Tuesday, January 6, 2015

Part-Time Lover

* Nota kepala ; Cerpen ni dah lama aku buat, tapi aku peram dalam labtop agar boleh jadi pekasam.  Tapi, impian aku hanya sia-sia.  Hehe.  Enjoy je lah.

~~~~~~~~


“Fendi!  Mana you pergi?  Eh kejap.. siapa perempuan ni?  Dia tak tahu ke yang you ni boyfriend I?!”  Aku pandang atas bawah perempuan di depan aku.  Rasanya selain dia, aku seorang jelah perempuan kat sini.  Dia mengata aku ke?  Hey, so what kalau Fendi boyfriend kau?  Dia tak tahu pulak agaknya yang aku ni girlfriend pada ‘boyfriend’ dia tu?

Fendi dah menjarakkan sedikit dirinya dari minah yang dah macam sotong, duduk mengeletas je dengannya.  “Oh.. kenalkan.  Ini Dhira, tunang I.  Dhira.. kenalkan ni.. Er, apa nama you, ya?”  Aku dah macam nak tergelak tengok reaksi dan air muka minah ni yang berubah seratus peratus.  Si Fendi ni pun satu, kalau ya pun kami dah bertunang, tak payah lah kecoh sangat sampai aci satu mall ni je nak inform!

“What?!  Tunang?!”  Minah tu dah separuh bertempik.  Adoi, malulah pulak bila orang kiri kanan macam dah pandang kami lain macam.  “Lor.. pekak rupanya you ni?  Kan I dah cakap tadi.  Dhira tunang I.  Part mana lagi yang you tak faham ni?”  “How dare you, Fendi?!  Berani you buat I macam ni, dan paling worst, you sampai berani lupa nama I?!” Fendi hela nafas panjang lalu senyum. 

“I kira.. ini jodoh.  Oklah, nanti kami nak kahwin, kami jemput ya!  Bye!”  Fendi dah tarik lengan aku bila minah tadi dah macam tak boleh terima kenyataan dan bertindak nak serang aku pulak.  “Jom main kejar-kejar!”  Aku tergelak sambil mengikut langkah Fendi.  Sempat aku berpaling ke belakang.  Pergh, minah tadi betul-betul macam ‘Hantu Mak Limah Balik Rumah’!

“Kali ni, atas sebab apa pulak abang buat minah tu macam tu?  Kesian dia tahu!  Tak baik buat dia macam tu..”  Tanyaku pada Fendi, sewaktu kami sama-sama duduk menghadap tasik.  “Habis, dia kerjanya nak menghabiskan duit aku tu, baik pulak?”  Fendi menjawab sambil mengunyah jambu lalu melepaskan pandangan ke sekeliling kawasan tasik yang rata-ratanya datang berjoging, berbasikal dan menghabiskan masa bersama keluarga. Tak kurang jugak yang datang bercinta.  Macam kitaorang.  Er.. bercinta ke kitaorang ni?

“Apa-apapun, thanks sebab jadi ‘tunang’ aku tadi!  Really appreciate!”  Fendi senyum sekilas sambil gosok kepala aku.  “Kau memang heroin aku!”  “Ha’ah.  Setiap kali!”  “Eleh, memang kau suka pun kan?  Kalau jadi betul-betul pun kau lagi suka, ye tak?”  Aku senyum sambil tunduk malu! 

Ok, jawapan pada soalan tadi ialah kami sebenarnya berlakon yang kami bertunang.  Pernah jugak menyamar bercinta dan kadang-kadang melampau sampai pernah sekali aku jadi wife Fendi.  Ini kalau Rosyam Nor ambil aku berlakon, memang menang anugerah lah aku!  Tapi, aku tak kisah.  Malah, macam yang Fendi cakap tadi, aku lagi suka!  Eh, eh.. gatalnya aku!

Sesampainya kami ke rumah, ibu, ayah dan Farah tengah duduk depan televisyen menghadap Boboy Boy.  Mak aii.. muda betul ‘adik-adik’ yang tengok ni?  “Haa.. baru nak balik?  Ke mana ajelah kau berdua ni?”  Ibu dah on microphone awal untuk kuliah Maghrib.  Ayah macam biasa, selalu jadi penonton je.  Farah pulak memang luar biasa.  Asal kartun je, bom meledak tepi telinga pun dah tak hairan.

“Nasib baik kitaorang balik jugak, ibu..”  Fendi dah duduk tepi Farah sambil menarik-narik hujung rambutnya, berniat untuk menyakat tapi memang tak dilayan.  Konsentrasi diberikan sepenuhnya pada skrin televisyen.  “Kau ni Fendi, cakap ikut sedap mulut je!  Kalau tak balik kau berdua, memang tak hidup jugaklah ibu!  Haa.. dari mana ke mana ni?”  “Hurm.. macam biasa lah.  Bawak Dhira pergi shooting drama!”  Aku dah tergelak-gelak sambil ibu dah terpinga-pinga.  Pelakon rupanya anak aku?

Aku balik ke rumah dengan separuh baju aku lencun basah.  Sebaik saja parkir kereta di hadapan kawasan rumah, aku terus menonong masuk ke dalam.  Ibu yang ada di halaman, sedang menyiram bunga pelik melihat keadaan aku.  “Dhira.. apasal baju kau tu basah?  Dari daerah mana kau ni yang hujan ni?  Setahu ibu, panas je cuaca hari ni?”  Aku berhenti lalu senyum sekilas.  Bukan, senyum pahit. 

“Tak.. tadi terjatuh.  Dalam lopak air.”  “Haa?  Macam mana boleh jatuh pulak?   Habis, kau tak apa-apa ke?”  Ibu terus meletak paip air dah berjalan ke arah aku, menelek tubuhku yang dibaluti baju kurung.  “Tak ibu.. Dhira ok.”  “Kalau ok.. kenapa menangis?”  Aku tergamam.  Alamak, ibu nampak?  Ibu tahu?  Betullah, naluri seorang ibu itu tidak boleh dibohong.  “Eh, mana ada.  Ibu jangan risau, Dhira ok lah.  Ok lah ibu, Dhira masuk dulu, ya?”  Tanpa sempat mendengar apa-apa lagi dari ibu, aku terus masuk ke bilikku di tingkat atas rumah.  Perlahan-lahan pintu ditutup, dikunci lalu aku menangis hingga terduduk di depan pintu bilik, sambil menekup muka.

“Hey, perempuan!”  Aku yang baru menekan alarm kereta berpaling ke belakang ke arah suara yang menerpa.  Belum sempat aku mengecam dan berkata apa-apa, terus aku ditampar.  Kuat, hingga rasa berpinar pandanganku.
 
“Kau, jadi perempuan jangan miang sangat boleh tak?!  Kau tahu tak, aku dulu yang jumpa Fendi, aku dulu yang bersama dengan dia.  Tiba-tiba kau datang, entah dari mana, pakai guna-guna mana.. berani kau nak rampas dia dari aku?!  Kau sedar sikit diri kau siapa!  Kerja kerani cabuk, pakai kereta buruk.. ada hati nak bercinta dengan Fendi?!  Hei, perampas!  Jangan nak berangan, ya!  Ini amaran pertama dari aku.. lepas ni kau jangan nak gedik-gedik, tayang diri kau berkepit dengan Fendi kat depan aku!  Nahas kau.. aku ni Rina, model terkenal tahu!  Jangan berani nak lawan aku!” 

Aku yang masih lagi tergamam bertambah terkejut bila datang seorang lagi perempuan, mungkin teman seperjuangan minah ni dengan membawa sebaldi air lalu dicurahkan ke atasku.  Ya Allah.. kuatkanlah hati hambamu yang lemah ini. 

Mereka berdua ketawa sambil meninggalkan aku bersendirian di ruangan tempat letak kereta bawah tanah itu.  Nasib aku baik kerana kali ni, tiada yang melihat aku diserang dan memandang aku dengan jelik.  Tapi, dalam ramai-ramai ex-girlfriend Fendi, kali ini serangannya betul-betul exstrem hingga buat aku terdiam lalu mengalir air mata.

“Dhira!  Bukak pintu ni aku kata!”  Aku terjaga dari lena.  Sempat aku memandang jam.  Pukul 11 malam.  Ketukan di pintu kedengaran lagi.  Apa lagi si Fendi ni nak?  Tak faham ke aku cakap aku tak lapar dan aku tak mahu diganggu?  Telefon bimbitku berbunyi.  Farah?

“Dhira.. bukak je lah pintu bilik kau tu.  Beritahu je lah abang apa jadi kat kau tadi.  Itu, lagi kau tak bukak, lagi dia memekak.  Aku nak tidur lah weh.  Esok aku ada kelas pagi.  Dah lah esok aku ada presentation final project.  Tolong ler..”  Farah dibilik sebelah semakin mendesak.  “Hurm.. ye lah.  Sorry..”

Aku dengan malasnya membuka pintu bilik.  “Eh, sejak bila kau pekak ni, haa?!”  Lor, tak sempat cakap apa-apa dah kena sembur?  Aku dah malas layan lagi lalu aku berpaling ingin menutup pintu tapi dia lagi cepat menarik hujung lengan bajuku.  “Eh, aku tak habis cakap lagi dengan kau, yang kau lari kenapa?”  Aku masih lagi statik.

“Ibu cakap kau balik basah lencun, kenapa?”  Aku memandang Fendi yang masih berbaju kemeja dengan lengan yang disingsing ke siku dan tali leher dah melurut ke bawah.  Baru balik kerja lah tu.  Aku menunduk, tak berani bertentang mata dengan muka seriusnya.  “Hujan.. basahlah!”  “Eh, kau jangan nak menipu aku ye!  Bercakap dengan aku, pandang muka aku!”  Dia menarik dagu aku ke atas tapi cepat-cepat aku tepis tangannya. 

“Muka kau merah ni, kena hujan jugak ke?  Hujan asid ke tadi?”  Aku dah makin tak suka dengan soalan-soalannya yang kalah soalan SPM aku sekolah dulu.  “Ish, apa banyak sangat soalan ni?  Dah lah, Dhira mengantuk.. nak tidur!”  “Eh, siapa cakap aku dah habis?!  Beritahu aku, apa jadi.  Kalau tak, satu rumah ni tak boleh tidur malam ni.”  Fendi dah masuk tone mengugut.  Alamak, kesian pulak kat ayah dan Farah yang nak kerja esok.  Fendi ni kalau dia dah cakap, memang dia akan buat.  Lagi kalau dia mengamuk, memang semua orang gerun.

“Ok.. ok!  To be honest, Dhira.. kena tampar.  Lepas tu kena simbah air.. dengan Rina, girlfriend abang yang kita jumpa kat butik kawan abang tu.  Puas hati?!”  “Apa?!  Sanggup dia buat anak ibu macam tu?”  Tiba-tiba muncul ibu dan ayah dari pintu bilik mereka.  Oh, kiranya diaorang ni tak tidur lagi lah?  Dari tadi curi dengar, tunggu masa sesuai lah serang hendap ni?

“Habis, Dhira ok ke tak ni?  Pergi klinik lah,”  cadang ayah.  “Tak payah, bang!  Kita pergi buat police report!”  “Haa.. abang baru teringat abang ada kawan lawyer!”  “Haa.. kita pergi saman dia!  Berani dia buat kau macam tu!  Haa.. kau ni pun satu Fendi!  Pandai bercinta je!  Tukar girlfriend macam tukar baju.  Time tak nak, kau tinggal-tinggalkan.  Lepas tu kau libatkan sekali Dhira.  Yang kena dia, bukan kau!  Hee.. bila lah kau ni nak berubah!  Kesian kat Dhira, tahu!”  Ibu dah bercekak pinggang.  Aku rasa malam ni memang sungguhlah kami semua tak tidur.

“Ibu, ayah..  macam ni.  Oleh sebab Dhira tak apa-apa, jadi kita lupakan je lah benda ni, ya?  Lepas ni, Dhira janji, Dhira akan hati-hati lagi.  Dah, sekarang kita masuk tidur dulu.  Esok ada hari lagi, kena kerja lagi.  Selesai, ya?”  “Betul ni, ok?”  Aku cepat-cepat mengangguk.  “Nanti kalau apa-apa beritahu kami, ya?”  Mereka menghilang ke bilik.

“Eh, kau tak selesai lagi dengan aku!”  Aku dah lembikkan bahu memandangnya.  “Aduh, apa lagi?  Dhira nak tidur lah, bang..”  Fendi meraup mukanya, jelas menunjukkan dia sesal dengan tindakkannya.  “Tak payahlah abang nak rasa bersalah.  Benda dah jadi pun.  Lagipun, semuanya atas kerelaan saya.  Jadi, saya kena terimalah.”

“Kau jangan tambahkan rasa bersalah aku pada kau..”  “Abang, jangan risaulah.  Saya dah biasa..”  “Haa.. tengok tu.  Maknanya, selalu lah kau kena ganggu macam ni dengan girls aku?”  Aku menggeleng sekali dengan tangan bergerak, menidakkan dakwaannya.

“Nadhira.. please lah.  Aku tahu kau rela, tapi tolonglah jangan macam ni.  Aku sayang Farah, dan aku sayang kau.  Aku tak nak kau menangis.  Air mata kau tu mahal, buat apa kau nak membazir?”  Kata-katanya betul-betul buat jiwa aku luluh.  Aku bersyukur, sekurang-kurangnya aku masih ada lagi yang sayang.Mata tak mampu tahan lagi lalu airmata menitis lagi untuk kesekian kalinya.
   
“Dhira.. are you sure that you ok?”  Fendi menuturkan dengan lembut di pendengaran aku.  Aku menunduk.
“Nothing.. just glad to know that.  Ok then.  Sweet dream!”  Aku berpaling sambil menyeka air mata.  “Make sure this thing not happened again!”  Aku angguk.  “Dhira..”  Aku mendongak memandangnya.  “Sorry.. and thanks!” Aku senyum sekilas lalu dia berjalan menuju ke biliknya di tingkat bawah. 

Farah mengambil tempat di sebelah aku, melepaskan lelah setelah penat berjogging membuat satu pusingan tasik tempat aku, Farah dan Fendi selalu lepak.  “Dhira.. kau tahu kan, abang playboy.. ramai girlfriend.  Tukar girlfriend ikut suka.  Rasa nak dia ambil, tak nak dia tinggalkan.  Time nak tinggalkan, dia ambil kau jadi girlfriend dia.  Lastly, kau yang kena gula dengan ex-girlfriend dia.  Macam tu pun kau still suka dia?”  Farah tanya soalan cepu cemas pada aku.  Aku menyeka peluh di dahi lalu tersenyum memandangnya. 

“Ini lah namanya cinta itu buta..”  “Ha’ah.. cinta itu buta dan boleh membutakan.  Opss… bukan.  Boleh melukakan.  Abang buat kau macam part-time lover dia, tahu?  Kau akan rasa happy, time dia clash dengan awek dia.  Lepas tu, kau akan frust time dia crush dengan awek baru dia.  Boleh bahagia ke macam tu?”  Aku mengalih posisi aku dari menghadap tasik ke menghadap wajahnya. 

“Farah, kaulah sepupu dan sahabat aku yang paling aku sayang.  Listen here my dear.  Aku, dah tak ada siapa-siapa dalam dunia ni selain kau, ibu, ayah dan abang.  Aku rasa yang aku hidup kat dunia ni seorang diri.  Tapi, bila ada orang sayang, ambil berat, prihatin dan protect me.. aku rasa macam bahagia sangat.  Biarlah untuk sekejap je pun, tapi aku bersyukur. Lelaki lain tak boleh buat aku bahagia macam abang buat..”

“Yelah, sebab dia tu sweet talker, kasanova.. buaya!”  Kami tergelak.  “Tapi, kita sama-sama sayang dia, kan?”  Aku masih membela Fendi.  Farah mencebik.  “Memang, tapi aku sayang dia sebagai abang.  Kau pulak sayang dia macam boyfriend.  Tapi, nanti bila dia dah kahwin, kau macam mana?”  Pertanyaan Farah buat aku terdiam.

“Kalau dia bahagia, aku pun akan bahagia.  Walaupun dia tak bersama dengan aku..”  “Oh, Dhira.. kenapa abang tak nampak kau yang sangat baik hati ni?”  Farah memeluk aku.  “Sebab dia sayang aku, dia pun sayang kau.  Dan dia sayang kita sebagai adik.  Aku terima, Farah.”  “Dhira.. kau buat aku nak menangis!”  Pelukannya makin erat hingga aku pun rasa yang sama.  Nak menangis!

Dah terngiang-ngiang lagu Ungu, Cinta Dalam Hati.  Memang kena lah dengan aku.

Aku ingat lagi kejadian yang meruntun jiwaku.  Masa tu, aku baru berumur 13 tahun.  Beria-ria aku mengajak mak, abah, abang dan adik untuk ke air terjun, walaupun hari hujan.  Mereka menurut, sebab tak mahu aku merajuk lama-lama.  Dalam perjalanan pergi, jalan yang licin membuatkan sebuah lori yang dipandu laju terbabas lalu bertembung dengan kenderaan yang kami naiki.  Kami kemalangan, dan aku koma.  Sedar saja dari koma, pak su cakap mereka semua dah tak ada.  Dah meninggal, dan dah dikebumikan tanpa sempat aku jumpa mereka buat kali terakhir.  Aku hanya mampu menangis dan menangis.  Keluarga pak su dengan keluarga kami memang rapat dari kecil, dan oleh sebab itu, pak su bawa aku ke rumahnya dan bela aku macam anaknya sendiri.  Dari panggilan pak su dan mak su, bertukar kepada abah dan ibu.  Mereka sekeluarga sangat menyayangi aku, sehingga aku tak rasa yang aku ni sebenarnya hanya anak angkat dalam kalangan mereka. 

Mereka tak pernah membezakan kasih sayang antara aku dan Farah.  Khususnya Fendi.Kalau aku kena buli, memang dia jadi pembela.  Kalau aku kena tinggal, memang dia jadi peneman.  Pernah dia pergi belasah ex-boyfriend aku sebab aku balik rumah menangis lepas kami putus.  Memang dia seorang hero.  Tak kisah lah atas dasar apa dia buat tu semua.  Kasihan atau simpati, semuanya aku terima.

“Aku dah insaf.  Kali ni, memang yang last.  Walaupun dia bukan yang pertama, tapi dialah yang terakhir.  Aku nak jadikan dia wife aku..”  Kata-kata Fendi sedikit sebanyak menyentak jiwaku, tapi aku dah bersedia dengan semua kemungkinan ini.  Beria mengajak aku keluar lepas kerja, rupa-rupanya ini yang dia nak beritahu.  Tak mengapa, Fendi dah jumpa bahagia dia.

“Dia ni akauntan.  Dulu kami pernah kenal masa kat uni.  Dulu selalulah jugak aku usha dia, tapi tak dapat.  Lastly, aku dah tak jumpa dia.  Tapi, dah jodoh agaknya, aku jumpa balik dia masa aku nak present proposal renovate bangunan office dia, dalam empat bulan lepas.  Tak sangka pulak jumpa kali ni kitaorang bercinta.  Lepas jumpa dia, memang aku tak layan perempuan lainlah.  Jadi, kami pun dah serius dan, aku pun dah jumpa famili dia.  Diaorang okay je, tunggu ibu dan ayah je datang meminang.”  Aku tersenyum melihat keterujaan Fendi dan perancangannya.  Siap tunjuk kat aku lagi gambar girlfriend dia, Liyana atau lebih suka dipanggil Yana.

Cantik, walaupun tiada sebarang make-up.  Sesuailah mereka.. seorang arkitek, seorang akauntan.  Kalau nak banding dengan aku, memang jauh langit dan bumi.  Apa je ada pada aku?  Cantik tidak, kaya lagilah jauh.  Belajar pun takat diploma je.  Moga bahagialah kalian!

“Tapi, kau jangan sedih.  Sebagai tanda penghargaan, aku nak bagi kau sesuatu, yang mungkin dah lama kau mimpikan.  Kali ni, aku akan tunaikan.”  Aku pulak yang teruja.  “Huh, apa dia?!”  Fendi senyum meleret.
“Sebelum aku kahwin, aku tawarkan pada kau, Nadhira M. Yusof untuk bercinta dengan aku selama 3 minggu.  Lepas aku nak kahwin tu, kita putuslah.  Nak?”  Aku siap bangun dari tempat duduk.  “Nak!!”  Aku dah separuh menjerit dalam restoran dan semua mata pandang aku.  Fendi tergelak lalu aku duduk balik sambil menunduk.  Aduh, sungguh malu!

“Dira, hari ni abang hantar Dhira pergi kerja, ok?”  Sapa Fendi pada aku hari tu.  Terkejut aku mulanya.  Pesal baik hati sangat Fendi ni hari ni?  Siap dah tak ‘beraku-kau’ lagi dengan aku? 

“Haa.. lupalah tu.  Dhira sayang.  Dhira kan jadi girlfriend abang dah sekarang?  Tak salahkan kalau abang nak hantar Dhira pergi kerja?”  Aku tepuk dahi.  Baru otak boleh berfungsi semula.  Aku balas dengan senyuman.  “Ok, my pleasure!”

“Haa..bolehlah abang hantar Farah sekali pergi kelas!”  Farah mencelah.  “Ah, jangan menyibuk! Jangan kacau orang nak bercinta ni.  Kau naik je lah dengan ayah!  Jom, sayang..”  Fendi mengajak aku lalu aku melambai kepada Farah yang masih memandang kami dengan muka pelik.  “Eh, abang kena sampuk sebab dia nak kahwin ke.. macam mana tu?”  Bisik Farah pada aku, tapi aku mengangkat bahu konon tak paham.

Tiga minggu yang sangat bahagia!  Pergi dan balik ke kerja, jika Fendi tak ada kerja luar, dia akan jemput dan hantar.  Jika tak ada appointment dengan klien, dia akan temankan aku makan tengahari.  Pagi Ahad, kami berjogging bersama, kadang-kadang Farah pun ada bersama.  Petang, kami pusing-pusing sekeliling bandar, tak pun akan pergi menonton wayang bersama, tak pun ajak ibu, ayah dan Farah berkelah di pantai bersama-sama. 

Mereka nampak keakraban kami, tapi Fendi selalu menyatakan ini adalah yang terakhir sebelum dia berkahwin.  Farah adalah orang yang paling memahami aku.  Dia akan pandang aku sambil senyum penuh makna. Fendi pun pernah bawa aku bertemu dengan Yana.  Bertuah Fendi, Yana memang seorang yang sopan santun dan baik hati.  Aku diperkenalkan Fendi sebagai adiknya, dan Yana sangat memahami keintiman kami.

Tiga minggu yang sangat bahagia akhirnya sampai ke penghujung.  Hari ni hari terakhir untuk aku dan Fendi bergelar kekasih, dan selepas ini dia akan bergelar suami kepada Yana.  Kalau boleh aku mahu masa hari ini berhenti, mahu bahagia ini berkekalan.  Tapi, apakan daya, aku hanya manusia biasa yang tidak mampu melawan ketentuan Ilahi.  Aku pasrah!

“Kau sedih?”  Bisik Farah kepadaku tatkala kami menunggu kedatangan pengantin perempuan di dalam masjid.  Fendi sudah segak bergaya dengan baju melayu putih, menunggu penuh debaran. 

“Tipu kalau aku cakap aku tak sedih.  Tapi, aku tak kecewa.  Sebab aku tahu dia akan gembira lepas ni.”  Farah lantas memeluk aku membuatkan aku sedikit terkejut.  “Dhira.. aku mintak maaf bagi pihak abang.. So sorry, Dhira.  Hee.. aku tak suka ending ni.  Dia tahu kau sayang dia lebih dari seorang abang, kan? Tapi dia tak patut main-mainkan hati kau macam ni..!”  Aku melepaskan pelukan Farah.

“Farah, kau tak payah minta maaf.  Ini bukan salah siapa-siapa.  Bukan kau, atau abang.  Dia tak cintakan aku macam mana aku cintakan dia, tapi itu bukan bermakna dia salah.  Cinta tak boleh dipaksa, kan?  Dia hanya bagi peluang untuk aku bercinta dengan dia, itu sudah memadai bagi aku.. Kau faham, kan?”  Farah mengesat air matanya.  “Dah.. jangan nangis.  Nanti apa pulak cakap abang kalau dia nampak..”  Farah mengangguk.  “Thanks Farah.  Sebab memahami aku.”  Ucapku padanya, membuatkan dia tersenyum.

Hampir dua jam menunggu.  Fendi dan semua yang ada sudah gelisah.  Tok kadi dah sampai hampir  sejam yang lalu.  Mengikut perancangan, rombongan Yana akan sampai dahulu sebelum tok kadi.  Apa dah jadi ni?

“Fendi..”  Kedengan suara seorang wanita memanggil Fendi yang mundar mandir di tengah masjid.  “Kenapa mak cik?  Yana.. Yana mana?”  “Mak cik tak tahu, Fendi.. dia kunci pintu bilik dari dalam.  Kami ketuk dia tak mahu bukak.  Bila kami dah bukak, kami tengok dia tak ada!”  “Hah?!”  Cerita mak cik tadi membuatkan semua yang ada terkejut.

“Apa ni pak cik?  Macam mana boleh jadi macam ni?!”  Tidak puas hati dengan penjelasan mak cik tadi, Fendi menerpa pula kepada seorang lelaki.  “Pak cik pun tak tahu.. dia hilang!  Semalam ok je.  Puas kami cuba cari dia, telefon mana-mana kawan-kawan dia.  Semua tak tahu.  Ya Allah.. risaunya kami.”  Fendi dah bingung.  Ibu dan ayah dah turut serta dalam perbincangan mereka bertiga.

“Habis, majlis ni macam mana, cik Nora?”  tanya ibu.  “Eh, jangan sibuk pasal majlis lah sangat, kami ni risau pasal anak kami ni, cik Sarimah!”  “Kalau ya pun, sabarlah..” pujuk ayah pula.  “Macam mana nak sabar, yang hilang anak kami.  Dah lah perempuan pulak tu.  Hilang waktu inai merah lagi kat tangan, dan tak nikah pun lagi!  Cuba kalau anak cik berdua yang hilang, tak ada lah risau sangat sebab lelaki!”  Bentak mak cik Nora, mak kepada Yana.

“Eh..eh, cik Nora ni dah macam nak melenting dekat kami ni, apa masalah pulak?  Tak boleh ke kita bertenang dan bincang macam mana nak selesaikan masalah ni?”  Ibu pun sama naik nak marah.  Ayah pegang ibu, takut ibu pulak naik angin.  Fendi yang dah runsing hanya mampu membisu dan memandang kosong ke arah telefon bimbitnya di tangan.

“Memang.. memang saya rasa nak marah pun ada ni.  Saya yakin dan kenal dengan Yana.  Kalau tak ada apa-apa yang berlaku, dia tak mungkin buat perangai macam ni.  Saya tak rasa dia kena culik, saya rasa dia hilangkan diri.  Dia masih lagi keliru.  Sebab anak lelaki cik berdua ni lah!  Dah nak kahwin pun masih lagi berfoya-foya dengan perempuan lain!”  “Eh, apa yang cik Nora cakap ni?!”  Ibu pun dah meninggi tone suaranya, nak menyaingi mak cik Nora.

“Kalau saya tahu yang Fendi ni kaki perempuan, memang saya tak izinkan dia nak bernikah dengan Yana.  Kami tahu bila ada perempuan lain datang serbu kami cakap Fendi ni mereka yang punya.  Itu dah nak kahwin tu.. buat perangai macam tu.  Dah kahwin nanti tak tahulah macam mana.  Tapi, sebab Yana yang duk bela sangat Fendi, saya telan je demi kebahagian anak saya.  Ini dah jadi macam ni, siapa nak jawab?!  Hah, cakap, cakap!”  Ibu dan ayah telan air liur.  Aku dan Farah saling berpandangan.  Tapi, setahu aku, lepas Fendi baik dengan Yana, memang dia dah tak keluar dengan perempuan lain selain aku.  Fitnah ni!

“Mak cik, yang nak kahwin dengan anak mak cik tu saya.  Yang mak cik nak dengar cakap orang lain tu kenapa?  Diaorang ke saya yang nak nikah ni?”  Fendi masih dengan slow and coolnya.  Dia tak masuk part naik angin lagi tu.  Baik siap sedia.

“Kalau tak ada angin, macam mana pokok nak bergoyang!  Mak cik tak kira, apa-apa yang jadi pada Yana, kamu penyebabnya.”  Pak cik Mansor dan sedaya upaya cuba mententeramkan isterinya, tapi tidak berjaya.

“Mak cik, pak cik… saya betul-betul tak tahu siapa yang buat ni.  Apa yang dah jadi pada Yana pun saya tak tahu.  Tapi, yang pasti saya memang nak kahwin dengan dia, saya memang cintakan dia, sebab tu saya berani suruh mak bapak saya pergi pinang dia.” 

“Senang kamu bercakap, ya?  Sebab kat luar sana, kamu ada banyak pilihan lagi selain Yana.  Kalau dia tak ada, kamu apa susah, boleh pilih orang lain untuk kahwin dengan kamu, kan?  Entah-entah kamu sengaja nak main-mainkan perasaan dia.  Macam perasaan perempuan lain yang kamu dah mainkan!”  Fendi dah mara ke depan.  Hah, itu angin kus-kus dia dah datang.  Nampak mukanya bertukar merah.  Ayah dah siap sedia pegang Fendi, takut Fendi di luar batasan.

“Mak cik jangan nak fitnah saya!!  Saya dah cakap, saya tak buat semua tu bila saya dah bersama dengan Yana!  Apa yang kurang lagi pada ayat saya yang mak cik tak faham sangat ni?!”  “Memang aku tak faham, macam mana Yana ni boleh cinta kat kau!  Padahal dah bulat-bulat terang kau tipu kami dan Yana.  Ada mak bapak pun tak reti ajar anak!”  “Mak cik jangan nak libatkan mak bapak saya dalam masalah ni!!  Mak cik jangan nak cabar saya!”  “Fendi.. sabar.  Masjid ni..,” pujuk ayah.  Ibu pulak dah bergenang air mata.  Kami berdua tak berani nak bangun, petah lagi masuk campur.

“Jadi, betullah kau ni ada perempuan lain?!  Kau memang sengaja, kan Fendi!  Patutlah Yana lari!  Kau sengaja nak malukan kami, kan?”  Fendi dah kembang kempis hidungnya menahan marah.  “Baiklah, mak cik jangan menyesal dengan apa yang mak cik cakap.  Mak cik ni memang betul-betul dah cabar saya..”  “Fendi.. sabar nak..”  Ibu pulak masuk campur.

“Ibu.. ayah.  Sekarang jugak saya nak kahwin dengan.. Nadhira M. Yusof!”  Aku terkejut bukan kepalang.  Fendi dah pandang aku, dan semua yang ada pandang Fendi.  Mak cik Nora dah nak pengsan, tapi sempat dipapah suaminya.

“Muhammad Affendi Fuad!  Apa kau buat ni?!”  Ibu memekik.  Fendi dah berjalan ke arah aku dan menarik tangan aku untuk bangun mengikutnya.  Aku masih kaku.  “Dhira, izinkan abang memperisterikan Dhira..”  Aku dah macam kena pukau.  Tak boleh proses minda.  Tanpa sempat aku cakap apa-apa, aku hanya mengikut langkahnya. 

“Ibu.. ayah, tolong izinkan Fendi?”  Ibu dah mengalir air mata, ayah diam, Farah senyum.  Aik, apa reaksi Farah ni?  Fendi peluk ayah dan ibu.  “Demi maruah Fendi.  Tolong Fendi, ayah..”

Sah!  Sah!  Sah!  Amin..

Aku macam tengah bermimpi.  Dan waktu Farah dan ibu peluk aku sambil menangis, aku lihat semuanya berpusing dan gelap.  Mak.. abah.. betul ke apa yang berlaku ni?

“Ibu tahu kau tengah marah waktu tu.. tapi apa yang kau dah buat ni melibatkan hidup Dhira! Kau tak fikir ke pasal dia?  Perasaan dia?  Fendi.. kenapa dengan kau ni?”  Itu yang masuk ke pendengaran aku bila aku sedar.  Farah yang ada disebelah mengisyaratkan jari telunjukknya ke bibir.

“Hey, kakak ipar!  Tahulah excited sangat, tapi yang kau sampai pengsan tu kenapa?”  Farah tersengih-sengih.  Aku pegang kepala.  “Terkejut gila.  Bukan mimpi ke tadi?  Mimpi aku dah jadi bini abang?”  “Sengal, itu betul-betullah!  Aku lempang kang pengsan semula!  Tu, kat luar tu, ibu dan ayah tengah bising.  Dengar-dengar..”  Kami pasang telinga.

“Ibu.. dah orang tua tu bebal sangat.  Fendi dah cakap Fendi tak ada scandal bila dengan Yana, yang dia duk cabar Fendi kenapa?  Suka-suka tuduh orang.  Pergi dengar cakap orang lain tu kenapa?”  “Haruslah dia rasa macam tu, sebab anak perempuan tunggal dia yang nak kahwin. Risau lah dia.. dia nak anak dia bahagia.  Tapi, bila kau dah buat macam ni, kira kau dah tak ada apa-apa lagi dengan Yana, reti?”  Fendi melepas nafas panjang.

“Lelaki boleh kahwin empat, kan?”  Fendi tersengih.  “Fendi!  Dhira tu amanah kita, bukan barang mainan yang kau boleh buat sesuka hati!  Dah..sekarang, apa yang dah jadi, kita tak payah fikir.  Ibu terima dan anggap ini jodoh antara kau, Dhira dan Yana.  Jangan kau sia-siakan Dhira, faham?”  Fendi diam.  “Simpan je la cinta kau untuk Yana.  Sekarang, Dhira isteri kau.”  Ibu bangun lalu berlalu ke dapur.  Ayah mengikut jejak langkah ibu sambil menepuk bahu anaknya.

“Kakak ipar, sekarang bilik kau kat bawah dengan suami kau!  Yang kau menyibuk kat bilik aku ni, kenapa?”  Marah Farah bila malam itu aku menempel di biliknya sambil pegang bantal dan selimut.  Aku tersengih.  “Aku takut la.. tumpang bilik kau ya malam ni?”  “Kau pandai kan.. kau takut abang cari kau kat bilik kau, kau datang menumpang kat bilik aku, ye?  Pesal kau tak tumpang bilik ibu dan ayah je?  Lagi selamat!”  “Itu bukan tumpang, itu dah masuk part kacau daun!”  Kami sama-sama tergelak.

Pintu bilik tiba-tiba diketuk.  “Huh, aku rasa tu abang.  Dah-dah.. aku nak tidur, kalau dia cari aku cakap aku dah tidur ye?”  Tanpa sempat Farah berkata apa-apa aku dah terjun ke tilamnya lalu menutup muka dengan selimut.  Fendi terjengul di muka pintu.

“Farah.. mana bini aku?”  Farah memuncungkan bibirnya ke arahku.  “Hai.. bukan main dah tidur, tadi je baru aku dengar bergelak sakan!  Dah, aku ada benda nak cakap dengan kau ni.  Bangun, bangun!  Aku tahu kau tak tidur lagi..”  Aku keraskan badan.  Buat pekak walaupun tidak.

“Dhira, jangan sampai aku ‘memalam pertamakan’ kau kat sini.  Kau kena ingat, kau tu dah halal untuk aku..”  Aduh, ni yang aku lemah ni.  Fendi dah masuk tone mengugut.  Ah, apa nak takut.  Mesti dia tak berani buat apa-apa depan adik dia, kan?  Aku buat-buat tidur lagi.

“Ish, kau ni buat aku geram lah!  Aku cium jugak budak ni!”  Ayatnya buat aku cepat-cepat bukak mata.  “Opss.. sorry, dah terlambat!”  Fendi dah paut bahu dan kaki aku dan dah bersedia untuk memangku aku bangun!

“Abang!” Aku jerit dan Farah hanya tergelak melihat kami.  “Baik kau duduk diam, sebelum benda lain jadi!”  Aku yang masih lagi takut dengan ugutannya hanya mampu statik dalam rangkulannya.  “Oklah Farah, aku angkut bini aku dulu, ya?”  “Dah hak abang pun!”  Aku tunjuk penumbuk dekat Farah bila dia angkat ibu jari pada aku. 

“Jangan risau.  Aku tak rogol kau lah.  Kalau aku nak buat, dah lama dulu pun..”  Kata Fendi bila aku duduk di penjuru katil sambil memaut lututku.  “Aku minta maaf, fasal hari ni.  Benda ni tak sepatutnya jadi macam ni, kan?”  Aku angguk perlahan-lahan.  Dia hela nafas panjang.  “Sebagai suami, aku akan cuba buat yang terbaik untuk kau.. Tapi, aku harap kau bagi aku masa.  Semua ni terlalu cepat untuk otak aku cerna.”  Fendi duduk bersila menghadap aku.

“Dhira memang cintakan abang dan Dhira tahu abang tak cintakan Dhira.  Tapi Dhira tak sangka ianya akan berakhir macam ni, dan Dhira memang belum bersedia sepenuhnya.  Dhira harap abang faham.”  Giliran Fendi mengangguk.  “Dahlah.. aku dah mengantuk.  Hari ni hari yang panjang untuk kita, kan?”  Katanya sambil bangun lalu menggosok kepalaku. 

“Abang..”  Fendi berpaling ke arahku.  “Dhira faham kalau abang masih cintakan Yana dan sentiasa cintakan dia.  Dan Dhira tak halang kalau abang nak bersama dengan Yana.”  Aku nampak mata Fendi bergenang air mata.  “Dhira.. dah.  Tak mahu cerita fasal dia lagi.  Tutup buku fasal dia, bukak buku fasal kita.  Sekarang, kisah fasal Fendi dan Dhira, ok?”  “Abang..”  Fendi kalih pada aku lagi.  “Betul.. Dhira tak tipu dengan apa yang Dhira cakap.  Dhira pun nak abang bahagia..”  “Dhira..?”  Fendi dah nak masuk scene ugutan.  Gulp.  Aku telan air liur sambil tunduk. Fendi dah berpaling dari aku.  “Abang..”  “Hurm..?”  Fendi tak berpaling.  “Esok kita pergi cari Yana, ye?”  “Dhira..?!”  Kali ini Fendi sedikit keras.  “Ok..ok.. tutup buku!”  Fendi mendengus kasar.

“Abang..”  “Dhira, kau ni memang aku kendurikan jugak malam ni!”  “Lor.. Dhira cuma nak cakap, Dhira tak nak tidur sini.  Dhira nak tidur bilik Dhira.  Bilik abang ni tak best lah.  Tak ada lampu tidur, gelap!  Lepas tu, Dhira nak tidur kat mana sini?  Takkan nak tidur sekatil dengan abang?  Ish, tak mahulah!”  Fendi dah hela nafas panjang. 

“Dhira sayang.. Dah kata kau kahwin dengan aku, kau tidur dengan aku lah.  Ni kau pakai undang-undang silibus mana pulak ni, dah kahwin tidur bilik asing?  Dah, meh tidur je lah sini!”  Kata Fendi sambil menarik tanganku naik ke katil dengannya.  Aku menjelingnya, namun tidak dilayan. 

“Kalau kau takut gelap, kau peluklah aku.  Tapi, kalau kau takut aku peluk kau, haa..kau letak jelah bantal kat antara kita ni.  Reti?  Dah, tutup lampu!”  Kejam!  Tak pe.  Siap kau!

Dah sejam, aku masih terkebil-kebil.  Tak dapat lelapkan mata. Aku kalih pada Fendi di sebelahku.  Diam.  Dah lena lah tu.  Aku pun perlahan-lahan bangun.  Menapak setapak demi setapak ke pintu bilik.  Baru aku nak berpaling untuk melihat sama ada Fendi masih lena atau tidak, aku pula yang terkejut bila dia sudah berada di belakang aku! 

“Kau ingat aku tak tahu, kau nak balik bilik kau, kan?” Aku tersengih sambil angkat peace.  “Eh, mana ada!  Dhira nak pergi minum air lah!”  “Tak payah!  Simpan je lah minum kau esok!  Tidur sini!”  Ek eleh, macam lah dia tidur pakai mata aku!  Huh!

Bangun untuk bersarapan pagi itu, Farah dah pandang aku sambil sengih-sengih.  Hee.. geram betul dengan sengih dia tu.  Nak pelempang, dah pangkat adik pun sekarang.  Sabar je lah.  “Dhira.. hari ni teman ibu beli barang, nak?”  Beli barang?  Barang apa?  Tapi, pertanyaan tu sekadar bergema dalam hati je, lalu kepala pun mengangguk. 

Pelik  jugak aku dengan ibu ni, kali ini nak bershopping berdua je dengan aku.  Mula-mula, beli barang runcit, lepas tu singgah ke mall.  “Cantik tak baju ni, Dhira?”  Baju kurung moden berwarna putih, berlabuci silver ni memang cantik. 

“Er.. cantik tu memang cantik, bu.  Tapi, macam baju nikah je ni?” Aku kerut dahi.  Ibu hanya senyum.  “Tak kisah lah tu, tapi cantik, kan?  Dhira pakai saiz apa?”  “Aik, nak belikan untuk Dhira ke, ibu?  Tak payah lah..  Dhira dah ada banyak lah.  Lagipun, nanti Dhira beli sendiri time puasa.  Lagi banyak yang cantik-cantik dan murah!”  “Eh, eh kau ni, asal beli baju kurung je nak buat raya.  Dah lah, jangan banyak cakap.  Tadi, kata cantik, kan?”  Aku angguk saja.  Apa-apa je lah mak mertua!

Dah selesai memilih baju, ibu membawaku shopping.  Memilih kasut, handbag, perfume, alat make-up dan last sekali membawa aku ke spa.  Err.. spa?  Pelik jugak ibu hari tu.  Dari pagi sampai ke petang, dan akhirnya kami duduk di depan tasik.

“Ibu nak bagi Dhira ni..” Ibu bagi aku seurat rantai emas merah berkalung hati.  Terus dipakaikan untukku.  “Eh, kenapa bagi Dhira ni, ibu?  Nanti apa kata Farah pulak?”  Aku nampak air matanya bergenang.  “Memang ibu nak bagi pada menantu ibu.  Sekarang, menantu ibu ialah kau, Dhira.  Ini hadiah dari ibu, ambillah..”  Aku meraba rantai di leher sambil tersenyum.  “Terima kasih, ibu!”  Aku lantas dipeluk ibu. 

“Ibu minta maaf.. minta maaf sangat-sangat Dhira.  Kau kahwin tak macam orang lain.  Tak ada pelamin, tak ada baju pengantin, tak ada bunga telur, tak ada hantaran, tak berinai.. ada cincin, itu pun tangkap muat orang lain punya, yang dah longgar bila dapat pada kau.  Ibu dan ayah minta maaf Dhira, minta maaf sebab tak memberikan yang sepatutnya kau dapat..”  Aku turut sama menangis. 

“Ibu, ibu jangan cakap macam tu.  Dhira bersyukur sangat dengan apa yang ibu sekeluarga dah bagi pada Dhira, dah lebih dari cukup pun.  Sekurang-kurangnya sekarang, Dhira dapat kahwin jugak dengan orang yang Dhira cinta..”  Ibu merungkai pelukan.  “Dhira bahagia?”  “Lebih, selalu dan akan..”  Ibu senyum sambil menyeka air mata.  “Ibu doakan semoga bahagia Dhira berkekalan.”  “Ibu, Dhira sayang ibu!”  “Ibu pun!”  Ibu menggosok kepalaku sambil menyuapkan aku aiskrim.  Ah, bahagia!  Terima kasih Allah.

Ganggang telefon aku letakkan ke tempat asalnya.  Empat pasang mata memandangku.  “Hah, nak apa dia?”  tanya Fendi, agak kasar.  “Er, ibu, ayah.. pak cik Mansor cakap Yana dah telefon rumah.  Dia cakap dia ok.  Dia mintak semua orang jangan risaukan dia.  Buat masa ni dia ada di satu tempat yang semua orang tak boleh tahu.  Dia nak bersendirian.  Tapi, yang pasti dia selamat dan tak diculik.  Dia mengaku dia larikan diri dan dia mintak maaf banyak-banyak sebab menyusahkan semua orang.”  Fendi merengus kasar.

“Memang.. memang dia menyusahkan semua orang.  Tahu pulak jalan balik!  Itu pun mak dia tak nampak lagi salah anak dia, lagi nak salahkan orang!”  Baki marah masih ada pada Fendi.  Ibu menepuk lengan Fendi.  “Sudah lah tu!  Yang penting kita tahu Yana dah selamat, cukuplah..”  Aku hanya diam lalu aku bangun mengambil tas tangan. 

“Oklah ibu, ayah.. Dhira pergi kerja dulu.”  “Lor, ingatkan nak pergi hantar Farah pergi kelas!  Kau pun nak kerja dah hari ni?  Cepatnya?”  Sapa ibu.  “Yelah ibu, dia cuti sekejap je ingatkan bukan dia yang kahwin.  Alih-alih dia pulak jadi pengantin segera!” Farah menyampuk sambil tergelak bersama ibu dan ayah.  Aku hanya senyum malu.

“Abih, Fendi ni ada terpacak kat rumah, biar je lah dia yang hantar?”  Cadang ayah.  “Eh, tak pelah.. sebab hari ni takut bos suruh pergi mana-mana.  Susah pulak kalau tak ada kereta.”  Aku bohong sunat.  “Ye ke?”  Fendi pulak menyibuk.  “Betullah.. Dhira tipu dapat apa pun?”  Aku mengagahkan mulut berbicara.  “Ye la tuh..”  Fendi sengih penuh makna.  Lantaklah!

Aku menghulur tangan kepada ibu untuk bersalaman.  Seterusnya pada ayah.  “Pergi dulu!”  Aku cepat-cepat melambai dan melangkah keluar.  “Eh.. eh!  Buat-buat lupa pulak bini aku ni!  Aku ni kau tak nak salam ke?  Ingat, syurga bawah tapak kaki aku, kalau aku tak izinkan kau pergi kerja, maka duduk rumahlah kau hari ni..!”  Fendi bersuara membuatkan aku berhenti menapak.

“Fendi.. apa cakap dengan Dhira aku-kau lagi?  Tak romantik langsung kau ni.. macam bapak kau jugak!”  Ayah menjeling pada ibu.  “Aik, kita pulak yang kena!”  Fendi dah senyum lagi, aku pulak dah rasa lembik kaki.  “Ala, mak.  Dah biasa lah panggil Dhira cenggitu.  Tapi, kalau itu yang mengeratkan hubungan kitaorang, tak salahkan?  Apa nak heran dengan panggilan, yang penting kasih sayang, betul tak?” Fendi dah angkat kening berkali-kali, meminta ibu bersetuju dengannya.    “Alasan!”  “Hah, apa lagi tercegat sana?  Sini meh salam aku!”  Fendi pulak yang hulur tangan dulu.  Eh, terbalik pulak.  Sudah tukar ke?

Dengan perasaan malu, aku menyalami tangannya dihadapan ibu, ayah dan Farah.  Ya lah, hari tu lepas nikah tak sempat salam sebab dah pengsan awal-awal.  Tak semena-mena, seusai salam dia terus mengucup dahiku membuatkan aku terkesima seolah-olah terkena renjatan elektrik.  “Ha.. macam tulah isteri solehah!  Pastikan tiap-tiap pagi, atau kau nak pergi ke mana je lah, buat macam ni, tahu?  Dah, sekarang kau boleh pergi kerja!”  “Phewitt.. sweets sangat!”  Jerit Farah.  Ibu senyum sambil menyiku ayah.  Ya Allah, malunya aku!

Aku pun tak tahu, sama ada Fendi bahagia atau tak bila bersama aku atau aku seorang saja yang bahagia.  Kadang-kadang dia nampak macam sayangkan aku, tapi kadang-kadang dia nampak macam masih anggap aku sebagai adik dia.  Aku pun tak faham.  Mungkin dia masih lagi dalam proses untuk menerima aku, ataupun dia buat semua ni sebab ibu dan ayah.  Tak kisahlah, yang penting aku bahagia begini.

Aku terjaga malam tu bila aku dengar bunyi bising.  Aku bangun dari pembaringan.  Aku kalih ke sebelah.  Fendi mengiring ke sebelah sana, membuatkan aku tak nampak mukanya.  Tapi, aku yakin suara meracau tu darinya.  Aku bangun menghadap wajahnya lalu amati apa yang dikatakan.  “Yana.. Yana.. jangan tinggalkan I .. Yana..”  Aku menekup mulutku.  Ya Allah.. rupa-rupanya jauh dalam hati Fendi, dia masih mengingati dan mencintai Yana.  Rupa-rupanya selama ni dia menderita kehilangan Yana.  Betapa aku tak tahu.  Kesian Fendi! Akhirnya, aku membiarkan dia bersama igaunya, khuatir dia akan malu kalau aku perasaan dia menyebut nama Yana.  Aku cuba tidur, tapi entah kenapa hatiku rasa sebak.  Dan airmata pun menitis lagi.

Malam itu, tanpa ketuk pintu bilik terus Fendi menyerbu masuk ke bilik aku.  Aku dah bangun, nak marah dia.  “Hai, nak jumpa bini pun kena ketuk pintu, buat appointment?  Suka aku lah!  Lagipun kalau ikutkan, kau dah tak boleh masuk bilik kau.  Haa.. macam ni lah, aku tak kira. Start esok kau pindah bilik aku, faham?” Baru aku nak melawan, Fendi dah menyampuk lagi.  “Kau ada dua pilihan.. kau masuk bilik aku atau aku masuk bilik kau?”  Aku diam, malas nak berkata apa kalau dia dah bercakap.  Itu bukan pilihan, itu arahan!

“Minggu depan kau mintak cuti.  Seminggu.”  Aku buat muka pelik.  Ish, apa lagi lah ni?  Suka dia je, ingat company tu dia yang punya ke?  “Pesal?  Dhira ada meeting la minggu depan.  Mana boleh?”  “Ah, aku tak peduli.  Kalau dia suruh kau berhenti pun lagi bagus.  Kau ingat aku tak boleh tanggung kau ke?  Dah, aku cakap cuti..”  Terus dia keluar dari bilik.  Hee.. geram, tapi sayang!  Aku melempar bantal ke pintu bilik, tapi tiba-tiba dia masuk semula ke bilik. 

“Aii.. dah pandai nak melawan?  Kata sayang?  Kata cinta?  Haa.. malam ni kau jangan nak banyak alasan pulak.  Tidur bilik aku, kalau tak aku pulak yang angkut bantal tidur sini, faham?”  Aku menjelingnya sekilas.  Suka paksa-paksa!

Aku menghempas bagasi ke lantai bilik itu.  Aku selak langsir pintu gelongsor dan bukak pintu seluas-luasnya.  Pemandangan laut terhidang di hadapan mata.  “Wah, cantiknya!!”  “Tahu pun.. itu nyaris ada orang tak kena tinggal.  Tak nak ikut konon!”  Fendi masih dengan sinisnya di belakangku.  Aku menjelingnya.

“Habis, abang tu.  Suruh orang mintak cuti, tapi tak cakap nak buat apa, nak pergi mana!”  “Dah nama surprise.. takkan nak kasi tahu!”  Dia sudah merebahkan badan ke tilam katil.  “Eh, apasal abang bawak beg abang sini.  Dah siap baring sini pulak!  Pergi lah masuk bilik abang!”  Fendi terus bangun.

“Kau ingat aku anak saudagar nak sewa bilik dua-tiga?  Yang datang sini kita berdua je, dah tu laki bini pulak!  Buat apa nak membazir berbanyak bilik?  Kau ni nama je dah umur 23, tapi fikir macam baru umur darjah 3!”  “Hee.. tak suka, tau!”  “Aku tak heran pun kau punya tak suka.  Yang penting, ini semua aku punya suka!  Dah, kau jangan buat perangai pulak nak check in bilik lain, ye?  Jangan risau lah, aku tak buat apa-apa pun kat kau!”  Aku tarik nafas lega, aku kira itu janjinya.  “Tapi, ringan-ringan boleh, kan?”  “Abang!!”  Fendi senyum nakal.  “Hee.. tak adalah!  Gurau pun tak boleh!”

Port Dickson.  Kami datang sebab bercuti, bukan berbulan madu.  Itu kata Fendi yang aku pegang.  Selepas hampir lima bulan segalanya berlalu, aku kira inilah permulaan Fendi itu menerima aku sepenuhnya dalam hidupnya. 

Makan berdua, berjalan berdua, bersiar berdua, menonton berdua.  Wah, indahnya berdua di Port Dickson.  Memori paling indah aku lakar semalam.  Dah lama aku simpan hasrat ni.  Melihat matahari terbenam bersama orang tersayang.  Akhirnya tercapai juga, walaupun Fendi bersama aku dengan mata terpejam.  Ada ke patut dia tidur?!

“Nak beli bunga apa?  Ambillah.. aku bayar!”  Kata Fendi sewaktu kami melintasi sebuah gerai bunga.  Ada ke tanya macam tu?  Patutnya dia beli sendiri, lepas tu, ‘Surprise!  Dhira, ni abang bagi kat Dhira’.  Hee.. betullah kata ibu, Fendi ni memang tak romantik!  Tapi, macam mana dia boleh jadi playboy?  Pelik aku!  Mungkin, dengan aku je dia tak romantik, kut?

“Hurm.. mana satu yang cantik ye?  Tulip pun cantik.. lavender pun cantik, dan mesti wangi.  Mataharilah..?  Besar sikit kut?”  Aku masih berkira-kira untuk memilih.  “Ambil je lah mana kau suka, jangan ambil satu kedai ni sudah lah!  Orang lain pun nak beli bunga jugak!”  Orang kedai itu hanya senyum melihat keletah kami.

“Abang.. Dhira rasa Dhira nak bunga ros lah.  Tapi, ros merah ke putih, ye?”  Fendi masih tidak bersuara, mataku pula masih rambang pada bunga-bunga.  “Ke.. kuning?  Eh, ada bunga tulip jugak?  Lagi cantik!  Eh, mana satu lah ni!  Fenin!”  Fendi diam.  “Tak pelah.. Dhira nak ros merah.  Boleh?”  Diam lagi.  “Abang..?”  Aku berkalih.  Ternampak Fendi masih kaku merenung seseorang.  Dan seseorang itu ialah Yana.  Hah, Yana?!

“Fendi.. I really, really sorry.  I didn’t mean it..” Tutur Yana sambil bergenang airmata.  “Yana.. dah terlambat untuk semua tu..”  “Please.. Please Fendi.. Sekarang I sedar yang I betul-betul cintakan you, betul-betul perlukan you!”  “Yana, parent you tak beritahu you ke?”  Yana berkerut muka.  “Telling me, what..?”  Aku hanya menjadi pemerhati.  Baru aku nak melarikan diri meninggalkan mereka berbicara berdua,  Fendi dah memaut lenganku.

“Liyana, sebenarnya I dah kahwin.  Dengan Dhira.  Sorry!”  Suara Fendi bergetar.  Tanpa sebarang kata lagi dari Yana, terus dia pergi sambil membawa aku bersamanya.  Kisah bunga dibiar sepi.  Yana kulihat kian lebat menangis.  Sempat ku menoleh pada Fendi.  Fendi menangis!  Kali pertama dia mengakhiri satu hubungannya dengan tangisan!

Dari balik petang tadi hingga lampu sudah dipadamkan, Fendi hanya mendiamkan diri.  Aku pun turut sama diam, takut juga mahu bersuara.  Akhirnya, kami sama-sama terdiam hingga terlena.  Bangun pagi tu, aku dengan tidak sengaja terpandang wajah Fendi.  Ada lelehan airmata pada matanya yang tertutup rapat.  Ya Allah, rasa bersalah makin menghimpit aku.  Kejamkah aku?  Perampaskah aku?

Kami pulang ke rumah tiga hari awal.  Aku hanya mengikut dan bersetuju, walaupun dia kata mahu ke bulan dan ke bintang.  Tapi, aku tahu dia sedang tidak tenteram sekarang.  Balik saja ke rumah, terus kami diasak soalan dan pertanyaan tentang keawalan kami pulang ke rumah.  Nasib Fendi bijak mengawal keadaan, memberi alasan ada kerja yang perlu dibereskan segera.

“Sorry fasal holiday ni dan bunga.  Nanti, aku hantarkan bunga ke office kau.  Boleh?”  Fendi berkata semasa aku mengemas pakaianku.  Aku hanya angguk tanpa memandang wajahnya.  “Dhira..?”  “Hurm..?”  Mukaku masih tidak beralih.  “Kau marah, kan?”  Tanyanya sambil memaut daguku untuk bertentang mata dengannya untuk bercakap.  Aku sedikit terkejut, namun sempat aku senyum.  “Tak marah, cuma.. rasa bersalah.”  “Atas sebab apa pulak?”  Aku hela nafas panjang.

“Rasa bersalah sebab memisahkan dua hati yang saling menyintai.  Rasa bersalah sebab setuju untuk kahwin dengan abang.  Dhira dah kecewakan banyak hati, khususnya abang dan Yana..”  “Jangan pernah rasa macam tu.  Semuanya dah tersurat.  Terima saja.  Telan dan redha, faham?”  Aku masih lagi memandang wajahnya. 

“Kenapa abang banyak girlfriend dulu?”  Fendi tergelak.  Pertama kali aku nampak ketawanya selepas adegan jejak kasihnya dan Yana.  “Apa ke soalanlah..!  Hurm, sebab nak cari yang terbaik?  Boleh terima ke jawapan tu?”  “Tapi, tetap bukan yang terbaik, yang abang cari, yang kahwin dengan abang, kan?”  Fendi gelak lagi.  “Dhira.. apa yang tersirat ni sebenarnya?”  “Yana.. Dhira nak abang dengan Yana..”  “Dhira!  Stop it!”  Fendi dah pegang pipi aku.  Lagi aku bertambah terkejut.  “Yana is over.  Please, Dhira.  Please help me to love you.  I still trying..”  “Tapi, Dhira tak nak jadi perampas!”  “Siapa cakap macam tu?  Kan aku sendiri yang ajak kau kahwin?  Dah, berhenti fikir fasal orang lain.  Kau kata cintakan aku, kan?”  Fendi dah bangun dari menghadap aku.  “Habis, perasaan abang macam mana?  Hati abang macam mana?”  “Hati aku akan jadi untuk Nadhira.  Dah, sudah-sudah lah bersamarinda malam-malam ni.  Nanti jangan lupa tutup lampu!”  Fendi sudah berada di katil.

“Abang..?”  “Apa dia lagi, isteriku?”  Fendi dah senyum paksa pada aku.  “Dhira nak tanya, bila nak beli lampu tidur?”  Fendi dah garu kepala.  “Esok-esoklah..”  “Tak mahu, nanti abang ambil kesempatan peluk Dhira.  Tak kira, kalau esok tak ada lagi, memang Dhira naik tidur atas.”  Aku dah berjalan ke bilik air lalu menghempas pintu bilik air.  “Eh, eh budak ni.  Dah pandai pulak melawan sekarang!”  Terdengar Fendi merungut membuatkan aku tergelak.

Sewaktu aku baru ingin membuka pintu kereta untuk pulang ke rumah, aku terdengar namaku diseru lembut.  Pantas aku berpaling dan terlihatlah aku wajah yang membawa gundah dihati aku dan Fendi sekarang.Yana.  “Boleh kita bercakap?”  Aku teragak-agak sambil hati berdebar kencang.  Lambat-lambat aku mengangguk.
Kami bertentangan duduk di meja dalam sebuah restoran yang agak lengang pengunjungnya.  Dari tadi aku hanya diam, menanti butir bicara darinya.  Yana menarik nafas dalam dan aku sedia mendengar.  “Yana nak minta maaf atas apa yang terjadi.  Tapi, Yana nak Dhira tahu, yang Yana masih cintakan Fendi..”  Aku telan air liur yang rasa berpasir.   Dia pun patut tahu yang aku sangat cintakan Fendi.  Dan aku tahu siapa yang Fendi lebih cintakan berbanding kami berdua. 

“Habis, kenapa buat Fendi macam tu?  Kenapa tinggalkan Fendi saat korang dah nak disatukan?”  Aku memberanikan diri bersuara.  “Dhira.. masa tu Yana keliru.  Yana tak nak keadaan Yana hanya meraih simpati Fendi, bukan cinta dia..”  “Simpati?  Apa Yana cakap ni?”  Aku pulak yang keliru.

“Sebenarnya, isu ada perempuan yang datang beritahu kami dia kekasih Fendi, itu hanya isu sampingan.  Ada isu yang lebih besar lagi dari tu yang membuatkan Yana keliru dengan perasaan Yana sendiri.  Fasal diri Yana..”  Aku angkat kening.  “Dhira.. Yana sakit.  Yana didapati ada kanser sebulan sebelum Yana bernikah dengan Fendi!”  Aku terkejut bukan kepalang.  Jadi ini lah isunya?

“Betul, Dhira.  Yana tak tipu.  Semua orang tak tahu pasal perkara ni, termasuk mama papa Yana.  Jadi, Yana takut.  Yana terlalu sayangkan Fendi sampai Yana takut yang dia akan tinggalkan Yana sebaik saja dia tahu Yana tak hidup lama.  Yana dah putus asa untuk hidup, bersama dengan Fendi.  Sebab tu Yana mengundur diri dan larikan diri.  Tapi, masa Yana bersendiri tu, baru Yana tahu yang Yana tak boleh hidup tanpa Fendi.  Yana kena teruskan hidup demi cinta kami.  Yana tak boleh menyerah kalah.  Terus, Yana ambil keputusan buat operation, dan alhamdulillah.. Yana dah beransur sihat.  Yana kira, Yana dah boleh sambung kembali impian untuk bersama Fendi.  Tapi, Yana frust lagi bila dapat tahu Fendi dah kahwin dengan Dhira.. hanya sebab Fendi ikutkan marah dia..”  Aku mati kata.  Ya Allah, berilah hamba-Mu ini kekuatan dan petunjuk.  Aku tak tahu apa harus aku lakukan.

“Yana tahu, Dhira adalah satu kebetulan dan salah faham pada Fendi.. kan?”  Aku.. kebetulan?  Aku.. salah faham?  Yana, Yana tahu tak betapa Dhira cintakan Fendi?  Rasa yang hanya terbuku dikalbu.  “Fendi ada beritahu Yana dulu, Dhira hanya lah seorang adik baginya.”  Mataku memang dah menakung air mata.  “Habis, Yana nak Dhira buat apa?”  Bergetar suaraku saat aku melafazkan kata itu.

“Tamatkan semuanya.  Tamatkan derita.  Bagi peluang bagi yang menyintai untuk bahagia. Yana tahu Dhira dan Fendi tak bahagia, kan?”  Airmata menitis juga, tak dapat dibendung lagi.  Hiba.. sangat pedih.  Jadi, tak layakkah untuk aku juga mahu bahagia?

“Kita bertiga.. tak bolehkah bersama?”  Yana senyum sinis.  “Jangan.. Yana tak mahu.  Sebab Yana tahu, akan ada hati yang terluka.  Pasti ada.”  Aku hela nafas panjang sambil seka airmata.  “Dhira tak boleh bagi keputusan sekarang.  Nanti Dhira bincang dulu dengan Fendi, dan nanti Dhira akan beritahu Yana..”  Yana mengangguk, tanda faham. 

Aku sudah tidak betah lagi berada di situ.  Segera aku meminta diri untuk pulang.  Tapi, sebelum pulang, dia memaut jemariku dan mengenggam erat.

“Yana betul-betul mintak tolong dengan Dhira.  Tolonglah beri peluang untuk kami bahagia.  Yana sangat-sangat cintakan Fendi.  Mama pun dah sedar kesilapan dia.  Dia dah restu kalau kami nak bersama.  Tolonglah.. Yana merayu pada Dhira.  Inilah satu-satu peluang yang kami ada..”  Airmatanya menitis.  Hati perempuanku sayu dan lirih lagi.  Aku hanya mampu mengangguk.  Bahagia sendiri atau bahagia mereka?
Sepanjang jalan pulang, aku menangis semahu-mahunya.  Aku tak tahulah sama ada aku sedih mendengar cerita Yana atau aku sedih pada pengakhiran yang bakal aku hadapi dengan Fendi.  Nyata, aku terkesan dan buntu dalam mencari jalan penyelesaian.  Ternampak saja masjid, terus aku membelok masuk ke dalam kawasannya, berharap dapat meminta pertolongan yang maha Esa.

Sampai saja di rumah, hari sudah menginjak ke Isya’.  Ibu dan ayah tiada, selalunya waktu begini di malam jumaat mereka akan ke masjid.  Bilik Farah terang, maknanya dia ada.  Baru saja aku mahu bertemu dengan Farah, mahu bercerita panjang lebar dengan dia, tiba-tiba terjengul wajah Fendi dari dapur membuatkan aku sedikit terkejut.  Eh, awal pulak dia balik hari ni?  Selalunya pukul 10 baru nampak muka?

“Apasal nampak aku macam nampak hantu?”  Aku mengeleng kepala laju-laju.  Ternampak muka Fendi, buat jiwaku bergelodak semula.  Airmata memang tak dapat nak bertahan langsung.  “Eh, kau kenapa dengan mata sembab ni?  Kau menangis, ye?”  Keprihatinannya membuatkan aku tersentuh.  Lalu airmata berjujuran jatuh tanpa mampu dibendung.  Fendi nyata terkejut. 

“Eh, apasal kau ni?  Apa dah jadi?”  Dia memegang bahuku.  Aku menunduk sambil bahu terhenjut-henjut menahan sendu.  Hanya menjawab soalannya dengan tangisan.  “Dhira..?  Beritahu aku.. kenapa?”  Aku masih tidak mampu berbicara.

“Dhira sayang abang.. Dhira cintakan abang.  Sangat-sangat… selalu.. selamanya.” tuturku tanpa malu, tersekat-sekat.  Dia lantas memelukku erat.  “Tahu.. dah, tak payah menangis lagi.  Kan aku dah cakap aku tak suka kau menangis?  Dan aku takkan biarkan kau menangis.  Faham?”  Aku hanya membiarkan perlakuannya sambil dia menggosok kepalaku, berusaha untuk menghentikan tangisanku.

“Ololo.. ada shooting kuch-kuch hota hei la pulak sini.  Opss.. sorry kacau!”  Tiba-tiba kedengaran suara Farah yang turun dari tingkat atas rumah.  Aku cepat-cepat merungkai pelukan manakala Fendi masih berlagak tenang.  “Itulah, ibu dan ayah dah tengok dari tadi lagi.  Maknanya tak lama lagi kami ni boleh dipanggil nenek dan atuk la, ye?”  Suara ibu pulak kedengaran dari belakang aku.  Mak aii.. diaorang ni komplot ke hape?  Maknanya, adegan peluk nangis tadi semua orang dah tengok lah?  Huu.. malunya aku!  Rasa nak letak muka bawah sinki!

“Biasalah ibu, bini Fendi ni memang suka bermanja dengan Fendi macam ni, kan sayang?”  Terus Fendi memaut bahuku sambil aku menjelingnya tajam.  Segera aku bawa diri naik ke tingkat atas, meninggalkan mereka yang masih ketawa bersisa.

“Dhira tahu abang tak cintakan Dhira..”  Aku yang masih tidak lena di sebelah Fendi, memulakan bicara yang tergendala tadi.  “Tak habis lagi ke Dhira?  Kau nak apa semua aku dah bagi.  Lampu tidur, ridsect, pewangi bilik, cadar biru.. Apa lagi tak kena ni?”  Aku bangun dari pembaringan. 

“Dhira nak abang jumpa Yana.”  “Adoi.. nak buat apa lagi?  Kan aku dah kahwin dengan kau, kau kan dah jadi bini aku?  Buat masa ni aku tak berkemampuan lagi nak tambah cawangan.  Kau tak payahlah berangan nak dapat payung emas, konon.  Payung avon ibu punya tu dah berlambak kat rumah, guna je lah!”  Eh, eh laki aku ni.  Aku serius, dia main-main pulak.  “Lepas abang jumpa dia abang akan tahu kisah sebenar!”  “Tak payah fikirlah.  Sekarang, aku nak fokus hati supaya cintakan bini aku seorang je, dan bini aku ialah kau.”  Tutur Fendi dalam mata terpejam.  Aku masih tak puas hati.

“Dhira isteriku tersayang, tidurlah.. Pepagi esok aku ada meeting dengan klien, jadi tolonglah beri kerjasama.”  Fendi tarik tangan aku supaya aku berbaring dari duduk.  “Diam dan tidur.  Jangan sampai aku buang bantal kat tengah ni..  Jangan lupa, kau tu belum malam pertama lagi dengan aku..”  Terus aku tarik selimut lalu membaluti tubuhku.  Ngeri pulak aku dengar ugutan Fendi ni.

Hari minggu itu, aku dan Fendi berlegar-legar di pusat membeli-belah.  Kata Fendi, saja jalan-jalan.  Bila lagi nak dating dengan bini.  Aku ikutkan saja, dan hati sangatlah berbunga-bunga.  Dalam berjalan-jalan, telefon bimbitku berbunyi lalu aku menjawab panggilan.

“Hah?!  Betul ke ni?  Ya ibu.. ya.. baik!”  Fendi memandangku.  “Ibu telefon..”  “Yalah.. aku tahu dan dengar.  Tapi, kenapa?”  “Yana.. Yana, bang..”  Fendi dah muka cuak.  “Kenapa dengan dia?!”  Fendi menyoal aku aci nak telan je aku.  “Dia pengsan.. ada kat hospital..”  “Dah.. jom!”  Terus Fendi menarik tanganku ke kereta.

Di dalam kereta, Fendi hanya diam dengan muka tegangnya.  Jelas menunjukkan riak risaunya.  Aku turut sama membisu.  Sesampainya di hospital, Fendi berlari mencari bilik yang dimaksudkan.  Tidak keruan aku lihatnya, mencari dan bertanya pada setiap orang yang lalu-lalang.  Aku ikut rentaknya, tapi sampai pada satu tahap aku berhenti.  Aku lihat kelibatnya yang berlari di depan.  Langsung dia tidak menoleh kepadaku, apatah lagi untuk menarik tanganku berlari bersamanya pun tidak.  Hati jadi sayu, tapi cepat-cepat dihalau segala gundah.

Dia sampai dulu ke wad itu sebelum aku.  Aku hanya melihat dari celah pintu, tidak ada kekuatan untuk masuk ke dalam.  Fendi sedang menangis sambil memaut jemari Yana.  Yana yang sudah sedar, turut sama menangis dengannya sambil diperhatikan mak ayah Yana.  Aku menekup mulut, tidak mahu tangisanku didengari mereka.  Ya Allah, berikanlah aku kekuatan.  Tabahkan lah hati aku berdepan ujian-Mu ini.

Baiklah, aku faham situasi dan status diri aku sekarang.  Selepas menghantar SMS yang aku pulang sendiri kepada Fendi, aku terus pulang ke rumah.  Tak sanggup nak berlama-lama lagi di sana.  Pertanyaan ibu aku jawab sebaiknya agar dia tidak terbau sesuatu yang kurang baik antara kami.

Malam esoknya, Fendi mengajakku makan malam di luar.  Entah apa demamnya tiba-tiba mahu dinner segala.  Tapi, alasannya mahu menggantikan hari date kami yang terganggu semalam.  Aku seperti biasa hanya mengangguk.

“Yana macam mana?”  Hati tertanya-tanya.  Fendi senyum.  “Jangan risau, dia tak apa-apa.  Kenapa tak masuk jumpa Yana semalam?”  “Malu.. Abang tahu kan Dhira ni pemalu orangnya?”  Mulut sengaja cari alasan.  “Eh, ye ke?  Setahu aku, kau ni tak malu orangnya!”  Aku lantas menjelingnya membuatkan dia tergelak.

“Aku dah tahu fasal Yana.”  Aku berdebar, sepertimana aku berdebar berhadapan dengan Yana tempoh hari.  “Dhira.. terima kasih sebab bagi peluang untuk menjelaskan semua ni.  Terima kasih juga memahami keadaan aku.  Terima kasih sebab sudi bersama dengan aku dalam hari-hari gelap aku.  Terima kasih sebab sudi membahagiakan ibu, ayah dan Farah..  Terima kasih atas segala pengorbanan yang kau buat.  Terima kasih untuk semuanya.. segalanya.”  Aku mendengar dengan teliti hingga tak tersedar airmata sudah menitis.

“Dhira.. walau sedalam mana pun sayang dan cinta aku pada Yana, aku tak mungkin akan menandingi cinta kau pada aku, kan?  Dan sebab itu, aku berdoa dengan Allah dan berjanji pada diri aku supaya membuka pintu hati aku seluas-luasnya untuk menyayangi dan mencintai kau sebagai isteri aku seikhlasnya hingga ke pintu syurga..”  Aku terkedu mendengar dia melafaz ikrar dengan sekali lafaz.  “Kau pun kena lah ajar aku cintai kau macam mana kau cintai aku.  Tapi, nanti bila aku dah betul-betul cintakan kau, jangan pulak kau lari dari aku.  Janji?”  Aku mengangguk sambil menangis lagi.  Fendi tanpa disuruh menyeka airmata aku sambil tersenyum.  “Cengeng sungguh bini aku nih!”  katanya sambil menggosok kepalaku seperti selalu, membuatkan aku tergelak.

Kami menghabiskan malam itu dengan gelak tawa dan makan malam yang simple tapi bagi aku cukup bahagia.  Kata Fendi, Yana sekarang sedang menjalani kimoterapi dan beransur sihat.  Dia pengsan hanya sebab tidak makan kerana sibuk bekerja dan tidak ada kena mengena dengan penyakitnya.  Aku lega.  Aku harap ini jalan bahagia hingga ke akhirnya.

Sewaktu berjalan keluar dari restoran merentasi lobi hotel, kami disapa seorang wanita.  Aku senyum sambil menyalami wanita itu.  Dia memandangku, atas ke bawah.  Aku pelik, ada apa yang tidak kena ke pada aku?

“Ni saya kenalkan, Nadhira.  Isteri saya..”  Fendi memperkenalkan lalu aku mengangguk.  “Dhira.. ini mak Yana.. mak cik Nora.”  Mak cik Nora senyum.  Sinis.  “Hoo.. inilah dia bini part-time kamu tu?”  Aku tersentak.  Apa maksudnya ni?

“Part-time?  Saya tak faham lah..”  Fendi masih dengan wajah tenangnya.  “Ye lah.. part-time lah.  Nanti bila kamu dah kahwin dengan Yana, dia bukanlah lagi pegang jawatan bini kamu, kan?”  Aku dah menunduk. 
Bukan saja Fendi, tapi aku pun langsung tak faham apa yang berlaku ni.  Aku tengah shooting samarinda lagi ke ni? Ke cerekarama?  Ke akasia?  Ke zehra?  Takkanlah nona kut?  Melodi mungkin?

“Apa ni mak cik?  Saya kira semuanya dah jelas tentang apa yang saya terangkan pada Yana, mak cik dan pak cik malam semalam?  Ada bahagian yang tertinggal yang perlukan khidmat peguam ke, mak cik?”  Mak cik Nora dah merah mukanya. 

“Kamu ni betullah lelaki tak guna, Fendi.  Bila masa Yana sihat, kaya.. kamu buat dia sampai jatuh cinta pada kamu.  Bermati-matian bercinta.   Bila masa kamu tahu Yana tu sakit, kamu tinggalkan dia, kahwin dengan orang lain, cintakan orang lain kononnya.  Mak cik tahu, kamu buat semua ni sebab nak mengelak dari bersama dengan Yana yang sakit tu kan?”  Fendi garu kepala.  Mungkin pening nak handle bakal mak mertua tak jadi macam ni.

“Ikut suka mak cik lah nak cakap apa.  Terpulanglah.  Kalau ya, ya lah.. kalau tak, tak lah.  Dah kalau saya ni tak guna sangat, carilah orang lain jadi menantu mak cik.  Apa susah?  Dah lah mak cik.. kami balik dulu..”  Fendi meloloskan diri sambil memaut tanganku untuk pergi.  Aku memandang Fendi, dan kami berbalas pandangan.

“Aku tak menyesal dengan apa yang aku pilih.  Aku percaya pada Allah dan aku percaya ada hikmah pada semua ni.  Jangan peduli cakap dia, ok?”  Aku hanya mengangguk.  Berharap agar semuanya pulih dan jernih semula.

Aku dan Farah mengambil tempat untuk duduk di salah sebuah bangku yang ada.  Dah lama tak berjogging, bila berjogging baru satu pusingan, mulalah dah pancit.  “Aku tak setuju dengan kau.  Kalau betullah Yana tu cintakan abang, dia patut beritahu perkara sebenar pada abang awal-awal lagi.  Dia tak boleh larikan diri, tak selesai masalah dengan lari.  Dan dari situ kita boleh tengok sama ada abang cintakan Yana atau tak.  Sebab, kalau dia cintakan Yana, apa pun jadi dia akan tetap pilih Yana.  Betul tak?”  Aku angkat bahu.

“Entahlah Farah.  Aku tak tahu lah apa yang aku buat ni betul atau tak.  Tapi, daripada apa yang abang cakap, dia memang pilih aku.  Sekarang, aku redha dan terima saja dengan apa yang jadi..”  Farah menepuk bahuku.  “Dhira, lepas apa yang jadi.. kau nak berserah saja?  Kau kena fight untuk rebut hati abang!”  Ujar Farah semangat.  “Come on kakak ipar.  Kau kata kau cintakan abang sangat-sangat kan?”  “Farah.. mencintai tak semestinya memiliki.”  Farah tepuk dahi.  “Aku memang surrender kalau tiba part Dhira dah buat keluar madah pujangga!”  Kami sama-sama ketawa menggegarkan ruang di hadapan tasik itu.

Belum sempat aku jejak pintu masuk pejabat, aku dengar namaku diseru dari pintu lif.  Aku berpaling.  Mak cik Nora?  Sampai ke sini dia jejak aku?

“Aku ada benda nak cakap dengan kau.”  Ambik!  Memang straight to the point, tak ada bengkang-bengkok.  Tak sempat aku cakap ya atau tidak, terus dia menyambung ayatnya.

“Sebagai seorang ibu, aku sememangnya nak anak aku bahagia.  Tapi, masalahnya.. kau dah rampas kebahagian anak aku.  Sekarang, kau kena sedar siapa diri kau.  Status kau sementara.  Ada bila perlu, bila yang diperlu sebenar dah ada, kau dah tak perlu..”  Berderau jantung aku.  Dah lah mak cik ni sound aku kat depan pintu masuk office, time budak-budak office tengah masuk office lepas lunch break.  Takkah dia nampak yang ramai orang lalu-lalang tengok aku kena serang kat tengah khalayak ni?  Takkah dia rasa kesian tengok aku macam ni?  Kejam!

“Tapi.. “  “.. Nanti!  Aku tak habis lagi cakap!”  Nah, tak boleh nak potong queue langsung!  Fendi.. tolong Dhira!

“.. Aku tahu siapa kau.  Kau anak angkat je kan dalam keluarga Fendi?  Jadi, macam ni ke cara kau balas budi baik orang yang dah besarkan kau selama ni?  Kau tahukan betapa Fendi cintakan Yana dan betapa Yana cintakan Fendi?  Masalahnya, Fendi cintakan kau tak? Ke.. kau je yang perasan?  Habis, kau tak rasa bersalah ke pisahkan mereka?  Kau tak rasa ke macam kau ni tak mengenang budi pada Fendi?  Perampas?  Jadi, aku harap kau faham.  Bahagia Fendi bukan dengan kau, serahkan dia pada yang patut!”  Wanita itu terus berlalu meninggalkan aku dengan deraian air mata.  Air mata yang tumpah sebaik saja dia pergi.  Staf yang lain dah pandang aku macam aku ni pencacai.  Ya Allah, apa salah aku?

Terus aku EL hari tu.  Pandu kereta entah ke mana-mana tempat sambil menangis.  Kenapa bahagia aku ni perlu ada tangisan?  Aku berhenti tepi jalan dekat kawasan mana yang aku tak tahu sambil menangis tepi kereta.  Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi.  Fendi?

Aku terpaksa menjawab panggilannya sebab takut dia bimbang.  “Hello..?”  “Kat mana?”  Aku terus diterjah dengan soalan.  Apa angin pulak ni?  “Kat.. kat jalan.  Jammed.  Dah on the way balik ni..”  “Kau jangan nak tipu aku!  Tadi aku pergi office kau, budak-budak ni cakap kau half day hari ni lepas kena serang dengan seorang mak cik.. Sekarang, kau ada mana?  Aku tahu kau kena marah dengan mak Yana, kan?!  Ni suara kau serak sebab kau menangis, kan?”  Terus aku kelu berbahasa.  Boleh pulak datang buat spot check?

“Er.. abang datang office Dhira?  Buat apa?”  Aku sengaja alih topik.  “Suka hati akulah nak datang tengok bini aku.  Kau tak payah nak alih topik.  Beritahu aku, kat jalan mana yang kau duduk menangis ni?”  Aku terpaksa beralah.  Malas nak bergaduh lagi.  Selepas setengah jam, dia datang dengan menaiki teksi.

Turun saja dari teksi, terus dia menerpa ke arahku lalu memelukku.  Aku terkejut.  Mak, malu aku!  Tengah tepi jalanraya pulak tu!  Dia melepaskan aku bila mendapati aku hanya diam. 

“Dah habis belum air mata?” Aku mengangguk sambil menunduk.  “Bagus.  Jangan nak menangis lagi depan aku.  Lepas ni, apa-apa yang jadi beritahu aku.  Aku kan suami kau?  Dah, jom balik.  Aku drive!”  Dia memimpin aku masuk lalu dia duduk di tempat pemandu.  Sepanjang perjalanan, hanya Fendi yang bercakap manakala aku banyak mendiamkan diri. 

Aku mengemaskan baju-baju aku masuk ke dalam bagasi.  Sesekali aku mengerling kepada Fendi yang setia duduk merenung aku dari tadi.  “Apa?”  Dia mengeluh sambil perlahan-lahan duduk di sebelah aku.

“Perlu ke kau kena pergi kursus tu?  Tak ada orang lain ke kat admin department tu, kenapa kau pulak?  Seminggu pulak tu.. kenapa lama sangat?  Kenapa kena buat kat Desaru?  Area KL ni tak ada tempat dah ke?”  tanya Fendi bertalu-talu.  “Abang.. Dhira ni kerja dengan orang.  Orang cakap pergi kursus, pergi jelah.  Lagipun kursus ni bagus.  Nak gaji up sikit, kenalah pergi kursus.  Dah company yang tanggung, apa nak fikir lagi?”  Fendi masih tak puas hati. 

“Habis kenapa banyak sangat baju kau bawak ni?  Macam dah tak nak balik sini lagi je gayanya?”  Aku hanya tergelak.  Lain macam pulak kerenah Fendi ni malam ni.  “Tak pun, aku cuti seminggu jugaklah.  Aku teman kau pergi sana, nak?”  Fendi bersungguh.  Cepat-cepat aku menggeleng.  “Mana boleh, bos dah booking tempat cukup-cukup untuk yang staf yang pergi.  Hah, nanti siapa pulak nak settlekan kerja abang? Kata dapat project baru?”  Fendi mengeluh sambil termenung sejenak.

“Haa.. tak pun aku hantar kau, nak?  Lepas tu aku balik la sini semula.  Amacam?”  Aku cubit pehanya, tanda geram.  Laju dia menggosok.  “Orang dah beli tiket segala.. jangan nak macam-macam!  Dah lah, nanti Dhira baliklah..”  Aku lantas bangun dari sila. 
“Dhira..”  Panggil Fendi sambil memaut lenganku.  Lantas aku berpaling padanya yang masih di tempat duduknya tadi.  “Janji dengan aku, kau balik semula sini, tau?”  Aku renung ke anak matanya yang penuh berharap itu.  Mataku bergenang air mata, tapi aku kerlipkan supaya tidak jatuh air mata ini. 

“Janji?”  Soalnya lagi sambil mengoncang lenganku.  Aku sekadar mengangguk, demi memuaskan hatinya.  Fendi tersenyum, tanda penerima jawapan dari aku.

Aku dan Fendi berada di Terminal Bersepadu Selatan, menunggu pukul 10 pagi untuk masa berlepas.  Hanya Fendi yang menemani aku.  Ibu, ayah dan Farah tidak dapat datang sebab menghadiri kenduri kahwin jiran kami. 

“Nanti, Dhira tak ada abang pandai-pandai lah iron baju sendiri, kemas tempat tidur sendiri, ye?  Jangan malas-malas sembahyang Subuh, alarm je lah handphone mahal abang tu.. hah, stoking tu letak kat dalam laci bawah sekali almari coklat tu, jangan nak mengada-ngada letak tempat lain.  Nanti mulalah sibuk duk mencari satu pagi..” Fendi hanya anguk-anguk.

“Pewangi bilik tu dah nak habis, nanti jangan lupa tukar.  Jenama yang sama tahu.  Ambi-pur.  Kalau abang letak jenama Tesco lagi, siap abang!”  Fendi tergelak. “Lagi satu, baju merah yang abang baru beli tu jangan campurkan dengan baju lain masa basuh.  Luntur color lah.  Habis baju Dhira warna merah!”  Fendi sambung gelak lagi. 

“Kalau..”  “.. Dhira..”  Fendi menyampuk aku bercakap.  “Janganlah pesan banyak-banyak.  Aku tak ingatlah.  Nanti kan kau balik semula sini?”  Aku tersenyum sambil menunduk. 

Kedengaran pengumuman bagi penumpang bas ke selatan untuk pergi ke platform 5.  Aku bangun sambil Fendi membantu aku mengheret bagasi.  Kami hanya mendiamkan diri sambil berjalan perlahan-lahan.  Sampai tidak jauh dari pintu berlepas, Fendi menyerahkan bagasi kepada aku.

“Dhira pergi dulu, jaga diri baik-baik.  Halalkan makan minum Dhira selama ni, ye?”  Aku bersalaman dengan Fendi dan seperti biasa Fendi akan mengucup dahiku.  Tapi, memang aku tak sangka Fendi akan buat begitu di khalayak ramai.  Malu woo!

“Abang jalan lah dulu.. Dhira nak tengok abang pergi dulu baru Dhira turun..”  “Eh..”  “.. Please..?”  Fendi yang mulanya mahu beralasan, beralah juga akhirnya.  Dia senyum sambil berpaling untuk melangkah.  Baru dua tapak dia melangkah, aku panggil namanya.  Dia berpaling semula kepadaku.

“Dhira sayang abang.  Dhira cintakan abang.  Sangat-sangat, selalu, selamanya!” Tanpa malu aku menuturkan ayat itu kepadanya, membuatkan dia senyum semanisnya yang tak pernah aku lihat sebelum ini.  Aku melambainya menyuruh dia pergi, lalu dia berpaling dari aku.

Aku cepat-cepat berlari ke balik tiang, mengintainya dari tepi.  Aku nampak Fendi berpaling, mencari bayangku.  Melihat kelibatku hilang dari pandangannya, terus dia berlari ke tempat kami berpisah tadi.  Melilarkan pandangan ke kiri dan ke kanan untuk mencari aku, tapi aku masih menyembunyikan diri sambil air mata tak henti mengalir. 

Tidak habis mencari, segera dia menelefon aku.  Namun, tidak aku jawab.  Berkali-kali dia menelefon, ku tetapkan hati untuk tidak menjawab.  Akhirnya, aku nampak dia perlahan-lahan beransur pulang.  Barulah aku keluar dari tempat aku bersembunyi lalu turun ke bas.

Fendi.. dialah cinta pertama dan terakhir.  Sebenarnya, semuanya telah kurancang.  Kursus, seminggu, Desaru.. semuanya dusta.  Pertemuan kami tadi ialah pertemuan terakhir.  Aku percaya pada kata ‘Mencintai tak semestinya memiliki’.  Lalu, aku lepaskan seorang Fendi, demi kebahagiannya.  Aku tahu, cinta aku pada Fendi, tak setanding dengan cintanya pada Yana.  Cinta pandang pertamanya yang kekal dalam hatinya selama hampir 5 tahun.   Wanita-wanita yang didampingnya hanyalah sekadar dicari mahukan lengkap seumpama Yana, tapi tak serupa juga dengan Yana.  Cinta aku pada Fendi juga tidak setanding kasih seorang ibu pada anaknya.  Aku tak mahu menghampakan harapan mak cik Nora yang mahu Yana bahagia bersama insan dicintainya.  Biarlah aku kekal dalam diri Fendi hanya sebagai part-time lover.

Mungkin ini memang jalan takdirku
Mengagumi tanpa di cintai
Tak mengapa bagiku asal kau pun bahagia
Dengan hidupmu, dengan hidupmu

Telah lama kupendam perasaan itu
Menunggu hatimu menyambut diriku
Tak mengapa bagiku cintaimu pun adalah
Bahagia untukku, bahagia untukku

Ku ingin kau tahu diriku di sini menanti dirimu
Meski ku tunggu hingga ujung waktuku
Dan berharap rasa ini kan abadi untuk selamanya
Dan ijinkan aku memeluk dirimu kali ini saja
'Tuk ucapkan selamat tinggal untuk selamanya
Dan biarkan rasa ini bahagia untuk sekejap saja
Cinta Dalam Hati – Ungu
11.59 pm
14/6/2012

End of part 1 of 2.  Ongoing for part 2 of 2.