindakbalas dengan luahan kata Imran.  “Zura berehat lah dulu.  Tak pe, esok Im buat breakfast.  Pasal kerja Zura, Im mintak Zura cuti dua tiga hari ni.  Lepas Reen naik flight, nanti Im bawa kereta Zura ke sini, ok?”  Baizura masih diam.  Im menutup pintu bilik dengan keluhan berat.


Usai solat Subuh, Baizura mendengar ada orang masuk ke dapur.  Diintainya, yang kelihatan Imran sedang menyediakan sarapan.  Dia membiarkan saja.  Berkurung dalam bilik lebih selesa.  Namun, niatnya mati bila ada ketukan di pintu.  “Zura..  keluar jom.  Im dah siap breakfast.  Makan dulu, nanti baru Im suruh Reen turun.”  Baizura masih diam.  Sengaja dipekakkan telinga.  Tanda protes.  Imran beralah.  Ditinggalkan Baizura dengan rajuknya.


Baizura berfikir-fikir.  Takut juga, jika tembelang Imran pecah, pasti dengan dirinya juga akan terpalit. Mahu tidak mahu, Baizura mengagahkan diri untuk keluar.  Buat masa ini, dia akan mengikut rentak Imran.  Semasa dia keluar, Syazeen baru berada di meja makan.


“Wah, ada mee goreng..!  Gemuklah I kalau hari-hari macam ni!”  Syazreen mengambil pinggan dan menjamah.  “Sedaplah bee!”  “Lor, jangan lah puji I, bukan I yang masak!”  Syazreen tergelak sambil melentokkan kepalanya di bahu Imran.  Baizura yang ada dibelakang mereka hanya mencebik.  “Lupa pulak I!  Bestlah you masak Zura!  Tapi, kena puji hubby I ni jugak.  Pandai cari maid!”  Syazreen senyum lagi dan Imran hanya mengangguk sambil matanya memandang Baizura yang pura-pura tidak nampak perlakuan mereka.


Baizura hanya mampu pejam mata dan pendam rasa bila terlihat keintiman mereka berdua.  Sepanjang masa berkepit, berbual mesra dan ketawa bagai belangkas.  Semuanya mahu bersama.  Sama-sama menonton telivisyen, menyiram bunga, membaca, malahan makan pun mahu bersuap.  Bila dikenangkan kembali, Baizura dicuit cemburu kerana dia tidak pernah berpeluang mempunyai saat sebegitu.  Tapi, dia sedar dan harus terima kerana dia pernah nekad dulu dan tidak akan menyesal.


Bila mereka berdua keluar dari rumah, Baizura rasa lega dan bebas.  Sekurang-kurangnya, dia boleh berehat dari menjadi orang gaji.  Keadaan itu berlarutan beberapa hari.  Selepas menghantar Syazreen ke lapangan terbang, Imran melunaskan janjinya untuk membawakan kereta Baizura.  Baizura terus merampas kunci kereta dari Imran.


“Eh, nak ke mana?”  “Nak ke syurga!”  Baizura masuk ke perut kereta tanpa mempedulikan jeritan Imran.  Ketukan di cermin kereta pun tidak diendahnya dan dia terus menekan pedal minyak meninggalkan Imran.  Puas hati!


Baizura balik ke apartmentnya, lalu menghempaskan badan ke tilam.  Panggilan dari Imran, tidak diangkat.  Rimas begitu, dia mematikan telefon bimbitnya.  Lama dia termenung.  Sampai bila keadaan harus jadi begini?
Mujurlah alasan ibu sakit di kampung diterima bosnya.  Jika tidak, alamatnya memang dia perlu bekerja sebagai orang gaji sepenuh masa.  Malam itu, dia menghadiri persembahan tarian di sebuah hotel terkemuka.  Lewat malam, baru kerjanya selesai.  Namun, dia tidak ada hati untuk pulang ke rumah.  Sengaja dia berlambat-lambat dengan Ain, rakan sekerjanya.  Berlegar-legar di tempat orang ramai lepak dan menghabiskan masa.  Menghirup udara malam dan menjengah bintang.  Moga-moga dapat menghilangkan semua rasa yang terbuku di hati.


Keesokannya, pagi-pagi lagi dia sudah keluar rumah.  Menjalani latihan sebelum persembahan malam esok.  Tamat latihan, Ain mengheretnya jauh dari kawanan rakannya yang lain.  “Kenapa kau ni?  Kau berkenan dengan mamat mana pulak kali ni?”  Baizura pelik.  “Ni bukan pasal aku.  Ni pasal kau!”  “Hoo.. cukup-cukuplah aku nak layan Imran seorang.  Kau jangan nak beban masalah aku lagi!”  Ain mengerutkan dahi. 


“Jauh betul kau ni fikir!  Hei, aku dah tobat.  Dah tak mahu jadi miss match-maker, kacau rumah tangga kau je lah!  Ni, aku ada surprise kat kau!  Ada orang nak jumpa kau!”  Wajah Ain begitu teruja, tapi Baizura masih dengan teka-tekinya.  “Eh, kau beritahu Imran aku ada kat sini, ye?”  Baizura sudah naik jari telunjuk.


“Bukan Imran lah.  Aku ni!  Kau tak nak jumpa aku ke?”  Baizura berpaling ke arah suara itu.  “Anis!”  Segera dia memeluk sepupunya yang sangat dirindui.  “Aku yang beritahu Anis, kau ada kat sini..” Ain berterus terang.  “Nevermind.. its ok, Ain.  Thanks!”  Ain senyum, begitu juga Anis.  Ain sebenarnya mahu membantu Baizura.  Namun, dia buntu.  Mungkin kehadiran Anis, boleh meredakan kemelut di hati Baizura.


“Mak, ayah, Syarida dan Huda apa khabar?  Diaorang rindu aku tak?”  Baizura memulakan bicara sambil meneguk air.  “Rindu.. rindu dan risau.  Risau takut kau salah pilihan.  Tapi, apa-apa yang jadi, kami sedia terima kau kembali, Zura.”  Baizura masih diam.  “Kau jangan ikutkan sangat hati kau tu.  Tu, hati kau tu ada dendam pada dia, bukan cinta Zura.  Mungkin dulu kau cinta, tapi setelah kau tahu apa yang berlaku, aku tak rasa kau masih cintakan dia.  Aku pun tak rasa kau bahagia sekarang, betul tak?  Mak dia dah terima kau ke?”


Baizura geleng.  “Ha.. tengok?  Ni ke bahagia yang kau cari, Zura?  Sudah lah tu.  Cukup-cukuplah.  Tak kemana pun semua tu.  Baik kau fikirkan masa depan kau.”  “Anis, aku tahu apa aku buat.  Kau tak tahu sebab kau tak rasa apa aku rasa dulu.  Hidup aku.. kena kutuk, kena hina.  Sampai aku nak makan pun kena menyorok belakang tandas!  Semuanya sebab dia.  Jangan risau, sampai satu saat bila aku dah puas hati, aku akan kembali pada korang.  Terima kasih sebab ambil berat pasal aku.  Kirim salam semua.”  Baizura angkat kaki.  “Eh, tunggu dulu!  Zura?!”  Baizura masih berjalan membelakangkan Anis sambil menyeka airmatanya.  Biarlah, dia tidak mungkin berpaling lagi.


Tatkala dia membuka pintu, sudah terjengul wajah Imran di muka pintu.  Hari terus bermula dengan suram.  Tiada kata, terus diheretnya Baizura kembali ke rumah.  Esok Syazreen akan pulang. 


“Esok?  Habis, buat apa balik villa awal-awal?”  “Zura dah ke syurga lama sangat!”  “Ye lah.. lepas ni kan nak balik ke neraka pulak!”  Mati terus kata Imran bila terpanah ayat pedas Baizura.  Sengsara benarkah bila dia berada denganku?


Dari malas, perlu merajinkan diri mengemas rumah, menyapu, memasak, membasuh, menyidai kain, mop lantai dan sebagai hiburan, sketsa cerekarama antara Imran dan Syazreen. Kegedikannya yang tidak dapat dipandang mata.  Tawanya sangat menyakitkan telinga.  Menyampah!


“Hei, you ni memang sengaja nak kasi I jatuh ye?  Dah tahu I nak lalu sini, sini jugak you nak mop, kan?”  teriakan Syazreen yang membuatkan Imran segera bergegas ke tengah ruang rumah.  Baizura menahan marah.  Kalau diikutkan hati, mahu juga dipukulnya betis wanita itu dengan batang mop.


“Eh, kenapa bising-bising ni?”  “Bee.. tengok maid kesayangan you ni!  I dah nak gelincir bee, nasib sempat paut kat tiang ni!  Ni dia punya pasal la!”  Baizura terus mencampakkan mop dan berlalu ke biliknya.  Pintu dihempaskan.  Dia sudah tidak tahan.  Semalam, dia dikatakan Syazreen sengaja memecahkan pasu bunga kesayangannya.  Menjelang malam bila Baizura sudah terlena, dikejutkan hanya mahu air milo, tapi bila dibawakan mahu yang panas pula.  Semua tempat pada mata Syazreen nampak berhabuk.  Banyak pula kerenah dia pulang kali ini.  Macam ada konspirasi untuk menendangnya keluar dari tempat ini.  Jika itu niatnya, ya.. dia akan perolehinya hari ini.


“Tengok tu bee.. dah pandai nak bentak-bentak dengan kita!  Dah pandai nak macam-macam pulak!”  Imran buntu.  Jika dia memujuk Baizura, pasti Syazreen terhidu sesuatu yang tidak kena antara dia dan orang gaji.  Jika dia memujuk Syazreen, makin bertambahlah rajuk Baizura.


Baizura keluar dari biliknya dengan menjinjit beg besar.  Dia nampak Syazreen senyum sinis padanya.  Imran sudah gelabah.  “Terima kasih atas jagaan tuan dan puan selama ini.  Saya berhenti, kuatkuasa sekarang!”  Baizura melangkah keluar dari villa.  “Eh, Zura!  Nanti dulu.  Semua ni boleh dibawa berbincang!” Pekik Imran namun dihalang Syazreen.  “Bee.. biarlah dia.  Padan muka!  Berlagak dia tu, bee!  Tak mahulah ambil orang macam tu kerja!”  Imran melepas keluhan berat.  Rumitnya keadaan.


Imran menerjah ke apartment.  Namun dia hampa.  Tiada Baizura di situ.  Telefon bimbit, lansung tidak diangkat bila dihubungi.  Beberapa hari dia mencari Baizura, akhirnya Imran menjejaki dia ke tempat Baizura selalu membuat persembahan.  Tamat persembahan, diekori Baizura hingga wanita itu dan beberapa rakan yang lain singgah di satu kedai makan.  Baizura berbual mesra dengan seorang lelaki, seperti tiada apa yang berlaku, membuatkan Imran merasakan masanya sudah tiba untuk dia bertindak. 


“Zura.. balik sekarang!” tingkah Imran sambil menarik tangan Baizura yang sedang duduk minum di situ.  “Eh, apahal ni?  Aku tak nak lah!”  Baizura menarik tangannya kembali.  Ain sudah gelabah.  “Rileks lah bro.  Dengan perempuan jangan berkasar..  Dah dia cakap tak nak tu, harap faham bahasalah.  Malu orang tengok ni.” Salah seorang dari lelaki di situ cuba menjadi hero, menyelamatkan keadaan. 
“You.. just shut up!  I husband dia.. I tahu apa I buat!”  Amaran ditujukan kepada si lelaki membuatkan lelaki itu duduk.  Baizura seperti mahu meraung, menangis sekuat hati.  Rahsianya pecah.  Selama ini dikatakan pada semua statusnya solo.  Pasti dia dicop menipu, sengaja mencari saham lebih.  Malu, rasa menebal mukanya memandang rakan-rakan yang ada.


“Diam lah!  Let me go and leave me alone!!”  pekik Baizura seraya itu merentap kuat tangannya dari genggaman Imran.  Segera dia berlari dari meja itu, keluar dari restoran.  Ain masih diam, tidak mengejar dan tidak pula bersuara.  Pasti dia menjadi sasaran taluan soalan.


Imran mengejar Baizura.  “Zura.. dengar dulu Im nak terangkan!”  “Tak payah nak terangkan!  Aku dah jelas dan nampak!  Aku memang bodoh, tapi aku tak buta lagi lah!” Baizura masih berlari dalam esakan dan Imran masih setia  mengejarnya.


“Tak, Zura.. semua yang jadi di villa tu hanya salah faham.  Tolonglah Zura.  Bagi Im peluang.  Im janji akan berterus terang pada Reen dan mama!”  “Dah, jangan berjanji lagi!  Cukuplah.. aku betul-betul dah penat!  Sekarang, tolonglah bebaskan aku!  Lepaskan aku!”  “Tak mungkin, Zura! Tak mungkin sebab Im masih sayangkan Zura!”  “Tapi, aku benci kau!  Aku benci!!” 


Pon!  Pon!  Bunyi hon yang kuat membuatkan Baizura  yang sedang merentas jalan berpaling ke belakang dan yang kedengaran hanyalah teriakan yang kuat sebelum sebuah kereta merempuh Imran yang berada di tengah jalan. “Imraannn?!!”


Imran menggerakkan kerusi rodanya, menghadap Baizura.  Tempias kemarahan Baizura, habis pasu bunga yang ada di meja dihempas Baizura ke lantai.  Kaca-kaca masih bertaburan, seperti berkecai juga perasaan Baizura kini.


“Apa lagi yang tak kena ni, Zura?” Imran cuba memujuk Baizura.  “Aku dah bosan jadi orang suruhan kau dengan bini kau!  Aku ni bukan pencacai korang lah!”  “Zura.. kenapa cakap macam tu?  Im tak pernah anggap Zura macam tu.  Selama ni, sejak Im sakit, Zura yang banyak jaga Im.  Reen dengan mama tu asyik sibuk dengan kerja je.. Im bersyukur sangat Zura ada.”  Baizura berpaling menghadap Imran.


“Hei, sebab nak jaga kau lah, aku kena berhenti kerja.  Kena berdepan dengan kerenah bini kau, kena menyorok bila mak kau ada.  Aku dah cukup terseksa sepanjang setahun ni!  Kau tahu tak, aku jaga kau pun sebab aku tak nak rasa bersalah.  Aku tak nak kau kata aku penyebab kau kemalangan.  Aku penyebab kau kehilangan kaki kau.  Aku yang buat kau tak dapat berjalan semula.  Aku orang yang bersalah menggelapkan masa depan kau!”  Imran terdiam.  Masih bermain dengan perasaannya.  Baizura menarik nafas panjang, mencari kekuatan untuk bersuara kembali.


“Imran.. dah setahun aku bersama dengan kau, baru aku sedar.  Cinta ini membunuh kita.  Kita memang tak sepatutnya bersama, walau macam mana pun kau cintakan aku dan walau sebanyak mana aku berkorban demi kau.  Kita tak mungkin bahagia lagi.  Menari itu impian aku, dan aku sayangkan impian aku.  Jadi, aku rasa dah tiba kita bawa haluan kita sendiri.  Ceraikan aku..”  “Tak!  Dah banyak kali Im cakap Im takkan buat begitu!  Im sayang Zura!  Im cintakan Zura!” bentak Imran, keras.


“Imran?!  Apa semua ni?!” terjah seseorang dari luar, mengejutkan Imran dan Baizura.  “Syazreen?”  “Yes, its me!  Kenapa, terkejut?  Takut kerja kau menggatal dengan suami aku terkantoi?  Ma.. tengok diaorang ni!  Ada affair belakang Reen!  Nasib baik hari ni tergerak hati Reen nak intai diaorang, dan tak sia-sia mama ada sekali!  See?  Betul kan apa Reen cakap?”  Dada Baizura berdegup kencang tatkala terpandang wajah bengis Dato’ Kamariah.  Wanita itu kelihatan menyinga selepas mendapati Baizura adalah orang yang sama seperti yang pernah dihina dahulu.


“Mana ada, Reen!  Diakan maid kita!  Dia yang susah payah jaga I waktu you tak ada!” Imran sehabis boleh cuba menegakkan benang yang basah.


“Bee, don’t lie ok, I dah dengar semuanya.  Mama boleh jadi saksi lah!  I knew it from beginning, dari first time I jumpa dia, you memang dah lain.  Cara you pandang dia, cara you cakap dengan dia, I boleh agaklah, bee!  Bila you suruh I setuju ambil dia bekerja balik dengan alasan nak jaga you, I terima je sebab I nak siasat.  I tahu kemalangan tu pasti ada kena mengena dengan dia!  Now, I very sure, dialah penyebabnya!  And one more thing bee, you tak payah lah nak defend dia sangat.  I tahu, you termakan pujuk rayu dia, dia yang goda you and mungkin juga dia dah guna-gunakan you, kan?”


“Hei, mulut tu jaga-jaga sikit, perempuan!  Kalau tak ada aku, entah apa jadi laki kau ni!”  Baizura panas hati dituduh begitu.  “Hei, kau tu yang kena jaga-jaga dengan diri kau!  Dasar perempuan tak tahu malu!  Kau ingat aku tak tahu apa kau nak buat?  Kaki pengikis!  Perampas!”, tingkah Dato’ Kamariah selepas lama berdiam.


Baizura senyum sinis dan mara ke hadapan Dato’ Kamariah dan Syazreen.  “Perampas?  Kalau Imran anak kau si pengecut tu tak beritahu lagi kebenarannya, biar aku beritahu.  Dengar sini orang tua dan si gedik!  Aku ni Baizura, dah kahwin dengan laki kau setahun yang lepas, lepas kau hina aku dan sebelum kau nikah dengan dia, ada faham?” Telunjuk ditala kepada muka Dato’ Kamariah dan Syazreen membuatkan air muka mereka berubah.


“Mama?!  Jadi, selama ni mama dan Imran dah tipu Reen lah?!”  Baizura gelak.  “Padan muka!  Kau tu bodoh!  Kau ingat saja-saja dia nak nikahkan kau dengan anak dia?  Eh, dia nak luaskan empayar perniagaan dia dengan bapak kaulah!  Bapak kau kan usahawan termasyur di Cape Town?  Bodohlah sangat kalau dia tak ambil peluang ni nak menempel bisnes dia kat sana?  Apalah kau ni lembab!”  Baizura masih dengan gelaknya.


“Sampai hati mama buat Reen macam ni!  I hate you all!  I nak cakap dengan papa and I akan minta cerai dengan Imran!”  Syazreen berlari keluar dari villa terbabit dengan juraian airmata.  Bengang begitu, tidak semena-mena wajah Baizura dilayangkan dengan tamparan dari Dato’ Kamariah. 


“Perempuan tak guna!  Berani kau cakap begitu, ya?”  Baizura terjelupuk terduduk di lantai.  Imran menghampiri Baizura, tetapi ditolak kerusi roda Imran.  Baizura segera bangun, menerpa Dato’ Kamariah.
“Kau ingat kau siapa nak lawan aku?!  Aku ni Dato’ Kamariah, aku boleh buat hidup kau lenyap sekelip mata, tahu?!”  “Hei, orang tua tak sedar diri!  Kau ingat dengan pangkat kau ni kau boleh tongkat langit, kebal, tak mati?”  Baizura membalas kembali. 


Dato’ Kamariah berjalan menghampiri Baizura, mengangkat tangan untuk menampar Baizura buat kali kedua, tetapi Baizura dengan pantasnya memegang lengan wanita itu.


“Apa kau cakap tadi?  Perempuan tak guna, ya?”  Baizura menurunkan tangannya, sekaligus menyekat tindakan Dato’ Kamariah.  Dato’ Kamariah memegang lengannya, bisa digenggam kuat Baizura.  Imran mahu membantu tetapi sekali lagi dia ditolak Baizura memaksa dia berundur kebelakang.  “Kau jangan masuk campur.  Ini urusan aku dengan orang tua ni!”


“Aku ke kau yang tak guna, haa orang tua?!  Kau betul-betul silap, sebab cari pasal dengan aku!  Kau tahu tak aku siapa?  Kau tahu tak?!”  Suara Baizura kian meninggi membuatkan Dato’ Kamariah melangkah dua tapak ke belakang.


“Aku anak Azizah!  Azizah yang kau dah musnahkan hidupnya!  Mati dalam hinaan dan cemuhan orang disekelilingnya, yang bodoh dan percaya pada hasutan kau!  Aku memang sengaja masuk dalam hidup anak kau sebab aku nak balas dendam atas apa yang kau dah lakukan pada aku dan mak aku! Sekarang aku puas.  Sebab, orang yang kau benci dan hina ini adalah orang yang anak kau sayang!  Rasakan!”  Giliran Dato’ Kamariah pula terduduk sambil mengurut dada.  Imran yang dari tadi diam terus turun dari kerusi roda dan mengengsot menerpa ke arah ibunya.


“Imran.. kau kena tipu selama ni, Im.  Cinta kau hanya mainan dia, Im.  Dia anak Azizah.  Azizah, Im..”  Dato’ Kamariah sudah semput sambil cuba ditenteramkan Imran.  Baizura sudah menghilang, mengambil beg pakaiannya dan mahu keluar cepat dari situ.  Niatnya sudah nyata.  Tidak guna lagi berlama-lama di situ.  Cukuplah dirinya menjadi penyebab kemalangan Imran, dia tidak mahu dikatakan pula menjadi penyebab kematian Dato’ Kamariah.


“Zura,” panggil Imran sewaktu Baizura melewatinya.  Baizura berhenti.  “Intan Baizura Binti Tahir, aku ceraikan kau dengan talak satu,” ucap Imran dengan pandangan berkaca.  Baizura menolehnya sambil senyum.  “Terima kasih.  Memang itu pun yang aku tunggu selama ni!”  Baizura berjalan meninggalkan villa itu, dengan harapan dapat meninggalkan bersama semua yang berkaitan dengan Imran. 


“Apasal kau lambat?!”  “Aku lewat bangun!  Jam aku bateri habis.  Tak sempat beli!”  “Lagi, lagi alasan yang sama!”  “Eh, tak lah!  Sebenarnya, nyah.. aku sengaja datang lewat.  Boleh tengok muka kau yang ayu lagi jambu nih!  Macam tu boleh?!”  Meledak ketawa hadirin yang ada di situ.
Pengawas yang menyoal tadi sudah merah muka.  Berang dipanggil begitu.  Bengang juga bila rakan sejawatnya turut serta tumpang ketawa. 


“Sudah!!  Nama korang, aku akan laporkan pada Cikgu Sharifah Saloma!  Dia akan tentukan hukuman untuk korang semua!  Siap sedia jelah!”  katanya sambil berpaling dan mendengus kasar.  Lengang lenggok langkahnya bikin gelora lucu di hati gerangan yang memandangnya.  Tambah pula dengan lentik lengan dan jemarinya, memang dia ketua pengawas yang amat diragui ketulenan jantina lelakinya.  Dengan ekor mata disebalik cermin mata tebalnya, dia menyuruh pembantunya membuka pintu pagar untuk mereka yang lewat.
“Weh, Nurul!  Apa cerita ni?  Tak boleh tolong cover aku ke?  Dengar si mak nyah tu cakap tadi, dia nak report kat SS tu!  Alamatnya kena tendang lagilah aku dari sekolah ni,”  sempat si salah laku berbisik kepada pembantu ketua pengawas, merangkap sahabat karibnya, merangkap juga rakan subahatnya!


“Tak pe, nanti aku cakap dengan Aida.  Aida baik dengan si mak nyah tu!”  Baizura menarik nafas lega sambil menaikkan ibu jarinya ke arah Nurul.


Tapi, semuanya tidak seperti dirancang.  Kembang kempis hidung Baizura menahan marah.  Semuanya gara-gara lelaki yang berperwatakan lembut yang dipanggil mak nyah itu.  Baru sahaja naik pangkat menjadi ketua pengawas, sudah pandai gila kuasa.  Menjatuhkan hukuman mengalahkan guru displin.  Kuatkuasa undang-undang mengalahkan polis trafik.  Disebabkan dia jugalah, dia terpaksa pusing padang tujuh pusingan dengan berbaju kurung.  Denda lewat datang ke sekolah tiga kali berturut-turut.
“Rilekslah beb!  Aku tahu Zak, kau marah.  Tapi, kalau ya pun training tetap training!  Pertandingan dah nak dekat ni!” ujar Safika, sahabat sejenis dengannya.  Punya dendam pada orang yang sama. 
“Ya lah..  betul kata Ika tu.. kita kena bijak mengawal emosi!” sokong Maria, sahabat yang bijak dalam apa jua bidang.  Termasuk orang yang kerap menggunakan perkataan bijak.  Mungkin, itu formula untuk bijak?
“Sebab aku bijak lah, aku rasa baik kita pijak kepala dia sekarang!”  Baizura masih membaling bola ke arah Safika.  Lontarannya tersasar dek amarahnya yang mendesak.  Menjerit Hidayah yang sedari tadi menjadi pemerhati tatkala bola terkena betisnya.  “Lor..dah kotor seluar aku!  Tak cantik lah macam ni!”  Mereka bertiga hanya geleng kepala. Meluat!  “Nasib baik dia kawan aku, kalau dia spesis macam Imran si mak nyah tu, memang aku tangankan juga dengan bola ni!  Biar dia jadi keras balik!”  Mereka tergelak.


“Terngiang-ngiang aku dengar ada orang mengutuk bos kita ni, Aida!”  Nurul datang bersama Aida, entah sejak bila.  “Tak boleh dibiarkan ni Nurul.  Kita kena inform bos kita segera.  Biar dia ambil tindakan susulan.  Aku takut ada orang kena pusing padang lagi ni!  Warm-up awal tu!”  Sekalian yang ada turut ambil bahagian untuk ketawa.  Baizura sudah mencerut.  Tekanan masih bersisa.


“Arghh!!”  Jeritan dilepaskan bersama balingan bola ke arah luar padang.  Tiba-tiba, kedengaran sahutan jeritan di sebelah kiri padang.  Baizura, Safika, Maria, Hidayah, Nurul dan Aida serentak terdiam dan memandang ke arah suara itu.  “Hoi, kau baling bola ke kau nak bunuh orang?!” tempik satu suara membuatkan mereka berkejar ke sana.  Latihan bola baling ditangguhkan.


Mereka mengelilingi seorang lelaki yang memapah seorang lelaki lain.  Lelaki yang dipapah seperti tidak sedarkan diri dan ditepuk-tepuk untuk disedarkan. 


“Imran tu!”  “Mak nyah tu!”  “KP lah!  Bos kita, baru lepas mengumpat!”  “Hidup lagi ke dia?”  “Nasib tak pecah cermin mata!  Kalau tak habis juga duit biasiswa nak mengganti ni!”  Baizura sudah resah gelisah. Lima pasang mata memandang orang yang membaling bola.  Ada unsur-unsur balas dendam!


“Tak sengaja, sengal!  Kalau sengaja confirm dah innalilah ni!”  “Ish, kau ni!  Choi betul!  Aku pun memang marah gila kat dia, tapi tak lah sampai nak kasi mati dia!  Kejam betul!  Buat malu persatuan je kau ni!”  Safika menunjukkan sikap berperikemanusiaan.


“Em, mungkin kita perlu buat CPR baru dia sedar?” cadang Maria.  “Apa tu?  CPU aku tahu lah.. ada kat rumah!”  Hidayah mencelah.  “Pernafasan mulut ke mulutlah!”, serentak mereka berempat bersuara, menjawab soalan Hidayah.  Hidayah mengangguk dengan senyum sumbing.


“Apa mulut, mulut ni?  Aku hidup lagilah!  Bukannya lemas pun!” Imran bersuara tatkala dia sedarkan diri.  Mereka menarik nafas lega.  “Kira kuat juga lah mak nyah ni!”  Baizura mencebik.  “Dia jantan juga hape?”  Imran memandang Baizura.


“Jomlah sambung training.  Dia dah ok tu.  Tak berdarah apa pun!”  Baizura mengajak sahabatnya kembali semula ke tengah padang.  Tetapi, sampai separuh perjalanan, rakan-rakannya menolak Baizura hampir kepada Imran yang masih terjungkit-jungkit untuk bangun.


“Apasal korang ni?” marah Baizura.  “Kau dah janji kan, nak jadi baik bila kau datang sekolah ni?”  “Iya, tapi kan aku dah cakap.  Kes aku dengan mak nyah ni tak disengajakan!  Ada paham?”  “Sorry, tak paham!  Hah, Azuan.. kau blah.  Biar si tomboy yang gagah perkasa ni bawa balik mak nyah yang lembik ni.  Opss, sorry!”  Safika menekup mulutnya.  Azuan hanya tersengih.  Lantas tangan Imran beralih bahu.  Mereka masih tercegat.  Berdua.  Nak tak nak, terpaksa dipangkunya Imran sehingga ke perhentian bas.
“Terima kasih.. walaupun kau terpaksa,”  ucap Imran sambil Baizura hanya mencebik.  “Nyah..  aku blah dulu lah,  nak training ni!” “Err.. Zura!”  Langkah Baizura terhenti.  Namun dia masih tidak berpaling kepada Imran.  “Intan Baizura!”  Baizura masih statik.  “Aku nak minta maaf.  Sebab aku, kau kena pusing padang.  Aku cuma nak jalankan tanggungjawab aku je.. Aku..” “Ok.. diterima!”  “…Zura!”  Langkahnya terhalang lagi.  “Boleh tak kalau aku nak panggil kau Zura.. bukan Zak?  Sebab aku rasa nama tu lagi sesuai pada kau..”  Baizura diam.  Lama.  “Em.. kalau tak boleh, tak pelah..”  Baizura mendengus halus.  “Nyah.. ikut suka kau lah!”  Baizura menyambung langkahnya dan seraya itu kedengaran bas tiba diperhentian mereka.  Kedengaran tapak kaki Imran mendaki tangga bas.


“Baizura!  Kau terlalu ayu untuk jadi tomboy!” Segera Baizura berpaling ke arah suara Imran.  Kelihatan Imran sudah melambai dan tersenyum dari jendela bas sambil membetulkan cermin mata tebalnya.  Entah kenapa, Baizura rasa terpanggil untuk membalas senyuman itu.  Matanya berkaca, jiwa rasa sebak.  Ada lagi hati yang peduli dan mengerti!


Baizura memangku dagu.  Matanya masih ke depan walaupun nasi ayam kegemarannya sudah berada didepannya, tunggu disantap.  Safika menyiku membuatkan Baizura segera kembali ke alam nyata.  “Tembus dinding tu!  Pehal lagi?”  Baizura sekadar senyum tipis lalu menggeleng.  Safika memandang Hidayah yang menghadapnya, sambil matanya ditala kepada Baizura.  Gadis itu jungkit bahu.  Dicuit pula Maria disebelah yang sibuk membaca buku, sambil dikerling Baizura yang sedang makan perlahan-lahan.  Maria pun sama, kerut dahi.  Keadaan meja mereka hening, walaupun keadaan di kantin itu hingar-bingar dengan keletah pelajar-pelajar yang berpusu-pusu ingin menjamu selera.


“Eh, korang..”  Baizura mula bersuara membuatkan mereka bertiga segera menumpukan perhatian kepada sahabat mereka.  Persahabatan yang bermula dari kelab bola baling sebulan lalu, hingga mereka menjadi akrab seperti adik-beradik.  “Kenapa orang panggil si Imran tu mak nyah?”  Soalan yang menimbulkan kerutan di dahi mereka bertiga.  Jatuh hatikah si tomboy ni pada si mak nyah?  Si tomboy yang penuh dengan salahlaku displin melibatkan kes lari sekolah, ponteng, lewat, meniru, buli dan terbaru, pukul.  Si mak nyah pula yang penuh dengan displin dan tatatertib dalam hidup, semuanya teratur dan sempurna, semua jawatan hendak dipegangnya dan terbaru, Ketua Pengawas.  Idealkah pasangan ini?


Mereka ketawa dulu, sebagai mukadimah.  Melongo Baizura menunggu jawapan dari mereka.  “Kau tahu.. Safuan dengan Helmi budak kelas Al Razi tu bengang dengan dia.  Imran ni pergi report kat SS kata diaorang ni ponteng kelas usrah dan tidur dalam tandas.  Dendanya, diaorang kena pusing sekolah sambil jerit, ‘Kami dah taubat!  Kami tak mahu ponteng lagi!’  Lepas tu, diaorang bengang, diaorang panggil Imran.  Dia make-over Imran, pakaikan rambut palsu dan Imran kena berlakon dalam drama diaorang untuk Hari Guru dengan watak mak nyah yang derhaka pada guru!  Gila kentang!  Memang lawaklah waktu tu!  Drama diaorang dapat tepukan gemuruh!  Haa.. sejak tu telekat panggilannya ‘mak nyah’!”  Mereka bertiga masih mengekek ketawa walaupun Baizura masih pamer muka serius. 


“Apasal Imran tak bantah je?”  Baizura masih belum jelas.  “Berani kau?  Mahu agaknya nasib Imran sama macam yang kau buat pada Cikgu Badar tu!”  Baizura mencebik.  “Balik-balik nak samakan dengan kes aku.  Kan aku dah cakap, aku tak sengaja tolak orang tua tu!  Dah memang dia pun ada darah tinggi, sah-sah lah ICU tempat dia!  Dah lah, blah dulu!”  Baizura terus bangun dan meninggalkan mereka terpinga-pinga.  Aida datang membawa dulang makanan.  Tegurannya tidak berbalas.  “Angin fus-fus apa tu?”  Safika pula geleng kepala.  “Entah.. aku pun tak tahu.  Aku ada salah cerita ke, kawan-kawan?”  “Aku rasa dia ada masalah hormon,”  Maria mengeluarkan fakta.  Mereka senyum.  Faham masalah wanita.


Baizura terjaga dari lenanya bila kakinya digerakkan seseorang.  Matanya dikesat sambil buku Sejarah yang menutupi wajahnya dialih, menerangkan gerangan si penggangu.  “Kenapa kau ambil tempat aku lepak ni?”  


“Oh.. kau nyah!  Ada nama kau ke kat tempat ni?”  Baizura mula bangun dari pembaringan menghadap Imran.  “Ada!  Ni ha!” Jari telunjuknya lurus menunjuk ke batang pokok sena tempat mereka sama-sama berada.  IMRAN.


Baizura mencebik.  “Macam kau sorang nama Imran kat sekolah ni!  Piirah!  Dah lah, blah dulu!”  “Er.. tapi, kalau kau nak share tempat ni dengan aku pun boleh jugak…,” tuturnya perlahan sambil mengambil tempat di celah akar pokok sena.  “Oh, ye?  Jadi, kiranya aku pun kena taruk nama aku kat sini jugak ke?”  Imran gelak.  Pertama kali Baizura melihatnya.  Imran yang dikenalinya selama ini penuh dengan serius walaupun ‘lembut’. 


“Aku datang sini sebab nak study, tapi kau datang sini sebab nak tidur.  Jadi, rasanya tak ganggu kut.”  “Ish, suka kau je cakap aku nak tidur.  Aku nak study lah!  Nampak ni, aku nk study Sejarah!  Subjek paling aku menyampah!”  “Ok.. kau study sana, aku study sini.  Deal?”  Imran sudah membuka bukunya tanpa menghiraukan Baizura yang sedari tadi masih memandangnya.  Perasan dirinya diperhati, Imran mengangkat mukanya.  Segera Baizura mengalih wajahnya.


“Kenapa kau ni lembut, nyah?”  Imran sengih cuma.  “Sebab kau panggil aku, mak nyah!”  Baizura senyum sumbing.  “Macam marah je.. tak pelah!”  Baizura menekup mukanya dengan buku.  “Sebab..  aku rasa disayangi.  Dari kecil, aku baik dengan mak aku sorang je.  Aku benci ayah aku.  Jadi, tu yang aku terikut perangai perempuan, kut..”  Baizura mengalih bukunya lalu bangun.  Berminat.


“Kenapa kau ni tomboy, Zura?” giliran Imran bertanya.  Baizura diam sejenak.  Berfikir-fikir untuk menjawab.  “Sebab.. aku rasa dihormati dan ditakuti.  Dari kecil, aku kena buli.  Sampai satu hari, aku nekad.  Aku kena lawan diaorang ni.  Aku benci orang merendah-rendahkan aku.  Jadi, tu sebab sampai besar aku jadi macam lelaki.”  Giliran Imran pula menfokuskan diri kepada Baizura. 


“Kita ni macam cas positif dan negative.  Patutnya jadi kawan kan.. tapi kita jadi lawan pulak!” tutur Imran membuatkan Baizura ketawa.  Pesalah displin berkawan dengan penguatkuasa displin?  Tidak mungkin!  Tapi, bila Baizura datang kembali ke pokok yang sama pada keesokkan harinya, dia nampak namanya diukir bersebelahan nama Imran.  Dia tahu, dia diizinkan untuk berada disitu, dan tanpa sedar persahabatan mereka diukir bersama.


Masa berlatih untuk bola tampar, Baizura akan bersama dengan Nurul, Aida, Safika, Maria dan Hidayah.  Tapi, masa untuk belajar, dia akan berteduh di bawah redupan pohon sena ditemani ‘guru’nya iaitu Imran.  Banyak ilmu yang Imran curahkan padanya.  SPM yang kian hampir menjadikan dia lebih tekun belajar.  Tambahan pula, dia berada di kelas tercorot berbanding kawan-kawannya yang lain.  Imran banyak membantunya mengulangkaji terutamanya dalam subjek Sejarah.  Pohon sena itulah juga tempat dia mencurahkan segala rasa, suka dan duka.


“Ish, buruk rupanya tomboy menangis!”  kata-kata Imran yang datang tanpa disedari Baizura membuatkan matanya yang bengkak itu mencerlung terus kepadanya.  Imran sengih, cuba menutup keterlanjuran katanya.
“Aku tahu kerja siapa ni!  Mesti Yana nak balas dendam kat aku sebab aku training dengan boyfriend dia hari tu!  Mesti dia yang hantar surat cinta ni dan upah budak untuk main-mainkan aku!”  Imran mengeluh.  “Tak baik tuduh-tuduh..  ada bukti?  Saksi?”  Baizura cebik sambil geleng kepala.  “Hee.. benci, benci!  Ada ke patut main-main bab hati dan perasaan ni?  Kononnya ada orang admire lah!  Nak jumpa lah!  Padahal dah jumpa, gelakkan aku ramai-ramai!  Tomboy aku pun ada hati jugak!  Malu lah!”


“Macam ni.. aku janji.  Kalaupun tak ada orang dalam dunia ni nak kahwin dengan kau, aku akan kahwin dengan kau,” tutur Imran membuatkan Baizura ketawa.  “Terima kasihlah sebab dan redakan kemarahan aku!  Tapi, kau punya lawak tu memang betul-betul gelaklah!”  Imran masih diam.  “Ada kau nampak aku buat lawak ke?  Aku serius ni!”  Baizura diam.


“Jangan risau.  Aku ada..  Kau boleh jadi tomboy dan aku boleh jadi mak nyah lagi.  10 tahun lagi, kita jumpa.  Aku akan kahwin dengan kau, dengan syarat kau kenalah tunggu aku, aci?”  Baizura yang nyata terkejut hanya mampu mengangguk perlahan-lahan. 


“Ok, jom kita tulis dalam satu surat kita punya janji ni.  Kita letak dalam satu botol, dan kita tanam kat sini.  Ingat, lagi 10 tahun kita jumpa kat sini dan kita gali sama-sama, ye?”


“Weh, Zura!  Kau kenapa?”  Baizura tersentak dan segera kembali ke alam nyata setelah 10 tahun kebelakang bersama memori zaman sekolahnya.  “Kau ni memang suka betul beranganlah!  Aku dah cakap, jangan banyak sangat makan buah berangan, tapi kau ni degil!” 


Baizura segera mengalih pandangannya.  “Eh, kau ni aku perasan dari tadi duk usha mamat hensem tu!  Berkenan ke?  Tapi, takkan lah kan?  Kau cakap kau nak tunggu en mat patah kau tu!  Sebab tu semua pakwe-pakwe hensem yang aku kenalkan semua kau tolak, kan, kan?”  Baizura masih tidak lepas pandang pada lelaki yang dimaksudkan.


“Kau ni Ain.  Banyak sangat lah cakapnya! Memang lah aku tengah tunggu dia.. dan kalau tak silap aku, dialah yang aku pandang ni.  Tapi..”  “Tapi apa lagi?!  Lor, cepat lah beritahu dia pasal janji korang tu!  Cepatlah!  Show kita nak habis ni!”  Ain menolak-nolak Baizura yang kini berada di belakang pentas hingga hampir ke kawasan meja tetamu.


“Aku malulah! Buatnya salah orang, naya aku nanti!”  “Kalau salah orang pun tak pe.  Kau pass kat aku, ye?”  Ain sengih-sengih.  “Kau ni pantang nampak lelaki hensem!  Semua nak sapu!”  Baizura membetulkan cucuk sanggulnya dan pakaiannya.  Lelaki yang dimaksudkan sedang duduk di meja bulat, masih berbual-bual dengan rakan-rakannya tanpa menyedari kehadiran Baizura.


“Err.. Encik..”  Lelaki itu mendongak.  “Yes?  Oh.. you yang buat performance tadi, kan?”  Lelaki itu menegur dan entah kenapa Baizura hanya mengangguk-angguk.  Bibirnya seakan kelu untuk bersuara.  Jemarinya rasa terketar.  Degupan jantungnya berdetak hingga dapat didengari hingga ke luar.


“So adorable.. bagus kalau ramai lagi anak muda kita sekarang yang masih mengekalkan tarian tradisional dalam setiap performance diaorang.  Bukan senang nak cari orang macam ni, tak lupa adat ketimuran kita, right?” tambahnya dan diangguk tanda bersetuju oleh rakannya.  “So, I tak akan lupa untuk hired you and your team again untuk dinner or majlis akan datang.  Em, kalau tak ada apa-apa, I pergi dulu, sebab ada kerja sikit.  Apa-apa about payment you boleh discuss dengan staff I, ok?  Jom, honey.”  Lelaki tadi bangun sambil dipimpinnya tangan gadis berambut blonde dan memakai dress hitam yang dipanggil ‘honey’ tadi.  Baizura menghantar bayangnya pergi, tanpa sekalipun lelaki itu berpaling kepadanya.  “Imran.. itukah kau?  Lupakah kau pada janji kau?”


Baizura mampir pada Ain.  Airmatanya yang mengalir menimbulkan tanda tanya dari Ain.  Namun, dibiarkan saja jawapan itu sepi.


Baizura bersandar pada batang pohon sena, tempat bermula janjinya.  Pohon sena yang banyak menyimpan memorinya, kisah suka duka zaman persekolahan.  Pohon sena itu sudah berbunga, namun hatinya tidak seperti pepohon itu.  Airmatanya menitis.  Terasa bodoh dan dipermainkan.  “Kenapa kau menangis?”  Segera diseka airmatanya dan mendongak memandang arah suara terbabit.  “Imran?”


“Yalah.. aku lah ni!”  Imran duduk disisinya.  “Kenapa..”  Baizura masih diselebungi pertanyaan.  “Kenapa aku dah tak lembut?  Tak macam mak nyah yang suka ejek dulu?  Tak pun, kenapa aku tak tegur kau semalam?”  Baizura mengalih pandangannya dan mengangguk.


“Em.. mana satu aku nak jawab ni..  Oklah.  Sebenarnya, aku saja.. nak uji kau.  Kau cantik sangat semalam.  Kau dah tak tomboy, dah rambut panjang.  Aku takut salah orang.”  Baizura senyum.  Malu dipuji begitu. 
“Aku ada diploma, tapi aku suka kerja sebagai penari kebudayaan.  Tak sangka pulak attend majlis kau..”  


“Memang jodoh kita, Zura.  Sebenarnya, aku malas nak mengaku semalam sebab saja nak suruh kau tunggu.  Sebab, hari ni baru lah genap 10 tahun janji kita.  Kalau aku cakap semalam, maknanya aku dah terawal dan tak tepati janjilah!”  Baizura berkira-kira.  “Wah, tepatnya kau!”  “Aku kan Imran.  Aku siap remind dalam handset lagi!”  Mereka ketawa.


Baizura masih diam, membenarkan Imran untuk bersuara lagi.  “Baizura.. kau sedih ya bila dapat tahu aku dah ada orang lain?”  Baizura angguk.  Imran mengeluh perlahan.  Dia memandang Imran, bersedia mendengar apa yang ingin diluahkan. 


“Mungkin kau akan fikir aku tergesa-gesa. Tapi, 10 tahun tu bukan waktu yang singkat kalau aku nak lupakan kau.  Aku masih berpegang pada janji aku sebab kau masih orang yang sama dalam hati aku.  Lagipun, kita pun dah kembali pada diri asal kita.  Aku yakin, kau adalah takdir aku.  Aku janji, aku akan bahagiakan kau.  Jadi, sudi tak kau sehidup semati dengan aku dengan ikatan yang sah?  Aku tak nak kehilangan kau yang dah hot ni!”  Baizura kaget.  Nyata dia terkejut.  Tapi, linangan airmata gembira menandakan dia memang bersetuju dengan semua yang telah tertulis ini.


Tapi, semua itu sudah tinggal kenangan dalam hidupnya.  Tatkala pandangan mereka bertaut di mahkamah syariah tengahari itu, tiada kata yang terbit dan terluah dari mulut mereka.  Pandangan mata yang terpancar itu, adalah pandangan terakhir mereka dan Baizura mahu membuang jauh-jauh ingatannya terhadap seorang lelaki bernama Imran sehingga satu hari nanti dia tidak pernah tahu lelaki itu pernah wujud dalam hidupnya.
Terlerai semua janji, terlunas semua dendam.  Imran dan Baizura akhirnya berpisah.


12.50 am-6/11/10




             

No comments:

Post a Comment