Kesah disebalik karya : sebenarnya saya dah lama mengidamkan untuk membuat satu karya bersempena bulan kemerdekaan ni.akhirnya, berjaya juga saya menghasilkan Patriot.bukan apa, nak suntik semangat patriotisme sikit.semalam saya ada menonton program bual bicara di TV Alhijrah, Bicara. tajuk semalam sangat menarik perhatian. Merdeka : Masih Perlukah Patriotisme. pendapat saya..opkos la, merdeka dan patriotisme saling berkait dan berhubung.suka mendengar kata salah seorang daripada panel,
Irfan Khairi : Kita pergi kerja setiap hari, itu juga adalah satu semangat patriotisme. kalau kita tidak membuang sampah, ia juga merupakan satu contoh betapa kita sayangkan negara.
Jadi, macam mana u'guys nak tunjukkan semangat patriotisme anda? Dan, apakah erti kemerdekaan sebenar kepada u'guys? Adakah semata-mata mengibarkan jalur gemilang? Tak pun, setakat cuti dan oh, banyaknya sale..sale..sale~? tepuk dada, tanyalah iman. Ok lah, bicara punya bicara, jum layan cerpen saya ni.
Huluran tanganku tadi tidak bersambut. Aku mendongak memandang wajah lelaki tua didepanku. Huh, boleh tahan jugak si tua ini egonya, masih meninggi tak sepadan dengan usianya! Dia masih berpeluk tubuh tanpa memandang aku walaupun secebis. Wanita tua disebelahnya pula mengambil lakon, menyambut salamanku. Tapi tak lama, kerana cepat-cepat ditepis tangan wanita itu membuatkan aku terdorong ke belakang.
“Aku hanya ada tiga orang anak lelaki! Aku tak punya anak perempuan, apatah lagi cucu dari anak perempuan itu! Kau boleh berambus dari rumah aku, seperti mana juga perempuan itu berambus dari rumah ini!” Itu tingkahnya setelah aku menerangkan yang aku cucunya, anak kepada Mariam. Riak wajahnya terus berubah garang, tidak manis seperti mula-mula aku melangkah anak tangga tadi.
Aku tidak ambil kisah. Aku sudah mengagak, mahupun aku sudah bersedia.
“Abang haji, sudah-sudah lah tu. Hal 30 tahun lepas pun, nak diungkit-ungkit buat apa? Kita ni pun bukannya muda lagi, entah esok ke lusa tuhan panggil kita, tak ke menyesal nanti?”
“Ah, awak perempuan apa tahu? Asyik salah, kita saja! Apa-apa pun, aku tak mahu tengok muka budak ni kat sini! Pandang muka dia saja dah buat aku panas hati, petah lagi nak bercakap dengan dia, memang aku tak hadap!” Atuk masih bercekak pinggang. Nenek sudah mengalirkan air mata. Ah, malasnya nak berdepan dengan drama swasta begini!
“Tak kisah la atuk nak cakap apa. Pendek cerita macam nilah. Saya datang bukannya nak buat slot jejak kasihan kat sini. Saya datang nak ambil balik tanah milik mak saya yang katanya dah dinamakan atas nama dia. Tanah yang dekat belakang rumah besar sana.” Atuk terus terduduk sambil menekan dadanya, lalu nenek segera memapahnya ke kerusi. Aku masih tidak bereaksi. Er.. berterus-terang sangat ke aku?
“Hei, budak biadap! Kau keluar dari sini! Jangan pernah datang lagi, atau aku parangkan kau nanti! Pergi!!” Aku sengih, masih duduk bersila dilantai kayu itu walaupun tak dijemput untuk duduk.
“Atuk.. sebelum sampai tadi, saya ada lah melawat kampung ni. Paling menarik perhatian, kebun pisang yang atuk duk usahakan sekarang ni tu lah. Tapi, duk syok-syok berkebun, atuk ingat tak yang atuk dah bagi geran tanah tu pada Tuan Wilson? Ingat tak?” Serta merta atuk bangun lalu mencerlung memandang aku.
“Mesti atuk tak lupa kan, Tuan Wilson tu pun atuk saya juga. Cuma, bezanya Tuan Wilson masih ambil tahu hal berkaitan cucu dia. Jadi, dia pun serahkan geran tanah tu pada bapak saya, dan kemudian saya. Berbalik pada cerita tadi, jika tak keberatan, apa kata kita buat sistem barter kat sini. Saya dapat geran tanah mak saya, dan atuk dapat geran tanah atuk. Kalau tak nanti sia-sia je pisang yang atuk dah tanam berdekad-dekad tu. Amacam, cerdik tak saya?” Aku gelak halus sambil atuk dah laju-laju berjalan ke biliknya dan menghempas pintu bilik. Er.. apa maksudnya tindakan dia tu? Ah, tak kisahlah. Selagi aku tak dapat tanah ibu aku tu, selagi tu aku tak berganjak dari sini. Nenek memandang aku lambat-lambat.
Nenek, tolonglah jangan pandang saya macam tu. Persis ibu..
“Err..” Nenek teragak-agak untuk memanggil aku. “Oh, lupa pulak nak perkenalkan diri.. Saya Rafael Abdullah.” Nenek mengerutkan muka. “Betul ke kamu ni anak Mariam?” Aku angguk. “Ha’ah. Saya anak Mariam dengan Abdullah. Sebelum babah masuk Islam nama dia William Wilson.” Nenek senyum. Ah, aku kalah dengan senyuman itu. Mataku berair. Cepat-cepat aku kalihkan dari pandangannya.
“Patotlah.. wajah kamu memang seiras benar dengan William. Patotlah juga atuk kamu tu mengamuk sakan, dah memang dia pun tak sukakan William!” Kami sama-sama tergelak. Keadaan hening seketika sebelum nenek kembali menyambung bicara. “Kiranya, kahwin juga Mariam dengan William, ya? Lepas dia tinggalkan kami, nenek tak dapat sebarang berita dari dia. Boleh nenek tahu, dia bahagia sekarang?”
“Bahagia, nenek. Sepanjang 28 tahun saya hidup dengan ibu dan babah, mereka cukup bahagia. Dan saya pasti sekarang mereka lagi bahagia.” “Kenapa pulak?” “Sebab saya dah tak kacau daun mereka lagi!” Kami tergelak lagi.
“Er.. Rafael.. nenek tak tahu apa rancangan kamu sebenarnya. Nenek pun tak kenal kamu sangat. Tapi, nenek tahu dari mata anak mat saleh kamu ni, kamu ni baik orangnya. Harap-harap apa yang nenek sangkakan ni betul la, ya.” Aku hanya senyum sambil tunduk.
“Maaf, nek. Itu saya tak pasti lagi. Saya tak boleh janji. Cuma, saya nak minta tolong nenek. Saya nak tumpang tinggal beberapa hari lagi kat sini. Mana lah tahu kut atuk ubah fikiran, atau saya sekali ubah fikiran. Mungkin kita dapat jernihkan keadaan?” Nenek berjela seketika.
“Boleh tu, memang lah boleh. Tapi, tahan ke kamu dengan angin atuk kamu tu?” “Tak.. saya yang patut tanya nenek. Tahan ke atuk dengan angin saya ni?” Nenek hanya tergelak sambil geleng kepala. Mesti pening kepala dia lepas ni. Mana satu nak menangkan, suami yang dah lama hidup bersama atau cucu yang dah lama tak bersama?
Aku mengayuh basikal tua milik atuk yang aku pinjam tanpa kebenarannya. Hah, beraninya aku melawan arus atuk! Dek kerana melawan angin aku nanti, jangan terkojol sudey lah orang tua tu! Aku senyum sambil melebarkan pandangan ke semedang pemandangan sawah padi. Bahagianya, menghirup udara petang yang segar tanpa bising dan cemar. Sekilas, aku terpandang gadis bertudung merah yang sedang berjalan beriringan bersama kawannya. Aku terus memusingkan basikal ke arah mereka.
“Hai..” Aku senyum sambil kenyit mata pada si manis bertudung merah. Lantas aku turun dari basikal lalu berjalan kaki sambil menolak basikal, beriringan dengan mereka. “Kau lagi!” Si manis bertudung merah dah mencebik. Rakannya dah tolong balas senyum.
“Ehem.. kalau awak nak mengorat, awak mengorat lah dia, sebab saya dah bertunang. Bagos juga lah awak mengorat dia, sebab dia ni tak ada boyfriend lagi!” Rakannya yang ramah tamah ni memang menyenangkan kerja aku betullah! Si manis bertudung merah dah menyiku-nyiku kebecokan rakannya.
“Minta maaflah, dia ni memang macam singa, tapi hati dia baik. Lagipun, kalau dia makan orang, tak ada lagi kes hilang kepala, tangan kudung ke..” “Dahlia?!” Si empunya nama menyeringai senyum.
“Er.. Dahlia, kawan awak ni memang sombong, ya? Tadi pagi, saya datang sini. Biasalah, pelancong mesti sesat, kan? Tapi, bila saya tanya alamat kat dia, dia cakap tak tahu. Lagi, ada pulak dia marah saya? Em.. tak baik macam ni, kan? Orang cakap segan bertanya sesat jalan. Dah tu macam mana tak sesat kalau macam ni?” Subjek dah menjeling tahap nak tikam rasa! Aku masih senyum-senyum gatal.
“Ish, kau ni tak baik tau buat orang macam ni. Kesian dia.” “Dah, jom balik! Tak payah nak back-up dia lagi!” Dia dah jalan laju-laju, tapi aku masih menahan. “Eh, kau nak apa lagi, haa?! Tak cukup lagi kau dah malukan aku dulu?” Ambik kau! Suara dia memang outstanding, kalah Jaclyn Victor!
“Eh, kau kenal dia ke?” Dahlia buat muka pelik. “Tak kenal, tapi aku ni tak nyanyuk lagi! Mahunya aku tak tak lupa pada orang yang cakap dia cintakan aku kat depan orang ramai, semata-mata sebab bertaruh dengan kawan-kawan dia?” “Hoo.. yang masa kau pergi reunion kat PD tu ye? Dialah mat saleh yang kau cerita tu?” Dahlia dah letak jari telunjuknya di dagu. “Weh, hensem gila. Macam muka Zain Saidin, adik Shasha Elite tu? Ala, yang berlakon semalam dengan Fasha Sandha tu?” Dia dah kerut muka dengar bisikan Dahlia yang juga kedengaran di pendengaranku. Kembang sekejap hatiku mendengar pujian itu.
“Saya rasa kita ni memang ada jodoh lah. Sebab tu saya boleh jumpa lagi dengan awak, si manis bertudung merah. Dahlah setiap kali kita jumpa, mesti awak pakai tudung color merah..,” kataku menyampuk perbualan mereka, masih dalam nada mengorat.
“Sudahlah! Jom balik, Dahlia!” Dia lantas menarik tangan Dahlia sambil menendang basikal atuk aku sampai terbalik. Hish, gile kentang punya gangster minah ni! Buatnya jahanam basikal ni, dengan aku-aku sekali pergi jahanam ni!
“Hei, si cantik bertudung merah! Nama awak apa, haa?” Aku masih memekik.
“Buat apa? Menyibok je!”
“Sekurang-kurangnya saya tahu nama orang yang mandikan saya dengan air oren hari tu!” “Padan muka! Kau berhutang maaf dengan aku!” Aku masih mengejar, belum berputus asa.
“Jangan lupa, awak berhutang air oren dengan saya!” “Mustika! Nama dia Mustika!” Dahlia memekik menjawab soalan aku. Aku memang suka si Dahlia ni, sporting habis! Nasib dia dah bertunang. Em, Mustika. Sedap namanya. Ni yang rasa nak nyanyi lagu M. Nasir ni, Mustika.
Tatkala aku sampai ke rumah, aku dengar suara atuk memekik-mekik. “Awak cakap dengan anak mat saleh tu, bagi tahu yang jangan nak berani-berani sentuh barang saya, termasuk basikal saya!” Aku dengar ayat itu dituturkan Aku terus naik ke ruang tamu. “Kalau atuk rasa lelaki sangat, cakap depan-depan lah. Sejak bila nenek tu dah jadi posmen, nak sampai-sampai pesan atuk pulak?” Keberanian aku buat nenek garu kepala. Atuk mendengus kasar lalu terus berpaling dari terus bertikam lidah dengan aku. Takut juga atuk ni dengan aku!
Macam tu lah selalu aku dengan atuk. Dah macam main aum-cak pulak. Masa aku ada di rumah, dia akan sedaya upaya akan cuba mengelak dari bertembung dengan aku. Aku pulak, tiap kali bersua muka dengan dia, mesti nak ungkit pasal geran tanah. Yalah, dah memang itu tujuan aku ke mari. Sudahnya, tiada kata sepakat langsung diambil. Tapi, aku masih berkeras. Aku mahu hak aku!
Pagi-pagi lagi, aku dah mengayuh basikal atuk (walaupun tak mendapat izin) sambil berjalan-jalan keliling kampung. Kampung yang menjadi saksi cinta babah dan ibu. Kampung yang masih tidak dijentik dengan pembangunan dan permodenan. Penduduknya yang masih ada yang mandi ditelaga, membasuh di sungai dan berpelita di rumah. Sungguh klasik.
Tiba di satu kedai makan, aku nampak wajah kesayangan hamba, Mustika. Memang betul kata aku, kami ni berjodoh lah. Dapat bau je mana jalan dia. Aku mendekatinya sambil menyanyikan lagu Mustika. Terpandang saje muka aku, terus dia tarik muka 14.
“Tak reti nyanyi, lain kali jangan nyanyi. Buat rosak lagu je!”
“Apa, awak ingat saya ni buta Melayu sangat ke, sampai tak tahu lagu Melayu?”
“Memang pun! Muka pun dah tahu, kasanova habis!”
Erk, ada tanda ke kat dahi aku? Bukan kasanova, cuma cari yang terbaik. Termasuk kali ni. Mengejar Mustika, adalah sepayah mengejar merpati. Yang payah, yang tulah yang aku nak. Tapi, mungkin kali ni yang terakhir agaknya.
“Ok, saya minta maaf pasal kejadian bulan lepas dan recently. Saya nak bergurau je dengan awak. Boleh kita berkawan? Saya ikhlas.”
“Tengok lah dulu. Aku tak berkawan dengan mat saleh penjajah.”
“Hish, awak ni perangai macam atuk saya.. sikit-sikit penjajah.”
“Atuk? Kau ni cucu siapa pulak?”
“Atuk saya.. Hussein. Saya anak Mariam dengan William.”
Mustika kelihatan sedikit terkejut. Pesal pulak?
“Hoo.. patot la cikgu Mustika tak layan saya, dah ada orang lain rupanya!” Tegur satu suara membuatkan aku dan Mustika sama-sama berpaling, menfokuskan pandangan pada si empunya suara. Seorang pemuda, dalam usia kami agaknya. Aish, siapa pulak menyampuk ibni potong trip aku nak mengorat ni?
“Ah, jangan nak mengarutlah! Dah, aku balik dulu!” Mustika terus berjalan laju menuju ke kereta Perodua Myvi yang dipangkir di seberang jalan. Aku dan lelaki tadi saling berbalas pandangan.
“Er.. can I.. help you?” Tanya pemuda tadi, sebutir-sebutir. “Tak mintak tolong pun?” Dia pun membuat riak seperti Mustika, pelik. Mungkin pelik mendengar aku boleh bertutur Bahasa Melayu dengan lancar agaknya.
“Aku Asyraf, anak ketua kampung ni. Datang menginap kat homestay tepi air terjun tu ke? Homestay bapak aku punya tu.” “Ada aku tanya?” Jawabku sinis sambil bangun menuju ke basikal tua atukku. “Hei..,” panggil dia agak kurang ajar. Aku sekadar mengikut tindakan refleks, berpaling tatkala dipanggil.
“Jaga-jaga sikit perangai kau tu mat saleh. Paling penting, jangan kacau Mustika. Dia milik aku!” Wah, dengan nada keras, berani dia mengugut aku. “Encik anak ketua kampung, untuk pengetahuan encik, Mustika bukan milik sesiapa. Bukan milik encik, bukan milik saya juga. Dia milik Allah, begitu juga kita.” Haa, kan aku dah bagi khutbah Jumaat seminggu awal! Terus aku dengan selambernya meneruskan kayuhan basikal dan meninggalkan anak ketua kampung itu yang masih ternganga.
Bila aku sampai ke rumah, aku nampak sebuah kereta Ford Fiesta Sport berwarna merah dipangkir dihalaman. Aku dah merengus, sebab aku tahu siapa tuannya kereta itu. Tak sempat aku berpaling untuk keluar dari halaman rumah, namaku diseru manja.
“Raf.. you nak ke mana tu? Penat-penat I cari you sejauh ni, you nak larikan diri pulak dari I, ya?” Aku berpaling. Seorang gadis, berambut blonde dan memakai dress biru paras buku lali. Nasib pakai baju tak terdedah sangat. Kalau tak, lagilah hangin orang tua tu dengan aku.
“Katrina, kan I dah cakap jangan cari I lagi!” Aku dah rimas dan cuba mengelak, tapi Katrina makin galak menghampiriku dan terus memelukku erat-erat. “Last kita jumpa hari tu you kan tak sihat, lepas tu tiba-tiba you hilang. I risaukan you. I call you pun tak dapat. I miss you damn much.” Memang la tak dapat contact minah oii. Aku dah campak handphone aku dalam laut, datang sini pun dengan bas. Pelik, mana dia tahu aku ke sini? Ish, ni mesti kawan-kawan aku yang jenis tak boleh simpan rahsia ni punya angkara.
“Haa.. bagos lah tu. Dah kalau anak penjajah, memang tak ubah perangainya! Elok sangat lah nak sebar maksiat dia tu sampai ke sini!” Aku dengar atuk dah bertempik di atas rumah. Adoi, sakit kepala aku macam ni. Tak sudah kisahnya ni.
Aku heret Katrina jauh sikit dari kawasan rumah, ke pangkin bawah pokok jambu. “Kat, listen hear. Please, stay away from me. I need to be alone. Please, back to Singapore, now. Sia-sia je apa yang you buat ni.” Katrina terkejut amat dengan kenyataan yang aku keluarkan. Matanya dah berair.
“Kenapa pulak, Raf? I love you, father I pun dah setuju sangat kalau kita kahwin!” “Sorry, but I don’t love you. Sound cruel, right? But to be honest, I have to say this. I don’t love you..” “Raf?!” Katrina pegang erat lenganku.
Aku terdengar bunyi sesuatu jatuh di belakang kami. Aku berpaling ke arah pintu masuk halaman rumah. Mustika! Mustika sedang mengutip mangkuk tingkatnya yang jatuh. Nampak sahaja aksi Katrina yang sibok memegang wajahku, menyuruhku berpaling bertentang mata dengannya, menyebabkan Mustika cepat-cepat berlari jauh dari kami. Aduh, bala apa pulak kali ni? Inilah orang cakap, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Kenapa semuanya kena berlaku dalam masa satu hari?
“Raf.. look at me, tell me.. apa yang Alex dah beritahu you sampai you sanggup nak putuskan hubungan kita? Jangan percaya apa yang dia cakap! Alex tu cemburukan hubungan kita!” Aku longgarkan pegangan tangannya padaku untuk kesekian kalinya. Huh, batal air sembahyang aku!
“Dia tak beritahu apa-apa. Lagipun, selama ni memang kita tak ada hubungan apa-apa. Kita kawan, I dah bagitahu you banyak kali. Kita kawan sebab parents kita berkawan. That all, full stop. Dah, sekarang, you balik. Tak pun, you balik pada Alex. Alex tu jauh lebih cintakan you dari I.” Aku mengheretnya masuk semula ke perut kereta. Katrina dah meraung-raung. Aku buat tak faham dan mengarahkan dia pergi. Side mirror diturunkan.
“Raf..?” Katrina panggil aku sambil buat muka sedih, konon-konon aku akan cair. “Kat.. kalau you sayangkan I, dengar cakap I. Lupakan I. You berhak untuk bahagia, tanpa I.” “No.. Raf! Raf!” Aku terus berjalan tanpa mempedulikannya. Serabot!
Aku senyum melihat Mustika sedang duduk mengelamun di danau, di tengah bendang. Dahlia, merangkap spy bertauliah aku beritahu. Senang kerja betul kalau ada Dahlia.
“Cemburu?” Aku serkap jarang sambil ketawa lepas, melihat dia terkejut. Dia tambah memuncung. “Tolonglah.. tak ada masa!” “Tapi, sikit tu ada lah?” “Ada.. ada menyampah! Geli! Meluat!” “Haa.. jangan benci, nanti jadi sayang tau!” Mustika terdiam. Mungkin termakan dengan kata-kata aku.
“Cantik kan Katrina tu? Tapi, saya sayangkan dia macam adik. Sebab kami sama-sama membesar. Kesian dia, dah salah tafsir kasih sayang saya pada dia. Dia kurang kasih sayang seorang ibu, sebab tu ibu suka manjakan dia…” “Hello..” Aku belum habis mukadimah, Mustika dah menyampuk.
“.. Aku tak nak tahu dan tak mahu ambil tahu!” Mustika menjeling aku sampai terbalik mata hitamnya. Adoi, garangnya! Cungkil biji mata tu karang! Tahulah mata dia tu besau!
“Tapi, saya tetap nak awak tahu dan nak beritahu!” Mustika dah buat muka fed-up. Dia bangun menghadapku. “Ah.. tak payah! Aku tahu semua tu dusta! Bohong! Dah nama pun kau anak penjajah! Dulu, mak bapak kau, sekarang kau! Eh, kau tahu tak, kau sama je dengan mak bapak kau! Semuanya tipu.. penipu!” Secara tiba-tiba, Mustika menempelak dan secara tiba-tiba juga darahku menyirap.
“Hei!” tempikku membuatkan Mustika berpaling. Aku berjalan laju ke arahnya membuatkan dia nampak cuak.
“Kalau awak tak suka saya, marah dan benci saya saja! Jangan nak libatkan mak bapak saya! Diaorang tak ada kaitan, faham?!” Pekikku, hanya seinci dari wajahnya. Mustika masih kelu di depanku, mungkin terkejut dengan tindakan luar jangkaku yang berubah secara mendadak. Tak semena-mena, marahku dihambur kepadanya. Mana tidak, dia keluarkan isu sensitif.
Aku terus berpaling darinya, bila kurasakan mataku sedikit berpasir. Cepat-cepat aku berlari jauh darinya. Biarlah, biar dia tahu aku sangat marah.
Tengah hari tu, semua jemaah di masjid itu, memandang aku atas ke bawah. Ish, pelik sangat ke aku datang kat masjid ni nak Jumaat dengan korang, haa? Eh, aku Islam lah. Ingat aku tak reti sembahyang ke? Ingat aku saje nak action ke kat sini?
“Encik ni nak melawat ke kat sini?” tanya seorang pak cik kepadaku. Aku bersalam dengannya, tanda hormat. “Tak lah, saya nak sembahyang lah. Jumaat..” Semua terpegun, sambil berbisik-bisik sesama mereka. Aku yang tak pekak ni masih boleh mendengar ketakjupan mereka terhadap aku yang boleh berbahasa Melayu dengan lancar.
“Tak ubah macam muka William. Anak ni ada kena mengena ke dengan dia?” Sapa seorang pak cik lagi, sebaya babahku. “Pak cik kenal babah saya?” Terujaanku terpancar. Dia hanya senyum. “Kita cerita panjang lepas solat, ya?” Aku mengangguk, sambil dada menahan debar.
Usai solat, aku dijemput pak cik tadi ke rumahnya. Aku memandang ke segenap pelusuk ruang tamu rumah kayu itu. Ringkas, kemas dan menarik. Aku suka, ada unsur Melayu lama juga pada hiasannya, dengan piring hitam masih terpacak di sudut rumah. Pak cik tadi yang dikenali pak cik Musa hanya senyum, sambil disebelahnya mak cik Ruhana yang masih tidak berkelip memandang aku. Heh, hensem sangat ke si mata biru ni?
“Pak cik mintak maaf lah pasal Mustika tu. Anak kami tu memang beremosi sikit kalau dengar bab Inggeris, Jepun, komunis ke.. dia tu patriotik lebih sikit. Ala, cikgu sejarah la katakan!” Eleh, aku punya emosi, tak mahu peduli ke?
“Eh, awak ni kalau ya pun, tutup la mulut tu. Lalat berpusu-pusu nak masuk tuh,” Pak cik Musa berseloroh sambil mencuit mak cik Ruhana. Dia cepat-cepat tutup mulut sambil tersengih malu.
Kami sama-sama menyoroti jalan kenangan zaman muda mereka. Aku senang dengan mereka, sebab mereka lebih kenal dengan ibu dan babah. Lama juga aku menghabiskan masa dengan berbual-bual bersama mereka sehingga tidak sedar sudah hampir masuk waktu Asar. Sebelum pulang, aku menyalami mereka. Ah, tiba-tiba rasa macam bersalam dengan ibu dan babah pulak!
Baru saja kaki aku nak jejak pintu pagar rumah mereka, sebuah kereta berhenti di depan. Aku mendongak. Mustika keluar dari kereta, menghampiri aku. Aku diam, bersama perasaan yang kosong. Tak tahulah aku masih marah atau merajuk. Apa, aku merajuk?
“Encik mat saleh… aku, er.. saya mintak maaf pasal kejadian hari tu. Tak patut saya babitkan keluarga awak, kan? Maafkan lah saya.” Aku masih tidak berbicara, hanya memandangnya lama. Sebenarnya ambil peluang nak tenung dia lama-lama!
“Encik mat saleh.. maafkan lah saya. Saya betul-betul menyesal ni. Kalau awak tak maafkan saya, lagilah mak ayah saya tengok saya macam nak makan saya. Tapi, bukan sebab mak ayah saya je, tau. Memang saya sendiri nak mintak maaf ni. Ikhlas.. janji tak buat lagi..” Dia masih merayu.
“Tengok lah dulu. Saya memang susah sikit nak maafkan orang. Kan saya ni penjajah.” Opss, terbagi ayat sadis la pulak. Mustika dah buat muka nak menangis. “Kejamnya? Ok.. saya maafkan awak dan awak maafkan saya. Deal?” Aku berkira-kira sebentar. “Ok, dengan satu syarat.” “Apa dia?”
Ya, dengan secara rasminya aku dan Mustika dah berdamai. Kami bukan saja dah berdamai, tapi dah jadi kawan baik. Syaratnya, Mustika kena teman aku berbasikal keliling kampung petang tu jugak. Ah, bahagianya!
“Budak-budak lelaki ni tak bekerja ke?” Soalku bila tiap kali aku melewati warung kopi ini, pasti aku nampak longgokan pemuda kampung sedang berkumpul sedang bermain gitar sambil berborak kosong. “Kerja? Haa.. itulah kerja diaorang. Melepak. Pastu jadi konco-konco si Asyraf. Buat kerja tak berfaedah!” “Siapa Asyraf?” “Ala, budak hari tu yang kita jumpa tu? Anak ketua kampung.” Aku mengangguk sambil mulut buat huruf O.
“Ada lagi ya anak-anak kampung ni yang tak bersekolah?” Aku tanya, saja nak sibok. “Ada lah jugak. Alasan, nak tolong mak, tak berminat la. Dah diaorang tak nak, takkan kita nak paksa, kan?” Mustika hanya mencebik. “Hish, cik cikgu ni. Bukan lah paksa, tapi pujuk. Kita kenalah ambil peranan. Anak bangsa kita juga nanti yang keciciran.” Mustika melopong mendengar penjelasan aku. Apa? Ingat orang luar tak boleh bagi pendapat ke?
“Itulah rumah ketua kampung..” Mustika memuncung pada sebuah banglo tiga tingkat di tepi jalan besar. “Pak cik Amran?” “Eh, tak lah. Sekarang, anak dia pulak yang pegang jawatan tu..” “Arsyad?” Mustika mengangguk. “Eh, awak kenal ke pak cik Arsyad?” Aku diam, konon-konon tak dengar soalan dia tadi. Bukan setakat kenal. Tapi, takkan aku lupa nama itu.
Pagi tadi, anak dia datang beri amaran kedua pada aku supaya jauhkan diri dari Mustika. Sekarang, bapak dia pulak yang datang jumpa aku di pangkin halaman rumah. Aku tak pasti apa tujuan dia, tapi inilah pertama kali aku jumpa orangnya Arsyad ni setelah bertahun aku dengar nama dia diseru. Macam ni rupa dia. Tak adalah hensem mana pun.
“Datang kalau nak menziarah, buat cara nak menziarah. Jangan nak sibok nak jaga tepi kain orang lain..” Orang tua Arsyad ni terus terjah aku kalah abang rambut ketak Melodi, tanpa sebarang signal atau hon. Betul kata Mustika, orang kampung ni terlalu taksub pada ketua kampung mereka. Terlalu memuja, terlalu menghormati hingga takut kepadanya dan keluarga. Lihat saja reaksi atuk dan nenek, hanya menempel di tepi rumah, tidak berani untuk masuk campur.
“Assalamualaikum..” Salamku tak berjawab. Huh, dosa tau! “Hoo.. jadi macam ni lah caranya seorang ketua kampung menyambut kedatangan seorang tetamu? Wah, sangat bersopan, gembira rasa.” Aku membalas balik sinis terjahan dia tadi. Mukanya nampak memerah. Marahlah tu!
“Ahh.. aku tak peduli lah semua tu! Sekarang ni, aku nak tahu. Yang kau ni sibok-sibok suruh orang kampung tu tak bayar duit sewa tempat letak bot tu kat aku, kenapa? Aku ada hutang dengan kau ke?” Aku senyum. “Ada.. sebenarnya. Sebab, tempat letak bot tu, dalam kawasan tanah ATUK saya..” Sengaja aku tekankan frasa atuk tu. Biar dia yang hilang ingatan tu cepat sedar sikit.
“Orang tua tu memang atuk saya, tapi Tuan William pun atuk saya juga.” Aku tuding jari kepada atuk aku yang dari tadi terpacak kat sebelah nenek. “Jadi, dulu bolehlah encik ketua kampung menggunakan sebaik-baiknya harta atuk saya tu. Tapi, sekarang, saya dah balik semula dan nak kaut semula harta atuk saya yang dah banyak sangat dia dermakan pada encik ketua kampung. Pak cik ingat, pak cik sorang je ke nak kaya?” Pak cik Arsyad tambah mengembang hidungnya.
“Orang pejabat tanah dah ukur. Dia cakap tempat tu dalam kawasan tanah saya. Jadi, sila jangan perasan. Lagi satu, nanti jangan lupa alihkan besi buruk kat belakang rumah pak cik ye?” “Besi buruk belakang rumah aku? Rasanya kereta-kereta aku, adalah.. ” “Ha.. ye lah tu. Besi buruk lah. Tolong ya. Sebab saya nak buat kandang kambing kat situ.” Kenyataan aku membuatkan telinganya seperti berasap.
“Kau nak buat kandang kambing belakang rumah aku?!!” “Eh.. eh, kurang pendengaran pulak pak cik ni. Buat apa nak ulang ayat saya macam recorder nih? Hurm, kalau atuk saya tak bagi geran tu pun, saya tetap nak buat kandang tu. Kenapa, ada masalah ke?” Dia angkat telunjuk ke arah aku. “Kau memang nak cabar aku! Kau memang..!” “Ya, saya memang anak William. Sekali lagi saya tanya, apa masalahnya?” Pak cik Arsyad mendengus kasar lalu berpaling pergi dari kami. Aku tergelak melihat tingkahnya. Macam budak-budak, pekak pulak tu!
Sedang aku menggilap-gilap basikal yang secara tak rasmi dah macam kepunyaan aku tu, nenek menghampiri aku dengan sekeping sampung surat coklat. Aku mendongak memandangnya.
“Apa ni, nek?” Nenek senyum. “Geran tanah mak kamu la.” “Nenek curi dari atuk, ya? Tak mahulah saya. Saya nak dia bagi sendiri kat tangan saya. Nanti kang, dia patah-patahkan pulak basikal ni.” Nenek gelak sambil aku sambung kerja.
“Rafael.. atuk kamu sebenarnya sayang sangat pada mak kamu.” Bicara nenek buat aku berhenti dari kerjaku. Terus aku menoleh memandangnya. “Cuma dia ego. Sebab tu dia sayang sangat pada basikal ni. Dengan basikal ni lah dia bawak Mariam berjalan-jalan keliling kampung, dan bila Mariam dah besar, hanya Mariam saja yang dibenarkan bawa basikal ni. Basikal nilah satu-satunya kenangan dia dengan mak kamu.” Aku senyum. Ya, ibu pernah cerita pasal basikal dia. Mengenang cerita itu, mahu saja aku pikul basikal ni menghadap ibu.
“Musa dan Ruhana ada cakap. Dia beritahu yang kamu nak geran ni sebab nak bukak kandang kambing. Nak suruh budak-budak kampung yang tak bekerja tu usahakan, betul ke?” Aku mulanya yang mahu berahsia, terpaksa mengangguk.
“Kalau macam tu niat kamu, tak apalah. Ambil lah geran tanah ni, pegang. Kalau kamu nak jual, tapi untuk niat yang baik pun, nenek izinkan.” “Ala, nenek yang bagi, bukan atuk.. kan?” “Atuk tu, biar nenek yang selesaikan..” Nenek mengunjukkan lagi sampul itu, membuatkan aku mengambilnya. “Terima kasih, nek..” Nenek senyum dan menapak meninggalkan aku.
“Kamu.. sebenarnya sayangkan atuk jugak, kan?” Pertanyaan dia buat aku terkejut. “Huh?” “Kamu sengaja je cari pasal dengan atuk.. Biar dia bercakap dengan kamu? Tak payah lah sembunyi, nenek tahu jugak!” Aku tergelak. Nenek ni tahu serba serbi. Ada ‘bela’ kah?
Mustika senyum-senyum menghadap aku petang itu. “Kenapa?” Soalku pelik. “Tak sangka, awak ni sebenarnya superhero, dan awak sekarang dah jadi hero semua orang.” Aku kerut muka. Supermankah aku?
“Iya? Apa mereka panggil saya? Mat salleh man?” Mustika gelak besar. “Tak sangka.. budak nakal yang dulu saya ingat kasanova, yang suka main-main, bukan sekadar pusing kampung dengan basikal saja-saja. Awak yang sedarkan saya betapa tugas dan peranan saya sebagai guru bukan setakat akhir bulan dapat gaji saja. Haa.. awak jugalah orang pertama yang berani melawan ketua kampung, tau?” Aku pula yang mengambil tempat untuk gelak besar.
“Dulu, masa nenek moyang awak datang, macam-macam Inggeris tu buat nak takluk tempat ni. Hinggalah berganti tangan sampai ke Tuan Wilson. Tapi yang pelik, William tak ikut perangai bapak dia. Dia baik dengan semua orang, cuba membantu apa yang mampu. Macam-macam dia janji untuk mengubah nasib orang kampung. Tapi, bila dia menghilang, semua orang macam putus asa untuk rasa senang. Tambah pulak bila yang jadi ketua kampung sekarang ni pun sama macam Tuan Wilson. Nasib anak William kembali pulihkan keadaan.” Aku sekadar senyum sambil menunduk.
Apa yang aku buat ini sedikit saja. Dengan sedikit duit yang aku ada, aku tambahkan apa yang kurang di kampung ini. Kandang kambing itu untuk pemuda-pemuda kampung. Dari mereka melepak tanpa kerja, baik mereka usahakan kandang itu sendiri. Jika tidak dagingnya, mungkin susunya, tidakpun najisnya. Semuanya boleh dikomersialkan. Tepi balai raya dah ada kelas jahitan untuk wanita-wanita belajar menjahit. Kiranya mereka tidak bergantung kepada si suami saja untuk mencari perbelanjaan hidup. Malam hari pula ada kelas tusyen, untuk anak-anak mengulangkaji atau belajar. Jadi, pada yang tidak berpeluang ke sekolah, sedikit sebanyak mereka tahu membaca, menulis, mengira. Kelas fardhu ain masih berjalan tiap-tiap hari di surau kampung. Hari Sabtu, ada kelas Bahasa Inggeris, agar nanti tidak kekok jika berhadapan dengan pelawat asing. Hujung minggu pula ada kelas komputer untuk semua penduduk kampung sama-sama berada dalam kemodenan dan kemajuan dunia. Tidak perlu bayaran, hanya perlu menghadirkan diri saja. Tenaga pengajar semuanya diimport dari luar. Sekarang, sedang disiapkan sebuah padang futsal, tidak jauh dari balai raya. Kiranya, waktu malam pun mereka boleh menyihatkan tubuh badan. Homestay kampung ini telah diiklankan di internet dan kedatangan pelawat luar cukup menggalakkan.
Paling penting, penduduk kampung tidak perlu membayar apa-apa wang perlindungan, cukai atau sewa khususnya kepada ketua kampung. Konon duduk di tanah kepunyaan ketua kampung, jadi perlu membayar bermacam bayaran lebih kepadanya. Lambat bayar di kedai runcitnya atau pinjam duit darinya pun perlu bayar bunga. Pinjam barang kepunyaannya untuk kenduri pun perlu beratus-ratus. Jual hasil pertanian dan ternakan pun untungnya pada orang kampung bukan main sedikit. Hei, itu semua pada zaman Tuan Wilson. Sekarang zaman dah maju.
“Baru awak tahu yang saya ni bukan anak penjajah kejam yang selalu awak gambarkan dulu.” Aku dah pamer muka berlagak. “Iya? Kalau macam tu meh saya nak bagi pop kuiz. Nak uji awak ni betul-betul bukan anak penjajah kejam.” “Silakan cik cikgu..”
“Bilakah Jepun menawan Kuala Lumpur?” Mustika bertanya sambil mengangkat sebelah kening. Aku tahu, mesti dia yakin aku tak boleh jawab! “11 Januari 1942,” jawabku tenang dan bersahaja, membuatkan dia kerut muka. “Kacang punya soalan! Tak boleh bagi yang thrill lagi ke?” Aku buat muka berlagak.
“Bilakah UMNO ditubuhkan secara rasmi, dan siapakah presiden pertama?” “11 Mei 1946. Dato’ Onn Jaafar jadi presiden utama. Ditubuhkan bagi menyatukan orang melayu untuk menentang gagasan Malayan Union.” Hah, siap dengan penerangan membuatkan Mustika tak senang duduk.
“Hah.. bila pilihanraya umum pertama diadakan?” “Eleh, 27 Julai 1955. Parti Perikatan menang 51 kerusi.” Mustika masih tak putus asa. “Soalan last. Ni, conferm tak dapat jawab. Kat mana pengishtiharan kemerdekan berlangsung?” Aku tergelak.
“Ini budak tadika boleh jawab! Sah-sahlah kat Stadium Merdeka! Adoilah, cik Mustika. Surrender jelah. Sebelum jadi lawyer, saya dulu pengkaji sejarah, jadi fakta itu semua dah jadi makanan saya, tau!” Aku gelak kuat-kuat, membuatkan Mustika dah memuncungkan mulut dan berpaling dari menghadap aku.
“Mustika…,” Panggilku pada Mustika membuatkan dia angkat kening. Lama keadaan begitu, sampai dia petik jari depanku. “Apahal lah encik mat salehman ni!” Marahnya bila aku hanya diam. Aku pun pelik, sebab aku suka tengok dia marah. Heh, kalau dah suka tu kentut pun bau wangi!
“Saja, suka panggil nama awak. Selalu panggil nama awak, dari mulut boleh turun ke hati.” “Dah.. dia dah buat keluar dah ayat jiwang dia! Mat saleh ni tak boleh betul kalau orang puji dia sikit, naik lemak lah tu!” Aku gelak lagi bila dia dah mencebik.
“Mustika.. awak cintakan saya tak?” Mustika segera berpaling ke arah aku. Terkejut bukan kepalang. Tak sangka barangkali. Biasalah, aku ni memang seorang yang berterus terang sikit.
“Jangan jawab lagi soalan saya.” Dia kerut dahi. “Sebab, saya nak beritahu awak yang..,” Aku tarik nafas demi menuturkan ayat keramat ini. Aku lihat Mustika sudah senyum malu-malu.
“Saya nak awak tahu yang.. saya tak cintakan awak.” Aku memberanikan diri memandangnya. Belum sempat aku mengulas lanjut, satu tamparan sudah hinggap di pipiku.
Aku memegang pipiku. Tak sakit, cuma pedih hingga ke hati.
“Kau memang suka nampak aku bodoh kat depan kau, kan?” Tak. Tapi ayat itu hanya sempat aku laung dalam hati sebab Mustika sudah melangkah laju meninggalkan aku. Ada titis airmata sebelum dia berpaling tadi. Ah, biarlah dia terluka sedikit hari ini, dari dia terluka lebih banyak kelak.
Tumbukan Asyraf tepat mengena pipiku. Aku terdorong jatuh ke bumi. Sambil memegang pipiku, aku memandang anak ketua kampung yang dah memang menunggu masa saja untuk melempiaskan dendamnya. Mana tak dia marah, orang-orang suruhannya yang dulu bersama dengannya membuat jenayah sudah sibok mengusahakan kandang kambing, jadi nelayan dan bercucuk tanam.
“Kau, dah lah datang kampung ni buat huru-hara. Lepas tu, yang aku tak boleh terima, kau dah mainkan Mustika. Kan aku dah beritahu dulu, jangan kacau dia. Apasal kau degil, haa?!” Hoo.. ini pasal Mustika lah. Mustika yang mengadu atau Asyraf yang sibok ambil nak ambil tahu?
“Buat apa lah aku nak mainkan dia. Bukannya dia anak patung pun. Lagi satu, yang dia nak perasan sangat kenapa? Aku bukannya ada janji apa-apa dengan dia?” Sengaja aku memancingnya dengan ayat begitu. Aku menunggu lagi tindakan dia yang selanjutnya.
Dia mencekik kolar leherku membuatkan aku turut bangun. Aku nampak dia dah genggam penumbuknya. Aku hanya pejam mata dan terima saja apa yang mahu dilakukannya, melawan pun tidak. Entah mana datangnya, aku dengar tempikan suara atuk. Atuk?
“Hei, kau nak buat apa dengan cucu aku, haa?!” Kami saling berpaling ke arah suara atuk. Amek kau, dia pegang parang! Aku terkejut bukan kepalang, Asyraf lagi lah. Terus dia lepaskan genggaman tangannya dan lari lintang pukang, tak cukup tanah lagi. Bila saja atuk menghampiri aku, pandangan aku dah berbalam-balam. Atuk dah jadi dua, tiga dan ahh.. akhirnya, semuanya gelap.
“Buat malu je mengaku cucu aku. Tak reti langsung nak bersilat!” Atuk dah cekak pinggang sambil nenek senyum di sebelahku. Aku melihat sekeliling. Oh, aku dibilik rupanya. Ingat dah masuk wad tadi.
“Bukan tak reti, malas nak tunjuk terror je. Saje je suruh dia lebamkan muka saya. Lepas tu, boleh saya report polis.” Nenek dah gelak, atuk.. macam selalu lah. Mencebik lalu berpaling pergi. “Atuk kamu malulah tu. Tadi bukan main risau!” Aku senyum. Tak kisahlah, yang penting sekarang aku mahu sambung tidur balik. Penat bukan kepalang.
Bunyi keriuhan mengejutkan aku dari lena. Lambat-lambat aku membuka mataku yang rasa seperti ditindih batu. Aku nampak nenek dan atuk di sebelahku. “Baru kena tumbuk sikit, dah demam berhari-hari. Anak manja betul!” Kedengaran suara atuk membebel. Ah, suara dia saja dah menambahkan berat kepala saja!
“Apa bising-bising kat luar tu, nek?” tanyaku pada nenek, langsung tidak menghiraukan kehadiran atuk di situ. “Oh, tu ada jiran-jiran datang bertandang. Dengar je cerita Rafael tak sihat, semuanya sibuk nak menjenguk.” Aku senyum tawar. Wah, keprihatinan mereka buat aku terharu!
“Betul ke Rafael tak nak pergi hospital ni? Pucat lagi muka nih?” Aku geleng kepala laju-laju. “Tak payah lah nek. Saya ok. Demam sikit je ni. Berehat kejap, nanti dua tiga hari kebah lah. Dah biasa macam ni..” Nenek pula yang geleng kepala. Dia kemudiannya mendekatkan wajahnya ke telingaku, berbisik. Atuk dah keluar dari bilik, membiarkan kami berdua.
“Rafael demam sebab gaduh dengan Mustika, ya?” Aku terkejut. Betullah nenek ni puan serba tahu. Aku senyum lalu geleng perlahan-lahan, sebenarnya cuba cover malu. Tapi, itu bukan sebab utama. Hanya ditokok tambah sebagai penambah perasa saja.
“Nek?” Aku memangilnya perlahan sambil genggam jemarinya. Nenek lantas memandangku. “Nenek sayang saya, tak?” Dia senyum sambil matanya bergenang air mata. Tangannya laju meraut rambutku. “Kenapa pulak nenek tak sayang? Kamu kan cucu nenek?” Aku tergelak. Saja, bermanja ibni menggedik dengan nenek.
“Saya sayang nenek, atuk lagilah saya sayang. Kalau nenek sayang saya, janji dengan saya jangan menangis, ok?” Nenek kerut muka. Mungkin terbau kelainan dalam tutur bicara aku. “Kenapa cakap macam tu?” “Sebab, saya nak bagi geran tanah kebun pisang atuk tu. Janji mesti dikota, kan? Ada atas meja tu, sekali dengan geran tanah kandang kambing tu. Nenek ambillah semula, ya?” Nenek memandang ke arah aku merujuk. Satu sampul surat coklat bersaiz A4 ada di situ. “Rafael..,” katanya lantas memelukku. “Lor, tadi kan dah janji tak mahu menangis?” Nenek tergelak sambil mengelap air matanya dengan hujung baju.
Pagi itu, aku terjaga lagi. Keriuhan lagi yang mengejutkanku. Tapi, kali ini kedengaran lain. Aku gagahkan kaki untuk bangun, menapak ke ruang tamu.
“Saya tak tahulah, tuk. Bila saya datang je ke kandang pagi tu.. kandang tu dah hangus terbakar. Dengan kambing-kambing pun jadi jenazah..,” kenyataan dari pekerja kandang itu benar-benar membuatkan dadaku sesak. Kandang terbakar?
“Betul ke apa kau cakap ni, Mamat?” Aku mencelah, membuatkan semua yang ada di ruang tamu memandangku sekaligus. Mereka kelu, tidak dapat berbicara seolah-olah bisu. “Jawab soalan aku, Mamat! Betul ke kandang kambing dah terbakar?!!” Aku memekik membuatkan semua yang ada kecut perut. Yalah, inilah agaknya pertama kali mereka melihat aku sebegini baran.
“Sabar Rafael.. bawak mengucap. Kamu tu kan tak berapa sihat lagi?” Nenek cuba memujuk, tetapi aku dah tak layan. Tiba-tiba aku jadi sihat. Sihat yang diubati oleh amarah yang membuak-buak.
“Mamat, kau tahu siapa yang buat?” Mamat masih menunduk. Rakan-rakannya di kiri dan kanannya pun sama. “Aku tanya ni.. kau tahu tak siapa punya angkara ni?!” Aku yang dah hilang sabar dengan kebisuan mereka bertindak diluar sedar dengan menerpa ke arahnya dan mengoncang bahunya. Semua yang ada di situ cuba mententeramkan aku. Genggaman tanganku dileraikan. Nafasku tercungap-cungap menahan marah.
“Cakap je lah, Mamat! Cerita apa yang kau nampak semalam..,” Aju rakan disebelahnya. Mamat takut-takut memandangku. “Sebenarnya, semalam saya nampak Asyraf.. Dia beli minyak gas dua tong kat kedai kat pekan. Kebetulan saya pergi situ hantar adik. Tapi, saya tak tahu lah dia buat apa dengan benda tu. Saya syak je, tapi tak ada bukti.” Aku diam sejenak. Cuba berfikir secara rasional. Tapi, tak boleh. Memang aku nampak muka Asyraf saja dalam hal ni. Dasar lelaki tak guna!
Aku sudah berada dipekarangan rumah ketua kampung. Terpekik terlolong memanggil, barulah Asyraf muncul. Salute jugak lah aku pada mamat ni. Sekurang-kurangnya dia masih lagi tak malu dan berani muncul di khalayak. Tapi, mungkin juga dia hanya buat-buat berani sebab yang ada hanya aku seorang di situ.
“Eh, apahal kau, mat salleh? Pagi-pagi buta dah memekak kat rumah orang ni. Suka-suka kau je, kau ingat ni rumah bapak kau ke nak main terjah sesuka hati?!” Hee.. aku pantang betul kalau orang sebut nama penting dalam hidup aku, pada waktu yang tak sesuai. Tapi, aku buat cool. Tengah tahan sabar ni.
“Aku tak nak cerita pasal rumah ni. Aku nak cerita pasal kau! Apa yang kau dengki sangat sampai nak bakar kandang kambing aku tu? Cuba kalau aku bakar rumah kau ni, kau gelak tak?” Ceh, aku masih mampu untuk psiko lelaki durjana kat depan aku ni. Dia sengih, peh.. menganjing aku lah tu!
“Kau ada bukti ke? Suka hati kau je tuduh aku. Mentang-mentang lah kandang busuk kau tu belakang rumah aku, jadi aku lah yang bakar?” “Kau ingat aku ni macam kau ke.. buat kerja pakai kepala lutut? Sebab aku ada buktilah aku tanya!” Hah, aku dah tipu sunat. Tapi, aku nampak perubahan pada air mukanya. Nampak cuak!
“Ah, apa.. buktinya?” Asyraf dah tergagap-gagap. “Kau polis ke sampai aku nak kena beritahu kau apa yang aku dapat? Sudahlah, semuanya aku dah serah ke balai. Entah-entah kalau bukan kes bakar kandang ni, silap-silap hari bulan memang kau ditakdirkan berhidup kat penjara kut? Kau ingat aku tak tahu ke kau yang bawak dadah masuk dalam kampung ni dan jual pada budak-budak ni?” Asyraf dah mengenggam penumbuk, tetapi belum sempat dia bertindak, muncul pula pak cik Arsyad di belakangnya.
“Hei, ni apahal kecoh-kecoh pagi-pagi ni? Kau ni mat saleh, sehari tak buat pasal, tak lengkap ya hidup kau?” Aik, aku pulak yang kena? Padahal anak dia tu yang cari pasal!
“Haa.. bagoslah! Pelakon sebenar dah muncul! Bapak dengan anak sama je!” Pak cik Arsyad menyinga bila dia tak semena-mena terbabit.
“Eh, mat salleh! Kau ingat, kau dah jadi hero kampung sekarang, kau boleh berlagak ya?! Nak tunjuk pandai depan aku! Ingat sikit asal usul kau tu! Kau tu sikit pun tak ada kena mengena kat sini!” Sergahan pak cik Arsyad buat aku gelak besar. Sepatutnya aku yang tujukan ayat itu kepadanya. Haa.. suda tukar kah?
Atuk, nenek, pak cik Musa, mak cik Ruhana dan beberapa orang kampung datang di belakang aku. Sempat aku mengerling, eh.. Mustika pun ada? Dia hanya memandang aku tanpa reaksi. Huh, merajuk lagi lah tu!
“Saya ke.. pak cik yang kena ingat asal-usul? Pak cik lupa ke, pak cik dulu tu orang biasa macam lain-lain penduduk kampung je. Tapi, oleh sebab keluarga pak cik tu dah jadi tali barut Tuan Wilson, sebab tu pak cik dapat apa yang pak cik dapat sekarang ni!” Pak cik Arsyad telan air liur mendengar ceritaku. Tapi, tak lama selepas itu, dia tergelak. Eh, sewel ke apa orang tua ni?
“Tuan Wilson yang bodoh, percaya pada semua cakap aku dan bapak aku! Hidup, kena pandai ambil kesempatan!” “Yalah.. sampai dengan Mariam pun kau ambil kesempatan, kan?!” Aku terus menukar kata pengganti nama bila menyebut cerita berkenaan ibu dan babah. Tiba-tiba keadaan jadi sebak.
“Eh, apa kau mengarut ni.. haa?!” Pak cik Arsyad dah cuak, macam anak dia tadi jugak. “Macam aku tak tahu yang kau ada hati dengan ibu aku, Mariam! Dah lama kau ada hati dengan dia. Tapi, bila Mariam tolak cinta kau, dan bila kau dapat tahu yang Mariam bercinta dengan William.. kau terus cabul kehormatan dia! Atuk.. si keparat ni lah yang sebenarnya dah rogol ibu!” Kenyataan aku yang mengemparkan halaman rumah besar itu. Semuanya terdiam, atuk dan nenek lagilah!
“Ya.. dialah puncanya. Punca ibu dan babah dibuang keluarga. Tapi, semua orang tak percaya. Kau ugut Mariam, kalau Mariam dedahkan tentang hal kau, kau akan beritahu semua orang mengenai percintaan terlarang mereka. Kerana cintakan Mariam, William sanggup mengaku yang anak dikandung itu ialah anaknya dan mereka bernikah. Kau lah yang memusnahkan hidup mereka. Kau!” Aku nampak pak cik Arsyad dah menggeletar mendengar kisah hidupnya. Dia merapati aku.
“Jadi, kau anak aku?” Aku menepis tangannya bila hampir dengan wajahku. “Kalau aku anak kau sekalipun, aku takkan mengaku kau bapak aku! Untuk pengetahuan kau, anak kau dah mati! Keguguran.. Mariam keguguran kerana tekanan hidup. Tetapi, rezeki memihak mereka. Mariam mengandung lagi dah muncullah aku untuk menyedarkan kau, tentang kesalahan masa silam kau!”
Pak cik Arsyad terduduk di tanah rumput itu. Begitu juga Asyraf. Atuk dan nenek masih terpaku di tepiku. Semuanya melongo, melopong seolah sedang menonton slot samarinda.
“Kau bongkak, sombong dengan kekayaan kau! Kau tindas orang kampung, jual tanah orang kampung yang Tuan Wilson bagi pada kau, dan hasilnya kau yang kaut. Kau sama dengan je dengan legasi sebelum Tuan Wilson. Tuan Wilson meletak kepercayaan kepada bapak kau dan kau sebab dia tidak mahu kesilapan lampaunya berulang kembali di sini. Tapi, kau sendiri yang sebenarnya menjajah bangsa kau!” Pak cik Arsyad dah menangis sambil terduduk. Tiada guna lagi wahai orang tua. Nasi dah jadi bubur lambuk.
“Aku datang bukan nak balas dendam, cuma aku nak sedarkan kau. Aku hanya nak betulkan keadaan. Kita boleh berubah..” “Tidak.. ini semua harta aku! Harta aku!” Lor.. tak insap lagi orang tua ni?
“Jom kita bawak mereka ke balai!” Kata salah seorang penduduk kampung lalu mereka menyerbu ke arah pak cik Arsyad dan Asyraf yang cuba melarikan diri. Keadaan jadi hingar bingar. Bahang panas mentari semakin menyengat. Tiba-tiba aku rasa tak dapat mengimbangkan badan. Semuanya rasa berpusing. Ya Allah, adakah masaku telah tiba?
Bila aku buka mata, aku perasan aku sudah berada di hospital. Aku pandang wajah-wajah yang berada di sekelilingku satu persatu. Atuk, nenek, pak cik Musa, mak cik Ruhana, Mustika, Dahlia dan Mamat. Wah, meriahnya.
“Nenek, kan dah janji pada saya? Jangan nangis, ok?” “Kami tak sangka yang Arsyad orangnya. Kami bersalah pada ibu kamu..,” tutur nenek. “Bukan.. atuk yang bersalah. Atuk yang dah halau Mariam keluar dari rumah. Atuk menyesal.. menyesal rasa sebab selama ni terlalu percayakan Arsyad.” Atuk menundukkan wajah sambil cuba mententeramkan nenek.
“Dah lah tu. Semua dah berlalu. Kan sekarang keadaan dah pulih? Nanti kita buat pilihan raya, pilih ketua kampung baru..,” usulku. “Haa.. saya cadangkan pak cik Musa!” Haa.. Mamat dah buat perangai. Pak cik Musa menggeleng kepala laju-laju sambil angkat tangan tanda surrender.
“Rafael.. jom kahwin!” Tiba-tiba Mustika pula buat usul dengan muka seriusnya. Ish, gelojohnya minah ni! Pak cik Musa dan mak cik Ruhana dah meluku kepala anak gadisnya. “Jangan buat muka tak malu kat sini, ya?” marah mak cik Ruhana. Mustika mencebik.
“Biarlah.. dah orang dah suka, terus terang je lah. Biarlah dia tak suka orang pun, yang penting orang suka dia!” Mustika jujur. Dahlia dah angkat ibu jari kepada aku.
“Tak boleh. Saya tak boleh kahwin dengan awak, Mustika,” jawabku dengan nada serius.
“Kenapa? Kenapa pulak?!” Mustika tak puas hati.
“Sebab saya nak pergi jaoh. Ibu dan babah pun dah tunggu saya..”
“Tak pelah. Saya ikot!”
“Tak boleh. Sebab nanti ada yang jempot..”
“Siapa? Tak kira, nak ikot jugak!”
“Izrail.” “Haa?!”
Semua yang ada kat situ dah separuh menjerit. “Apa Rafael mengarut ni?!” Marah nenek. Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba bertenang, walau hati dah tak tenteram. Tak tahulah kebenaran ini mampu diterima mereka atau tidak.
“Ibu dan babah, dah meninggal dalam kemalangan jalan raya lima bulan lepas..” “Astagfirullahalazim.. bang haji! Anak kita..!” Nenek sudah meraung disebelah atuk.
“Sebelum mereka pergi, mereka sempat berpesan untuk saya kembali ke sini. Kembali bagi menjernihkan kembali hubungan keluarga kita. Agar kekusutan ini dapat dileraikan. Sekurang-kurangnya, sekarang atuk dan nenek dah tahu yang ibu dan babah tak bersalah, kan? Saya ibarat wakil babah, yang dulu pernah berjanji untuk membangunkan kampung ini setelah lama dalam pemunduran dek kerana nenek moyang mereka. Saya kembali untuk mengotakan janji babah. Menghentikan penindasan pak cik Arsyad dan membebaskan orang kampung dari penjajahan dia. Atuk, nenek.. jangan risau. Ibu dan babah dah lama maafkan atuk dan nenek. Mereka sayangkan atuk dan nenek.” Nenek masih dengan sendu airmatanya. Begitu juga yang lain yang turut sama mendengar.
“Kemudian, saya akan menyusul mereka.” “Apa maksudnya ni?” Mustika masih belum faham. “Mustika, saya ada leukimia! Saya dah tak nak buat kimo. Bila saya tahu akan hal ni, terus saya ambil keputusan tinggalkan Singapore dan datang ke sini. Saya nak mati kat sini, kat tanah air saya. Dan awak jangan nak pertaruhkan kebahagian awak dengan kahwin dengan saya yang dah nak mati ni, faham?!” Mustika pula menyambung tangis. Begitu jugs yang lain. Nenek mendakapku erat-erat. Ah, drama airmata berterusan!
“Dah, sekarang awak dah dengar, kan? Saya harap awak faham.” Aku terus memalingkan muka darinya. Nenek meleraikan pelukannya. “Tak, saya tak faham! Sebab saya tahu yang awak cintakan saya juga tapi awak tak yakin dengan diri awak sendiri! Awak tak berani untuk berdepan kenyataan! Awak terus beralah dan putus asa! Awak penakot.. pengecut!” Mak cik Ruhana dan Dahlia cuba mententeramkan Mustika, tapi dia masih berdegil.
“Mak.. ayah. Orang tak kira, orang nak kahwin juga dengan mat salleh ni! Jangan sampai orang buat macam-macam!” Dah, boleh pulak minah perasan ni main ugut-ugut. Aku bangun dari pembaringan, cuba memujuk untuk mententeramkan Mustika. Karang tak pasal-pasal dia pulak yang kena cucuk ubat bius. Lagi naya kalau kena duduk Hospital Bahagia terus.
Sekali lagi pandanganku kelam. Aku memegang hujung katil, cuba berpaut. Kedengaran hanya suara jeritan sekeliling yang menyeru namaku. Tapi, dalam hatiku hanya menyeru nama Penciptaku. Ya Allah..
Seorang pemuda sedang duduk menghadap ke jendela sambil tangannya menutup sebuah diari hitam. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan sambil tersenyum. Dipandang pula Jalur Gemilang yang megah berkibar di penjuru biliknya.
Rasa bangga mula menjalar dalam diriku. Bagiku, babah memang sentiasa seorang patriot dalam hidupku. Babah dah berjaya menghidupkan kembali kemajuan kampung, dan berhabisan berjuang untuk membebaskan dirinya daripada sakitnya. Setelah 15 tahun bertarung dengan leukimia, akhirnya babah kembali menghadap Maha Esa. Itu ketentuan yang tidak boleh digubal, kami redha dan terima. Tapi, kami tak kesal kerana kami masih diberi peluang untuk hidup bahagia dengannya, hingga ke saat akhirnya. Aku dan ibu tak pernah rasa keseorangan. Babah sentiasa berada dalam hati kami. Babah yang tak pernah putus asa, itulah babah kami.. hero kami.
“Rayyan.. cepat turun makan dulu. Nanti lambat pulak kita nak ke dataran. Kan tiap-tiap tahun kita ke situ sambut Merdeka?” Muncul Mustika, menjengah ke bilik anak bujangnya. Rayyan lantas berpaling menghadapnya lalu tersenyum.
“Orait, ibu. Jap ya.” Rayyan menghilang sambil Mustika masuk ke biliknya demi mengemaskan bilik itu. Dia kemudiannya terpandang diari hitam di atas meja yang bertulis Diari Patriot diatasnya. Tidak semena-mena dia tersenyum sambil matanya bergenang air mata. Suka dia menyelak halaman terakhir diari itu.
‘Sebenarnya, saya nak awak tahu yang saya tak cintakan awak. Saya tak cintakan awak sepenuh hati sebab sepenuh hati saya hanya cinta pada Allah, Rasul, negara, ibu dan babah. Kemudian barulah ada sedikit cinta untuk awak. Sanggupkah awak cintakan saya yang cintakan awak dengan sedikit rasa saja, wahai si manis bertudung merah bernama Mustika?’
1.30am
8/8/2011