Friday, February 18, 2011

Epilog Diari Duka


p/s :serious.. saya rasa cerita ni paling sedih yang pernah saya tulis.  

OGOS 2002

“PAPA!  Kan Ain dah cakap, Ain tak mahu sambung study lagi!  Ain dah penat lah belajar!  Kenapa papa and mama ni?  Suka paksa Ain buat sesuatu yang Ain tak suka!  Dah lah suruh Ain futher study kat Australia!  Saja ye, nak halau Ain?”, marah seorang gadis kepada ayahnya di ruang legar masuk ke bangunan menuju ke pintu masuk lif.  Aku seperti seminggu lepas, hanya memerhati gelagat manja gadis itu.

“Selama ni pun, kami dah banyak ikut cakap Ain.  Cukup-cukup lah tu.  Keputusan papa muktamad.  Sebarang surat menyurat tidak akan dilayan, ok?”.  Lelaki yang bersama gadis tadi aku kenal.  Dato’ Mustaffa, pemilik bangunan ini, selaku ayah pada gadis itu.  Melihat Dato’ Mustaffa tidak mengendahkan permintaannya, dia seraya menghentak kaki dan memasuki lif, bersama denganku.  Pintu lif tertutup, hanya kami berdua didalamnya.  Berdebar pulak rasa.  Yalah, aku ni hanya budak penghantar barang, mana layak nak berkawan dengan anak Dato’ macam minah ni, apatah lagi nak berduaan begini!

Aku nampak muncungnya masih sedepa.  Selayaknya buat sangkut baju, ataupun gantung kotak yang aku bawa, biar ringan sikit beban yang aku pikul.  Aku senyum tawar tatkala dia hanya menoleh aku dengan ekor matanya.  Senyum aku tak dibalas, tambah dilempar dengan jelingan.  Aik, marah pada bapak, aku yang kena?  Kau memang tak berubah!

“Tak baik tahu, bantah cakap mak ayah..”, aku mula mengagahkan diri untuk bersuara.  Dia memandangku dengan wajah yang begitu mengjengkelkan sambil memandang aku dari atas ke bawah.  Aduh, macam aku ni pencacai lah pulak!  Eh, makcik, aku bawa barang, bukan bawa najis mughalazah, tahu!

“Excuse me, awak ni budak baru ye kat sini?”  Jujur, aku mengangguk.  “Kerja hantar barang, kan?”  Sekali lagi aku mengiakan.  “So, buatlah kerja yang dibayar gaji tu, tak payah lah nak buat kerja overtime and tak berbayar ni!  Jangan sibuk kerja jaga tepi kain orang, ok?!”

Dia laju melangkah keluar bila pintu lif terbuka.  Aku mengekorinya.  “Excuse me..”  Dia berpaling, mungkin pelik seorang pekerja bawahan macam aku ni tahu berbahasa Inggeris.  Eleh, bukan nak berlagak lah, tapi kalau setakat excuse me, sorry, thank you, I love you tu cikgu aku sempat ajar lah waktu aku darjah 6 dulu!

“Awak ni, budak yang dah lama ye kat sini?”  Dia seperti aku, mengangguk dengan muka berkerut seribu, wajib ambil botox lagaknya.  “Kerja menasihat ni kerja baik.  Kerja baik akan dibayar dengan pahala, tahu kan?”  Walaupun masih terpinga-pinga, dia tetap mengangguk.  “So, saya tengah buat kerja overtime yang dibayar Tuhan lah ni!  Jangan sibuk kerja nak marah orang, ok?!”  Aku menghabiskan ayat dan terus melangkah dengan yakin meninggalkannya dibelakang.

“Hei, nanti dulu!”  Aku berhenti dari melangkah lalu memandangnya.  “Kau ni..Haikal kan?”  Aku masih lagi statik.  “Ya, itu nama saya pada tag nama saya ni..Ada apa yang boleh saya bantu?”

“Hoi, poyo lah kau!  Tak payah lah nak main-main lagi dengan aku!  Hanya seorang saja Haikal yang aku kenal dalam dunia ni yang suka tiru orang cakap macam kau ni!!  Haikal, ni aku lah..Ain!  Ain Suhaiza!”, tempiknya di luar pejabat sambil terloncat-loncat.  Ha, staf sekalian!  Tengoklah betapa tak malunya anak bos korang ni!

Aku tergelak.  “Aku ingat kau dah tak cam aku!  Aku saja je nak testing kau!”  “Hee..aku sekeh-sekeh jugak mamat ni!  Wah, rindunya aku kat kau, dah 15 tahun aku tak jumpa kau!  Macam mana kau tahu aku kat sini?  Haa..macam mana pulak kau cam aku?” 

“Aku kan ada cop mohor kat atas dahi kau tu.  Mahunya aku tak perasan!”  Ain gelak sambil meraba parut di atas keningnya.  Ya, parut tu.


JANUARI 1987

“Kau ni miskin, bodoh pulak tu!  Mak bapak pun tak ada!  Hidup tak guna jugak!  Baik kau bagi duit yang kau ada pada kitaorang!”, pekik si gendut ni sambil menolakl bahuku, membuatkan aku terdorong ke belakang.  

Eh, si gendut ni tak reti cakap melayu ke kalau aku cakap aku tak ada duit?!  Kalau ada pun, jadi tak ada lah kalau kau dengan geng kau ni hari-hari korek dengan aku!  Kau ingat aku ni anak tokey balak ke nak bagi duit kat kau?!  Dengan anak orang kaya tu tak nak pulak mintak!

“Tak ada duit..”  Hanya itu yang terluah dari bibirku walaupun banyak yang ingin aku katakan.  Malas nak cakap banyak.  Kalau cakap sampai berbuih mulut sekalipun, dia orang bukan dengar, apatah lagi nak faham.

“Tipu!  Takkan orang jaga kau tak bagi duit?  Aku dengar kalau raya kau dapat banyak duit dari orang biasa, mana hilangnya?!”, tanya pulak si keding ni.  Dah, kau ingat ni musim raya ke?  Tahun lepas punya puasa pun tak ganti, sibuk nak raya pulak!

Aku masih lagi menggeleng.  Mesti lebam lagi muka aku, mesti aku tak dapat makan malam lagi hari ni sebab bergaduh dengan budak hingusan ni.  Nenek, kan seronok kalau nenek ada.  Nenek, Haikal rindu nenek.

“Cepat bagi kitaorang duit, kalau tak, makan buku lima aku lagi kau petang ni!”  Aku geleng lagi.  Aku nampak si botak dah cekak leher kemeja sekolah aku dan mengangkat buku limanya.  Aku pejam mata.  Ya Allah, bawalah aku pergi bersama nenek.

“Hoi, buat apa tu?  Nak bertumbuk, ye?!”  Aku buka mata bila dengar suara halus seorang budak perempuan dengan sebuah basikal merah.  Siapa pulak nak cari bala tu?
“Eh, budak perempuan jangan sibuk hal budak lelaki!  Kalau nak selamat baik kau blah!”, pekik si sepet sambil terkenyit-kenyit matanya.  Entahlah, aku tak pasti kenapa.  Kesan sawan mungkin.

“Aku kasi tahu cikgu besar!!”, katanya sambil mendekati kelompok kami.  Cengkaman aku dilepaskan dan aku terjelepok jatuh ke bumi.  4 orang samseng menghampiri budak perempuan tadi.

“Oh, berani betul kau ye?”  “Berani kerana benar!”  Aku nampak si keding menunjal kepala budak perempuan tadi.  Takut yang tak bersalah diapa-apakan, segera aku menerkam si keding.  Rakannya yang lain pula menerkam aku dari belakang.  Kami mengelupur tanpa menyangka sepakan si gendut terkena basikal budak perempuan tadi lalu merebahkan basikal bersama tuannya.  Jeritan kecil kedengaran.  Tumbukan si sepet terhenti dari menghentam perutku. 

Aku nampak dia meraba dahinya yang sudah berdarah, terhantuk bahu jalan.  Mereka berempat kaget dan segera meluru meninggalkan aku di situ.  Aku bangun sambil terhencot-hencot mendekati budak perempuan tadi.  Tangisannya melarat.  Lah..nangis jugak rupanya!  Ingatkan berani sangat tadi!

“Aku hantar kau balik..rumah kau kat mana?”  Dia mengangguk dan mengambil tempat duduk dibelakang basikalnya sambil dikayuh olehku.  Sekali-sekala aku menolehnya yang asyik mengesat airmatanya.  Tangisannya sudah reda.

“Kau baru sekolah rendah, dah pandai nak bergaduh!  Lepas tu libatkan anak aku!  Tengok, kepala anak aku dah berdarah macam ni!  Kalau pecah kepala anak aku, kau nak ganti ke?!”, herdik ibu budak perempuan tadi macam singa menerkam mangsanya kepadaku sebaik saja aku sampai ke rumah besar milik mereka, tak jauh dari tempat aku bergaduh tadi.  Budak perempuan tadi cuba mententeramkan ibunya yang macam dah meroyan marah aku.

“Eii, geramnya aku!  Mana mak bapak kau, aku nak jumpa mereka!”  Aku bisu.  Bapa budak tadi merawat luka sambil menampal plaster didahinya.  “Hei, aku cakap jawab lah!”, tanyanya lagi sambil menunjal kepalaku.  “Mama..apa buat anak orang macam tu?”, tegur bapanya.  Dia hanya menjeling suaminya.

“Mak bapak saya ada dalam kubur, pergilah cari.  Tu pun kalau diaorang nak cakap dengan mak cik..”, jawabku bersahaja.  Mereka terdiam.  Tolonglah, jangan buat muka simpati tu, aku dah jelak!

“Habis tu, adik duduk dengan siapa?”, tanya si lelaki dengan nada lembut.  “Dulu tinggal dengan nenek.  Tapi, nenek dah meninggal masa kebakaran 3 tahun lepas.  Sekarang, tinggal kat rumah anak yatim..”


“Patutlah jahat budaknya!  Tak hairanlah!”  “Mama?  Tak baik cakap macam tu..Dia tak sengaja tu..Kalau tak, takkan dia bawa Ain balik..”  “Papa ni suka sangat percaya cakap budak macam ni!  Kecil-kecil dah menyusahkan orang! Sengaja atau tak, yang penting dia bertanggungjawab pada apa yang berlaku pada anak kita ni!”  “Mama..cukuplah tu..Ain pun dah ok ni..”  Lelaki tadi memandang aku dan senyum. 

“Maafkan saya dan terima kasih sebab terima maaf saya..”, kataku sambil berlalu pergi.  Aku menoleh memandang budak perempuan tadi.  Ain, ye?  Harap aku tak menyusahkan kau lagi lepas ni.  Begitu jugak kau.

Aku ingat itu merupakan kali terakhir aku jumpa dia.  Tapi, lepas dari kejadian itu, budak perempuan tu asyik menempel dekat dengan aku bila rehat, balik sekolah dan pergi sekolah.  Dia senyum dan tegur aku, tapi aku buat tak tahu.

“Aku Ain.  Budak kelas 2 Amanah.  Kau?”  Aku memandangnya sekilas dan kembali menumpukan perhatian pada perlawanan bola sepak di tengah padang sekolah.  “Ada aku tanya?”  Dia menggeleng.  “Memang tak tanya, tapi dah kenyataan.”  Aku membisu.  Ada aku kisah?

“Kau kena balas budi baik aku..”  “Wei, si buruk siku!  Kan aku dah hantar kau balik hari tu?”  “Perasan tak budak berempat tu dah tak kacau kau lagi?  Jadi, kau kena balas budi baik aku dengan berkawan dengan aku, sebab aku yang beritahu cikgu displin fasal mereka, faham?”

“Perasan tak budak berempat tu dah tak kacau kau lagi?  Jadi, kau kena balas budi baik aku dengan TAK PAYAH berkawan dengan aku, sebab aku yang beritahu cikgu besar fasal mereka, faham?”, sengaja aku tekankan perkataan ‘tak payah’, harap-harap dia faham maksud sebenar aku.

Aku dengar dia ketawa.  Aku memandangnya.  “Pandai kau pusing ayat, mesti BM selalu dapat 100, kan?  Patutlah mereka kalau nampak aku je lari!  Tapi, aku tak kira..aku nak berkawan jugak dengan kau!  Kau Haikal, kan?  3 Cekal?”

“Tak malu betul!  Sempat lagi kau siasat fasal aku!”  “Memang tak siasat, tapi dah kenyataan!”  Dia menunjuk tag namaku.  Aku buat-buat tak nampak.  Selepas itu, dia lah orang yang sibuk bercerita itu dan ini.  Aku hanya menadah telinga.

Menurutnya, sebelum ini dia tinggal di luar negara dan baru saje beberapa bulan berpindah ke daerah ini kerana mengikut ayahnya atas urusan bisnes.  Dia anak tunggal keluarganya yang berada dan dia nampaknya tidak kekok untuk berkawan dengan aku yang lusuh dan selekeh.  Lihat saja kasutku yang rabak, baju putih yang kekuningan yang nipis dan singkat dan buku tulisku yang macam belacan! 




Walaupun aku selalu tidak mengendahkannya, tapi dia tetap degil.  Dengan dia, aku rasa gembira.  Sedikit sebanyak kesedihan dan kesepian aku terubat.  Dengan dia, aku rasa lebih ramai kawan.  Sebelum ini ramai yang tidak mahu mendekatiku yang suka mendiamkan diri dan menonjolkan diri dengan kes bergaduh.  Dengan dia juga, aku rasa lebih selamat.  Sekurang-kurangnya, tak ada lagi orang nak buli kawan pada orang kaya ni!

Banyak yang kami lalui bersama.  Bersama meredah denai pergi melastik burung, aku curi-curi keluar asrama anak yatim untuk mandi sungai dan banyak juga kami luangkan masa untuk belajar bersama walaupun mak Ain memang menentang keras persahabatan kami. 

Bila jumpa, mesti banyak yang akan kami bualkan.  Dari rumah, ke kelas.  Dari kelas ke padang permainan.  Selalu juga dia datang melepaskan kemarahan pada bapa dan ibunya kepada aku dan kesannya sama macam dia bercerita pada kerusi tempat aku duduk sebab tiada reaksi dari aku.  Akhirnya, dia merajuk dan kami akan makan aiskrim bersama-sama untuk meredakan rajuknya.  Manja sungguh perempuan ni!

Petang itu, kami bersama-sama bermain layang-layang untuk kali terakhir.  Aku akan bertukar ke sekolah lain untuk masuk ke sekolah menengah dan rasanya tidak ada sebab dan masa lagi untuk kami bertemu.  Tiga tahun kami berkawan, terasa masa kami pada petang itu terlalu cepat berlalu.

“Nanti, jangan lupa aku, ya?”, pesan Ain pada ku.  “Aku takkan lupakan kau, apatah lagi tanda yang aku tinggalkan pada dahi kau!”.  Dia tergelak.  Dia mengayuh basikalnya untuk pulang sambil melambai ke arahku.  Aku membalas lambaiannya hingga ke saat tiada lagi bayang wajahnya di tubir mataku.


FEBRUARI 2003

“Lepas raya haji nanti kita nikah nak?”, pertanyaan Ain membuatkan aku tersembur air oren yang aku hirup.  “Apasal, kau tak sayang kan aku, ye?”

Aku memandang wajah redup di depan mataku.  Rambutnya yang hitam ikal paras bahu sengaja dibiarkan tanpa diikat, menyerlahkan lagi keayuan wajahnya.  Wajah yang buat lenaku terganggu.  Wajah yang menghiasi mimpi-mimpi indah aku disetiap malam dan wajah yang aku kejar selama 15 tahun.  Sayangku, Ain..Sah-sah aku ni sayang sangat pada kau lebih dari aku sayang pada diri aku. Kalau tak, takkanlah aku sanggup tak pandang perempuan lain.  Aku tahu kita memang berjodoh. 

“Tak tergesa-gesa ke?  Boleh ke kau terima suami kau yang kerja hantar barang je ni?”  Ain menjeling mendengar soalanku, bukan jawapanku.  “Kau saja je kan, buat kerja susah hantar barang padahal kau owner company tu!  Aku tahu, kau cari aku sebenarnya sebab tu menyamar jadi worker, lepas tu kau tackle aku.  Macam yang kau dah buat sekarang..!”  Aku tergelak.  Kantoi jugak akhirnya!

“Boleh tahan jugak kau ni gatal!  Tak sabar betul!  Dah lah sampai sanggup bantah cakap mak ayah, tak nak further study!” Ain mencubit lenganku.  Mak aih, bisanya! “Kau sanggup ke biar aku belajar jauh-jauh?  Nanti mula lah, mandi tak basah, makan tak lalu!  Ala, aku tak belajar pun, aku still tolong papa handle company!”  “Haa..tolong menyusahkan adalah aku tengok!  Aku bukan apa, em..mak kau tu..”  Aku menggaru kepala yang tak gatal.

“Bukan mama yang nak kahwin, aku kan?  Ke kau nak pinang mak aku?  Berani kau, ye?  Jangan risau, papa setuju punya..lagipun kan papa yang jadi wali?  Cepatlah, kita nikah!  Lepas tu, aku janji aku akan concentrate dengan company papa, ok darling?”  “Hee..kau ingat keje nikah ni macam nak beli ikan ke?  Kau tu dah ready ke?  Pandai masak tak?”  “Pandai, masak maggi!  Kau kan suka makan maggi?”  Ain gelak dan aku hanya mencebik.  Hampeh!

“Mama tak akan izinkan! Tak akan!!”, tempik Datin Salima, sama macam pertama kali aku jumpa dia dulu.  Aku dah agak, itu jawapan dia.  Aku memilih untuk berdiam diri.  Tiba-tiba terasa ruang tamu besar itu sempit dan membahang.

 “Mama.. Ain, merayu pada mama.  Ain nak bersama dengan Haikal.  Ain cintakan Haikal, mama..Papa, please explain to mama..”, rayu Ain macam kucing hilang anak.  Dato’ Mustaffa meminta Ain bertenang, sepertiku.  Aku, nampak saja tenang tapi di dalam bergelora, Tuhan saja tahu.

“Mama..kenapa ni?  Papa setuju, kenapa mama tak setuju?  Haikal tu kan lelaki yang anak kita cintai, kenapa perlu kita halang mereka untuk bersama?”, pujuk Dato’ Mustaffa.  Namun, Datin Salima masih berkeras.

“Sebab dia anak yatim piatu yang tak tahu mana asal usulnya!  Mama tak mahu keturunan mama ada darah anak pungut!  Dia bukan anak orang atasan yang setaraf dengan kita!  Plus, you still young!  Kamu akan menyesal kalau kamu kahwin dengan dia!”

Oh, nanti..ini dah lebih, Datin!  Kalau nak hina, hina saja saya!  Jangan hina keturunan saya umumnya dan ibu bapa saya khasnya!

“Dari mula kamu berkawan dengan dia, mama memang tak suka dan tak pernah restu!  Entah apa yang dah lelaki ni dah racun fikiran kamu sampai sanggup kamu membelakangi mama!  Siapa tahu dia mungkin ada agenda untuk merampas semua kekayaan yang kita miliki?  Jangan cepat percaya pada dia, Ain!”

“Cukup, Datin!”, kataku sambil berdiri setelah sekian lama membisu.  Aku melangkah sambil memaut jemari Ain. 

“Saya tetap akan berkahwin dengan Ain walau apapun terjadi, dan walau apapun yang Datin cakap sebab saya memang cintakan Ain dan saya yakin dia pun begitu.  Saya mampu bahagiakan dia dan saya akan buktikan pada Datin.  Jom, Ain”. Segera aku meninggalkannya bersama Ain.

“Ain..!”, panggil Dato’ Mustaffa.  “Papa akan sokong Ain!  Haikal, jangan lunturkan kepercayaan pak cik pada kamu, ya?”, katanya sambil menepuk bahuku.  Aku senyum sambil mengangguk.  Ain nampak sedikit ceria dan lega.

“Nanti dulu!”  Kami serentak berpaling pada Datin Salima.  “Kamu boleh kahwin dengan dia, kamu boleh berwalikan papa, tapi kamu boleh ambil semua pakaian kamu dan berambus dari rumah ni sebab kamu bukan lagi anak mama dan papa!  Jangan harap kamu boleh dapat satu sen harta dari kami!  Papa, ingat tu.  Jangan sampai mama buat macam ni juga pada papa!”, katanya lalu berpaling dari kami.  Aku mengeratkan lagi genggaman tanganku, memberi sedikit kekuatan kepada Ain.  Aku nampak ada air jernih bertakung di kolam matanya, tanda terguris dengan tingkah ibunya.  Ya Allah, adakah aku yang berdosa?  Adakah aku terlalu mementingkan diri?  Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dan petunjuk dari-Mu.

“Jangan risau, Ain..Aku janji aku akan jaga dan sayang kau lebih dari aku jaga diri aku.  Aku tak silap, Ain.  Kau jiwa dan hati aku.  Kau akan aku jadikan isteri aku, yang halal untukku selama-lamanya..Aku cintakan kau, Ain”  Aku memandang Ain yang kian lebat menitiskan airmata.  Sedu-sedan sudah kedengaran.  Sesungguhnya aku tak sanggup untuk biar dia hidup dalam airmata begini, dan aku akan cuba untuk buat yang terbaik untuknya.

“Aku harap, kau boleh pimpin aku ke jalan yang diberkati Allah.  Kau akan melindungi aku dalam apa jua keadaan dan akan bersama dengan aku dalam susah atau senang sampai aku mati sebab lepas ni, aku dah tak ada sesiapa lagi, aku hanya ada kau. Aku cintakan kau, Haikal”, ikrar Ain sambil aku menyapu airmatanya, mengisyaratkan dia supaya berhenti menangis.  Aku akan selalu disisi kau, Ain.  Aku akan kotakan janji aku bersama kau.

Tiada kenduri kendara, tiada merisik dan tiada pelamin.  Hanya akan ada majlis akad nikah yang berlangsung selepas Isya’ di sebuah masjid, disaksikan Dato’ Mustaffa dan beberapa kenalan rapat saja.  Sebelum majlis akad nikah, aku sempat bertemu dengan  pak cik Salleh, seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi.  Dia bukan abangku, bukan bapaku, bukan juga saudaraku.  Tapi, aku menganggapnya lebih dari itu.

Kami berjiran dan dia mengenali nenek sebelum aku lahir lagi.  Tapi, dia berpindah dari situ beberapa bulan sebelum rumah nenek terbakar 18 tahun lepas.  Semasa kejadian, kebetulan dia melalui kawasan rumah nenek sewaktu menghantar penumpang.  Melihat api yang marak, dia cuba menyelamatkan kami, namun hanya aku yang sempat diselamatkan.  Aku berhutang nyawa dengannya. 

Menyedari aku tiada saudara-mara lagi lalu dia bawa aku pulang ke rumahnya yang jauh dari kampung itu.  Kehadiran aku dalam keluarganya memberi kesan negatif kepada isterinya, mak cik Zakiah. Aku membawa beban kepada mereka yang juga masih mempunyai 6 orang anak yang masih kecil dan bersekolah.  Pendapatan pak cik Salleh pula yang tidak menentu pasti meruncingkan ekonomi mereka yang tiada sumber pendapatan lain.  Dalam keberatan yang amat sangat, aku dibawa pak cik Salleh ke rumah anak-anak yatim di daerahnya. 

Walaupun kehidupan dengan nenek susah, namun aku merindui saat itu jika dibandingkan dengan kehidupan di rumah anak-anak yatim itu. Namun aku bersyukur kerana Tuhan memberi kesempatan hidup untukku merubah nasibku dan masih ada lagi orang yang sayang padaku serta mahu menjengukku ketika dia senang, iaitu pak cik Salleh.

Sebuah kereta memasuki perkarangan masjid.  Aku menunjukkan kepada pak cik Salleh, bakal bapa mertuaku dan bakal isteriku.  Aku hairan melihat kerut wajah pak cik Salleh. “Apa namanya?”, tanyanya ringkas, namun ada getar.  “Dato’ Mustaffa bin Musa”, jawabku tenang.  Dia nampak gelisah.  Aku pula rasa tak sedap hati.

“Sabar, Haikal..pak cik harap kau tenang terima semua ini..”  Jantungku berdegup kencang mendengar setiap patah bicaranya.  Airmataku bergenang.  Tidak sanggup rasanya berdepan semua kenyataan ini.  Namun, aku terpaksa akur.

Segera aku tinggalkan majlis itu tanpa sebarang pesan, tanpa sempat melafazkan akad.  Aku tinggalkan Ain bersama janjiku, aku tinggalkan Dato’ Mustaffa bersama kepercayaannya.  Maafkan aku, semua!


APRIL 2008

Aku memandang wanita separuh abad yang menunjal-nunjal bahu wanita 30-an itu.  Wanita 30-an yang masih lagi ayu dengan solekan nipis dan rambut yang disimpul rapi itu masih lagi kaku tanpa sebarang reaksi.  Walaupun ayu, aku nampak nada derita di jiwanya.  Tangannya masih memegang kunci kenderaan di sisinya.  Tempat letak kenderaan di bawah bangunan pejabat itu lengang dan hanya bergema dengan kemarahan wanita separuh abad tadi. 

“Kau ni tak berhati perut langsung!  Aku tahu, kau dah mandremkan bekas laki aku, lepas tu kau bunuh dia, dan sekarang semua harta dia, kau kaut!  Perempuan sial!  Pengikis!”
Ain masih diam. 

“Kau ni pekak ke?!  Aku nak kau bagi balik semua harta yang kau rampas dulu pada aku!  Aku yang lebih berhak!!”  “Puan dah diceraikan olehnya 2 tahun sebelum kami nikah.  Saya isteri dia yang sah sewaktu dia meninggal.  Jadi, harta yang jadi milik saya, akan tetap milik saya”, jawabnya tenang, setelah lama mengunci kata.   “Kurang ajar, kau degil, ya?!”

Pang!  Satu tamparan tepat mengenai pipi wanita 30-an itu, tanpa sempat aku menahannya.  Dia yang terkejut, hanya sempat meraba pipinya yang pedih tanpa membalas tamparan tadi.  Aku berlari mendapatkan wanita tua tadi yang nampaknya ingin menghadiahkan sebuah lagi tamparan.  Aku memegang tangannya. 

“Eh, sudahlah tu, puan!  Malu orang tengok!”, aku memberikan nasihat dengan menyelindungkan wajahku bersama topi yang aku pakai.  Tidak sanggup untuk bertentang mata dengan wanita yang ditamparnya.  Terasa rasa bersalah menyelubungi aku.

“Hei, kau siapa, jangan masuk campur hal aku!  Biar aku ajar perempuan ni!  Dia ni lagi tak malu dari aku!  Perampas!!”  “Balik lah dulu, puan..Bawa bertenang!”  Aku membawanya jauh dari wanita tadi. 

Dia mendengus kasar sewaktu aku melepaskannya pergi.  “Kau jangan ingat kau boleh lari dari aku!  Kalau tak aku, anak-anak aku akan tuntut bela terhadap aku!  Ingat tu!”  Sempat dia memberi amaran sebelum memasuki kereta Mercedes 7 series berwarna silver metallic yang dipandu sendiri olehnya.  Terus dia menderu laju dan hilang dari pandangan.

“Awak ok?”, tanyaku sambil menunduk.  Rasanya dengan penampilanku yang selekeh dan wajahku yang cengkung, mungkin dia tak perasaan akan kehadiran aku yang sebenarnya mengenalinya.

“Kau tak kenal aku, jadi tak payah nak sibuk-sibuk hal aku!!”, tempiknya.  Bukannya nak cakap terima kasih!  Tapi, memang ini malah lebih dari ini sepatutnya yang layak aku terima atas kesalahan aku.

“Aku nak kenal kau, sebab tu perlu untuk aku sibuk-sibuk hal kau”.  Alamak, terkeluarlah pulak identiti diri aku!  Ala, dah terbiasa lah, bila bercakap dengan dia mesti nak ulang balik apa dia cakap.  Segera aku berpaling untuk pergi.

“Hei, nanti dulu!!”  Aku semakin galak melangkah.  “Jantan tak guna!  Tu memang kau, kan Haikal?!!”  Jeritannya membuatkan aku berhenti.  Kedengaran tangisannya.  Aku berpaling. “Ain..”, panggilku sayu, cuba meraih simpati dan tidak mengeruhkan keadaan.

“Buat apa kau datang?!  Kau dah musnahkan segala-galanya!!  Kau dah buat aku cukup sengsara, kau tahu tak?!”  Aku mendekatinya, mahu menerima semua hamburan maki hamunnya jika itu mampu membuatkan dia tenang dan mampu membuatkan dia menerima maaf dariku.  Setelah seminggu bertemu secara tidak sengaja dengannya, baru sekarang aku mempunyai kekuatan untuk berdepan dengannya.

“Kau dah hancurkan semua kehidupan aku!”, katanya sambil membaling kesemua yang ada di tangannya kepadaku.  Dicabutnya kasut tinggi miliknya dan direjam kepadaku.  Aku tak mengelak, ia mengena bahuku.  Sakit, memang sakit.  Inilah yang dirasai Ain.

Tangisan masih mengiringi bicaranya.  Dia sudah tidak sekuat dan setabah menghadapi wanita tadi.   “5 tahun..5 tahun kau tinggalkan aku!  Mana janji kau!  Kenapa kau tinggalkan aku tanpa kotakan janji kau untuk jadikan aku isteri kau!  Kau memang sengaja nak malukan aku, kau sengaja nak mainkan aku!”

Aku senyum.  Tak, Ain.  Aku sayang pada kau.  Aku pun macam kau, sepanjang 5 tahun ni aku hidup dalam kesengsaraan dan kekesalan.  Ya, aku manusia paling kejam.  Aku tak layak hidup lagi, kan?

“Sebab kau, papa accident waktu dia keluar cari kau malam kau lari dari masjid tu!  Hah, sekarang dia lumpuh, hidup bergantung pada kerusi roda.  Tak mampu bercakap, dia tak kenal aku dan mama.  Dia alami amnesia!  Suka hati kau, puas hati kau?  Sebab kau, aku terpaksa menanggung malu, terpaksa uruskan company papa yang dah nak bankrupt!  Aku terpaksa kahwin dengan duda yang patutnya pangkat bapak dengan aku demi nak menyelamatkan syarikat!  Kau tahu tak, perkahwinan kami atas dasar simpati dan bisnes, langsung tiada cinta!  Lepas 3 tahun kahwin, dia meninggal sebab sakit jantung.  Ya, memang aku dapat kesemua hartanya, tapi kau ingat aku bahagia ke bila bekas bini, anak-anak dia dan semua orang disekeliling aku cakap aku perampas, penggoda dan penyebab penceraian dia dengan bekas bini dia?!  Sebab kau, mama tak habis-habis nak salahkan aku punca papa jadi begitu, tiada lagi kasih sayang mama pada aku!  Kau tahu tak semua ni sebab kau!  Sebab kau, aku terpaksa menanggung semua ni!  Apa salah aku sampai kau buat aku macam ni?!  Aku benci kau!!”

Ain terduduk di tepi Toyota Altis berwarna gelap miliknya.  Dia memeluk lututnya dan menundukkan wajahnya sambil menangis lagi.  Aku tak mampu berkata apa.  Memang salah aku, aku tak bisa memutarkan masa kembali kepada sedia kala.  Sungguh, aku tak tahu dan tak sangka keadaan akan jadi begini, hidup kau akan sengsara begini!

“Maafkan aku, Ain.  Jangan risau, aku akan terima balasannya tak lama lagi.  Maafkan aku..”, kataku sambil berlalu pergi.  Makin lama berada di situ makin menambahkan kepedihan di hati Ain. 

“Aku takkan maafkan kau sampai aku mati! Tak ada satu pun benda yang boleh menebus kesalahan kau di dunia ni!  Kau tak layak untuk maaf itu!!  Berambus dari hidup aku!!”

Entah kenapa, setelah segala-galanya berlalu, setelah aku nekad untuk melupakan segalanya, baru sekarang semangat aku kuat untuk memohon kemaafan.  Baru sekarang terbuka pintu hati aku untuk membongkar segala kebenaran agar semuanya jelas dan terang.  Supaya penyesalan dan rasa bersalah tidak mengheret aku sampai aku tiada.

Untuk maaf itu, jika bukan dari Ain, mungkin aku merayu kepada Dato’ Mustaffa dan Datin Salima.  Jadi, aku buru Ain dari dia keluar rumah, sampai dia balik dari pejabat.  Bila aku sampai ke kediamannya, tidak tanda yang kedua orang tuanya menginap di situ.  Sampai satu ketika dihujung minggu, dia ke sebuah villa.  Aku yakin, mereka ‘menyembunyikan’ Dato’ Mustaffa di situ.
Ain masuk ke dalam villa indah, di kaki sebuah bukit.  Setelah aku melihat dia hilang ke perut rumah, aku memanjat masuk ke dalam melalui pagar.  Rumah dua tingkat itu nampak sunyi, namun cukup mendamaikan dengan dekorasi halamannya yang diindahkan dengan bunga-bunga segar dan air terjun.  Dari kejauhan, aku nampak Ain sedang menghampiri sebuah pondok yang terbina indah disisi air terjun tadi.

Aku makin mendekati pondok itu, disebalik rimbunan pohon-pohon palma.  Aku nampak, seorang wanita sedang menyuapkan makanan kepada seseorang yang diam dikerusi roda, tanpa bicara dan tingkah.

“Hei, apa kau buat dengan jantan ni?!  Kau ni, saja buat benda yang aku tak suka, kan?!”, pekik Datin Salima, sebaik saja dia ternampak aku dibelakang Ain.  Tajam sungguh penglihatan Datin, tapi nada percakapannya memang tidak berubah bila berdepan denganku.

Ain terdorong untuk berpaling.  Dia benar-benar terkejut.  “Mama, Ain tak tahu pun dia ada kat sini, Ain tak bawa dia..sumpah!  Ain tak tahu..”.  Ain kembali menghadap aku. “Apa kau buat kat sini?!  Hei, tolonglah jangan menyusahkan hidup aku!  Tolonglah, aku nak hidup dengan aman, tanpa kau ataupun bayang kau!”, katanya sambil menolak bahuku, jauh dari tempat dia berdiri.

“Maafkan Ain, Datin.  Dia tak tahu saya ekori dia..Maafkan saya juga kalau saya menganggu Datin sekeluarga..”, tuturku lembut.

“Kau memang dah banyak menganggu keluarga aku!  Eh, cukuplah nak berdrama lagi kat sini, kau nak apa lagi?!”, herdik Datin Salima, masih tak ubah seperti dulu.  Aku memandang Ain, meminta sedikit simpati dan kekuatan untuk menyuarakan semua yang terbuku di hati.  Namun, dia sedikit pun harapan aku akan dikasihani.

“Sudahlah!  Aku and family aku tak nak dengar apa-apa lagi dari kau!  Tolong lah..tolong keluar dari tempat ni.  Tinggalkan kami!”  “Tak..aku takkan pergi selagi kau tak tahu perkara sebenar”  “Kalau kami tahu sekalipun, ia takkan mampu mengubah semua penderitaan yang telah kau dah lakukan pada kami!  Keluar, keluar sebelum aku panggil polis!”, halau Ain, tanpa rasa belas.  Bajuku ditarik dan aku terbawa beberapa langkah menapak dari situ.

“Berambus aku kata!  Berambus!!”, jerit Ain sambil airmatanya laju menitis.  Datin Salima dan Dato’ Mustaffa yang kaku di kerusi roda hanya menyaksikan adegan airmata kami, tanpa sebarang reaksi.  “Aku tak nak tengok muka kau lagi!  Aku benci kau!”

“Kau tak boleh benci aku sebab kau ialah adik kandung aku!”, pekikku sambil menolak lembut tangannya yang menarik lengan bajuku.  Dia terkesima.  Datin Salima mahu terbeliak biji mata.  Dato’ Mustaffa masih kaku.


“Ya..aku ialah abang kandung kau, darah daging kau!  Datin Salima dan Dato’ Mustaffa ialah ibu dan ayah kandung aku, begitu juga kau!  Sebab itu aku tak boleh nikah dengan kau, walau sedalam mana aku sayang pada kau!”, tuturku sambil mengenggam erat jemarinya, membuatkannya tersedar dari khayalan.

“Ah, sudahlah!!  Kau tak payah nak buat cerita dongeng semata-mata nak minta maaf dari kami!  No!  Tak mungkin!  Tak mungkin itu berlaku dan tak mungkin aku akan maafkan kau!”, kata Ain sambil menepis tanganku.  Aku memandang Datin Salima yang dalam keadaan yang sama seperti Ain, enggan percaya.

“Datin Salima..takkan dah lupa pada Mohamad Haikal yang Datin tinggalkan di rumah ibu Datin, Esah sewaktu anak kecil itu baru berumur 5 bulan?!  Dah lupa apa janji Datin?”  Datin Salima menggeleng kepala tidak percaya. 

“Tak..bukan ke budak tu dah meninggal bersama mak aku waktu kebakaran?!”  “Ada Datin nampak kubur budak tu?  Ada Datin pergi jenguk?  Datin betul-betul lupa..!  Datin lupa pada janji, lupa pada diri!  Sekarang, anak ini nak ingatkan Datin semula, siapa diri Datin yang sebenarnya!”

“Tidak!  Tak mungkin!  Kau dah mati!  Anak aku hanya Ain!”. Datin Salima menekup telinganya, tidak mahu mendengar sebarang kenyataan lagi.  Hakikat hidup, memang memeritkan, Datin. 

“Mama..jangan percaya cakap dia, mama!  Dia sengaja nak porak-porandakan hidup kita lagi!  Nak buat kita rasa bersalah!  Ain yakin, apa yang dia cakap tak benar!”  Ain menghampiri Datin Salima lantas memeluknya.  Aku menghela nafas berat. 

“Percaya atau tak, terpulanglah.  Saya tak minta Datin untuk terima saya.  Saya hanya nak Datin tahu..itu saja.  Maafkan saya, kalau kehadiran saya sekali lagi membuatkan hidup Datin sekeluarga binasa…Maafkan saya..”, kataku berpaling.

“Hei, keluar dari sini!  Keluar dari hidup kami!  Orang macam kau, tak layak untuk berada di atas muka bumi ni, tahu!  Berambus!!”, pekik Ain, masih terkesan di telinga dan hati aku.  Begitu kau membenci aku, Ain? 


NOVEMBER 1981

“Mak..mak tolong jaga anak saya ni, ye?”, bayi lelaki yang masih tidur itu bertukar tangan dengan seorang ibu yang agak berumur.  Sebuah beg diletakkan.  “Hari tu, masa bersalin tak muncul, tiba-tiba datang, tiba-tiba pulak nak pergi.. Kau nak ke mana, Salima?”, tanya seorang ibu tua.  Dia memandang menantunya yang bercermin mata gelap, yang selepas bersalaman terus ke kereta.  Walaupun tidak serapat mana hubungan mereka, sesekali lelaki itu mengutus senyum, tanda keikhlasan dari hati.

“Mak..jangan banyak bunyi boleh tak?  Orang bersalin, duduk hospital.  Ada nurse layan!  Nanti kalau duduk dengan mak, menyusahkan mak pulak!  Ni, orang kena pergi luar negara, ikut Abang Mus berniaga kat sana.  Kalau bawa si Haikal nanti leceh lah mak, nak susu lah, menangis lah!  Nanti orang habis kerja kat sana, orang datang balik ambil budak ni!”  “Lama ke kau pergi?”  Salima memandang ibunya tajam, lalu membuat perkiraan.

“Ish, mak ni..nak jaga ke tidak ni?  Orang janji, orang balik nanti orang datang punya!  Kalau orang janji tu, mesti datang lah!  Orang pun sebenarnya tak nak menyusahkan mak pun, tapi terpaksa! Takkan nak suruh mak Abang Mus, dia lagi lah sibuk, orang bisnes lah katakan, kaya pulak tu!”  Ibu itu hanya mengangguk sambil menatap wajah nyenyak cucunya.  Inilah kali pertama wajah itu ditatap.  Salima bersalaman dengan ibunya sambil bergegas pergi.

“Ok lah, mak.  Orang pergi dulu, ye?”  “Eh, tak nak cium dulu anak kau ni?”  “Tak payah, tadi dah sayang cukup-cukup!  Kecik-kecik tak boleh manjakan sangat budak ni, nanti besar kepala!  Pergi dulu!  Bye!”

“Apa yang dimenungkan tu, mak cik Esah?”, sergahan Salleh segera mengembalikan dia ke alam nyata, sekaligus melenyapkan memori silam.  Sesekali suara anak-anak kecil yang bermain bersama di halaman rumah kedengaran.  Suara anak-anak Salleh dan cucu mak cik Esah.

“Orang yang tak ingatkan kita, tak payah lah kita sibuk-sibuk nak ingat!”  mak cik Esah sekadar senyum, menutup galau dihati.  “Dia janji dia datang, mak cik percaya dia akan datang, Salleh..”

“Mak cik..kalau dulu, boleh lah kita percaya apa yang dia cakap.  Tapi sekarang, dah 5 tahun. 5 tahun, mak cik!  Budak Haikal tu yang dari tahu meniarap, dah boleh berjalan, dah boleh bercakap pun!  Saya yang dari tak ada anak, dah anak 3-4 pun!  Bukan setakat batang hidung dia.. duit, surat ke pun tak nampak!  Tak payah lah nak harapkan dia lagi!  Dia dah kaya, dah senang, mesti dah lupa pada kita ni!  Pelik betul dia tu, yang kaya laki dia, tapi dia pulak yang lebih-lebih!  Eh, dia tak rindu ke pada anak dia ni?  Nanti, kalau budak tu tanya mana mak bapak dia, cakap je mereka dah mati!”

Mak cik Esah senyum lagi.  Lelaki yang tidak dikenali itu lebih berperasaan berbandingnya.  Dia tahu, lelaki itu jadi begitu kerana kehendak hatinya yang mengimpikan membina rumahtangga dengan Salima hancur bila Salima mentah-mentah menolak pinangannya dengan alasan, Salleh tidak sekaya Mustaffa.

“Biarlah dia, Salleh.  Selagi kudrat mak cik ni ada, selagi dia masih anak mak cik, mak cik akan terima apa jua yang dia lakukan.  Mak cik sentiasa maafkan dia jika dia tersilap, harap dia dan orang yang mengenali mak cik macam tu juga.  Mungkin, dia dah biasa hidup susah, sebab tu dia nak merasa hidup senang.  Salah mak cik, tak dapat nak penuhi apa yang dia nak..Kita tak boleh halang kalau dia rasa bahagia dengan hidup begitu..”


JULAI 2008

Aku mengurut dadaku yang terasa senak.  Sudah seminggu aku terlantar di katil ini bersama wayar-wayar yang berselirat.  Sesekali datang beberapa orang gadis beruniform putih, memeriksa tekanan darahku dan menyuntikku dengan jarum untuk memasukkan beberapa jenis cecair.

Sedih mengenangkan pengakhiran hidup aku yang berdepan dengan maut bersendirian.  Tapi, aku puas. Sekiranya aku akan dijemput Tuhan sekarang, aku sudah memberitahu mereka apa yang sepatutnya mereka tahu.  Tapi, aku sedikit terkilan, kerana disebabkan aku mereka banyak merana.  Walaupun aku tidak akan diterima mereka, aku nak mereka tahu, aku sentiasa mendoakan kebahagian mereka.

Pintu wad tempat aku ditempatkan terbuka dengan rakus.  Seorang wanita mampir sambil menolak kerusi roda.  Datin Salima?!  Dato’ Mustaffa?!  Apa yang mendorong mereka ke mari?  Ah, mesti rakan serumahku yang membocorkan rahsia nama hospital aku dirawat!

“Haikal..Haikal anak mama..”, katanya sambil merapati aku.  Ya Allah..aku bersyukur kepada-Mu, kerana kau bukakan hati mereka untuk menerima aku!  Walaupun lewat hidupku, tapi aku bersyukur!  Terima kasih, Ya Allah.

Airmataku menitis.  Aku hanya mampu senyum.  Datin Salima mengusap wajahku sambil diperhatikan Dato’ Mustaffa.  Aku nampak bibirnya bergerak menyebut namaku.  Alhamdulillah!

“Haikal..maafkan mama!  Ampunkan mama!  Mama..tak sangka Haikal akan jadi begini!  Puas kami cari Haikal, tahu-tahu Haikal sakit!  Mama banyak bersalah pada kamu, pada nenek!  Sembuhlah cepat, mama nak hidup bahagia semula dengan Haikal, mama nak tebus kesilapan mama!  Mama sayang Haikal!  Papa pun dah hampir sembuh, dia asyik sebut nama Haikal, je!”, katanya sambil menangis.  Aku mengangguk perlahan-lahan.  Bibirku bergerak.  Datin Salima mendekatkan telingannya padaku.

“Saya…maafkan..semua..Saya, sayang..mama dan..papa..”, kata-kataku sekali lagi mensayat perasaan wanita itu.  Lelaki disebelahnya turut mengalirkan airmata.  “Ain…?”.  Mendengar pertanyaanku, segera dia mendapatkan telefon bimbitnya.

“Hello, Ain?”  “Mama?” “Ain, Haikal..”  “Mama..kan Ain dah cakap tak nak cakap fasal dia lagi!” “Ain, datang hospital sekarang, sayang..Cepat!”  “Mama..kenapa ni?!  Siapa sakit?!”  “Ain, tolonglah untuk kali ni..Jangan degil.  Datang hospital sekarang!”

Aku mengerang kesakitan.  Melihat keadaan aku yang kronik, segera Datin Salima memanggil doktor dan jururawat bertugas.  Tangisan tidak henti-henti menghiasi ruang itu.  Mama, papa..tadi cakap sayang saya.  Kenapa menangis lagi?  Nanti, kirim salam pada Ain.  Cakap pada dia, saya sayang dia sebagai adik saya.  Saya sentiasa maafkan dia, dan harap dia pun sama.  Terima kasih sebab pernah memberi saya cinta..
Aku naik saksi, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku naik saksi, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Ain mendapatkan Datin Salima yang terduduk di tepi dinding.  “Mama?  Kenapa ni?”  Datin Salima masih membisu.  Airmata tidak kering dari membasahi wajahnya.  Ain menoleh ke sebelah ibunya.  Dato’ Mustaffa masih kelu dan bisu.  Dia memandang katil yang berselimut seluruh badan.

“Mama..siapa yang dah mati tu?”  Datin Salima statik.  “Mama!  Answer me!”, kata Ain sambil mengoncang badan ibunya.  Giliran Ain pula menangis lebat.  Hatinya rasa terpukul.

“Jangan cakap pada Ain, itu Haikal!”  Datin Salima hanya mampu mengangguk.  “Ain..bertenang sayang..Ain, Haikal abang kamu dah tak ada.  Dia menghidap barah otak tahap kritikal..Dia dah tak ada..”  “Haikal!!!”
 
Sesuatu yang tak disangka
Seringkali mendatangi kita
Itukah suratan dalam kehidupan
Atau sekadar satu kebetulan

Kita asyik membicarakan
Persoalan hidup dan pilihan
Serta kejujuran semakin berkurang
Masih tiada bertemu jawapan

Walau kita dihadapkan
Dengan pelbagai pilihan
Mengapa sering terjadi
Pilihan tak menepati

Hingga amat menakutkan
Menghadapi masa depan
Seolah telah terhapus
Sebuah kehidupan yang kudus

Pertemuan sekali ini
Bagi diriku amat bererti
Tetapi ku bimbang
Untuk menyatakan
Bimbang kan berulang kesilapan

Suratan Atau Kebetulan
Kenny, Remmy dan Martin.

“Mama..Ain nak jumpa Haikal lah..”, Ain masih lagi terbaring dikatilnya sambil bibirnya meracau-racau.  Datin Salima sudah kering airmata melihat keadaan anaknya.  “Ain nak minta maaf dengan dia”

“Sudah lah, Ain..Haikal dah lama pergi.  Kalau nak ikut rasa bersalah, sebenarnya mama ni lagi bersalah pada kamu semua. Mama yang buat Haikal menderita sepanjang dia hidup.  Dia tak pernah rasa kasih sayang mama dan papa.  Dia hidup susah!  Mama lagi bersalah!”

“Ain berdosa mama..Ain suka dekat abang kandung!  Mama, Ain nak jumpa Haikal!”  “Ain, tolonglah jangan buat mama macam ni.  Makan lah sikit, sayang..mama tahu, ini balasan pada apa yang mama buat, tapi jangan seksa mama macam ni.  Mama baru kehilangan Haikal, mama tak nak kehilangan Ain..dahlah papa pun macam tu, Ain pulak macam ni..Tolonglah, makan ya sayang?”

“Tak nak!!”  Datin Salima mengesat airmatanya dan menuju keluar dari bilik Ain.  Ain semakin kurus, dia seperti orang kurang waras.  Setiap hari memanggil Haikal dan tidak mahu makan atau minum.  Keadaannya begitu merisaukan Datin Salima.  Dia seperti hidup dalam dunianya sendiri. 

Ain memandang ke arah meja disisinya.  Menarik laci meja itu dan mengeluarkan sebuah diari berwarna coklat.  Diari milik Haikal.  Diari itulah yang menjadi penemannya sepanjang hari, memutar kembali kenangan bersama abangnya.  Tiba-tiba, pegangan tangannya yang longgar menyebabkan diari itu jatuh ke lantai.  Sepucuk surat kelihatan terselit dari buku itu.  Ain membuka helaian berwarna krim, padat dengan tulisan tangan. 

Buat tatapan Ain,

Aku titipkan surat ini kerana aku khuatir aku akan pergi selamanya tanpa sempat mendengar kata maafku diterima darimu. Tatkala ini, aku sudah tahu yang aku orang yang amat menyayangimu, namun aku tidak sanggup untuk sehidup semati bersamamu dengan ikatan perkahwinan.  Bukan kerana kita tak sedarjat, tapi sebab kita sedarah.  Kita punya ibu bapa yang sama, dan kita punya rasa yang sama.  Ain, maafkan aku.  Aku tahu, aku punya kesempatan untuk bertemu denganmu dan berterus-terang denganmu, agar kekeliruan ini dapat dirungkaikan dengan perlahan-lahan.  Namun, mengertilah Ain, aku tak setabah kau untuk mengharungi semua ini setelah bertahun menyulam sayang denganmu.  Setelah bertahun jiwaku memang sepi tanpa kasih dan sayang.  Jangan pernah menyesal dengan apa yang berlaku kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.  Teruskan hidup tanpa diriku kerana ujian Allah ini buat kita sedar, kita tak sendirian didunia-Nya ini.  Walaupun epilog diari kehidupan aku begitu mendukakan, namun aku mahu kau tahu, aku rasa bahagia bertemu dengan kau walaupun sementara. Aku pernah menyintaimu, dan aku akan selalu menyayangimu, sebagai adik kandungku. 

Ikhlas,
Haikal

“Ain..kenapa tidur kat lantai?  Dah Subuh ni..bangun sayang..”  Ain masih tidak bergerak.  “Ain..jangan main-main dengan mama, sayang?  Ain kata nak pergi jalan-jalan kan hari ni?  Jom, bangun Ain..”  Datin Salima diburu rasa cemas.  Disentuhnya tangan gadis itu.  Sejuk!  Segera dirasa denyutan jantungnya.  Berhenti!  “Ain!!  Jangan tinggalkan mama!!”

Al-fatihah..


9.25pm 22.01.2009

1 comment: